suria

Adakah amalan orang tukar jantina diterima? Allah itu maha pengasih asalkan setiap pendosa bertaubat

Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamarzzaman mengakui menukar jantinanya daripada lelaki kepada wanita.

ISU lelaki berpakaian wanita dan sebaliknya sama ada secara nyata ataupun melalui lakonan drama televisyen telah banyak diperkatakan serta diperjelaskan menerusi sudut pandang pakar-pakar agama.

Apa jua alasan, perbuatan itu adalah salah walaupun ia sekadar dijadikan bahan hiburan untuk tontonan awam.

Bagaimapun ketika usahawan kosmetik iaitu Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamarzzaman, 36, membuat pengakuan terbuka dilahirkan sebagai lelaki dan kemudian menukar jantina, perkara itu turut menjadi perdebatan umum terutamanaya pemilik media sosial yang memberi pelbagai pandangan dan ulasan.

Sajat sendiri mengakui turut berdepan dengan gangguan emosi kerana mengubah ciptaan Allah SWT selain mempersoalkan beberapa perkara termasuk sama ada ibadahnya selama ini diterima atau pun tidak.

ARTIKEL BERKAITAN: Sajat alami depresi selepas mengaku tukar jantina - “Aku dah perempuan... kemaluan aku, tubuhku, adakah solat aku sah?”

Penulis kolum Addin mStar, yang juga penceramah bebas, Dr. Nur Muhammad Hadi Zahalan diminta untuk memberi penjelasan supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung perkara ini.

Katanya, Islam merupakan satu cara hidup yang tidak boleh dan tidak akan serupa dengan agama-agama lain.

"Sebesar-besar nikmat anugerah Allah kepada kita adalah nikmat Iman dan Islam. Islam bukan sekadar 'agama' yang dihayati dan dipraktikkan dalam upacara-upacara tertentu dan bukan juga 'agama' yang terbatas kepada tempat-tempat tertentu, bahkan Islam sebenarnya adalah cara hidup. Setiap urusan hidup mestilah diserasikan dengan Islam," katanya.



Penulis segmen Addin mStar, Dr. Nur Muhammad Hadi Zahalan menjawab persoalan ditimbulkan Sajat.

Agama Islam jelas Dr. Hadi adalah agama fitrah dan sesuai dengan sifat semula jadi manusia. Ini dapat dibuktikan segala tuntutan naluri manusia dapat dipenuhi oleh Islam. Antaranya terdapat agama lain menghalang perkahwinan sedangkan dalam agama Islam digalakkan berkahwin.

Islam juga katanya, bukan hanya daripada sudut akidah bahkan ia merangkumi syariat dan akhlak. Oleh kerana itu, setiap tindak tanduk yang kita kerjakan akan berpaksi kepada tiga perkara ini. Sama ada ia melibatkan hal akidah, syariat ataupun akhlak.

Berhubung isu melibatkan Sajat, Dr. Hadi turut menjawab persoalan ditimbulkan oleh usahawan kosmetik itu.

1. Terperangkap dalam tubuh yang salah

Perkataan ini sebenarnya boleh membahayakan akidah seseorang. Ini kerana jika dia menganggap bahawa Allah melakukan kesilapan maka ia perlu segera bertaubat kepada Allah.

Allah telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Firman Allah di dalam Surah At-Tiin ayat ke 4: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).



Sajat menyifatkan dia terperangkap dalam tubuh yang salah.

Seseorang itu mungkin keliru dengan identiti mereka disebabkan mereka tidak ada usaha untuk mengenal diri dan kelebihan yang Allah telah berikan kepada mereka.

Apa yang patut mereka lakukan adalah dengan meredai Qada dan Qadar yang telah ditentukan Allah. Qada' dan Qadar merupakan salah satu daripada rukun Iman yang wajib kita percaya.

Firman Allah di dalam Surah Al-Qamar ayat 49: Sesungguhnya Kami telah menciptakan sesuatu takdir (yang telah ditetapkan).

2. Berubah daripada lelaki kepada wanita atau daripada wanita kepada lelaki

Matlamat tidak menghalalkan cara. Itulah satu ungkapan yang sesuai bagi mereka yang mahu melakukan sesuatu perkara dengan tujuan yang baik tetapi dengan cara yang salah yang mana melanggar hukum hakam agama.

Larangan bagi seorang lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya ada di dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah. Sabda Baginda: Allah melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai laki-laki. - [HR Bukhari 5435]

Perlu difahami perkataan laknat yang disebutkan di dalam hadis ini mempunyai makna dan impak yang sangat besar bagi mereka yang memikirkan ancaman daripada Baginda Rasulullah. Kata para alim ulama perkataan laknat seperti di dalam hadis ini bererti jauh daripada kerahmatan Allah, jauh daripada kemuliaan Allah dan jauh daripada keampunan Allah.

Jika berpakaian perempuan pun sudah dilaknat oleh Allah, apatah lagi menukar alat kelamin daripada lelaki kepada perempuan atau dari perempuan kepada lelaki.



Sajat memuat naik luahan hatinya di Instagram.

3. Adakah golongan sebegini diterima amalan-amalan mereka seperti solat, sedekah, wakaf dan lain-lain?

Allah tidak akan sesekali menzalimi mana-mana hambanya yang ingin kembali kepadaNya. Firman Allah didalam Surah An-Nisa' ayat ke 40: Sesungguhnya Allah tidak menganiayai seseorang walaupun sebesar zarah. Dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipatgandakannya dari sisiNya pahala yang besar.

Dalam ayat tersebut, kalimah 'sesungguhnya Allah tidak menganiayai seseorang walaupun sebesar zarah’, bererti mustahil bagi Allah menzalimi seluruh makhluk ciptaanNya.

Ayat ini bukan hanya mengisyaratkan tidak melakukan kezaliman, melainkan memberikan rahmat dan kasihnya. Tetapi Allah juga akan melipatgandakan amal manusia walaupun amal itu hanyalah sebesar zarah.

Selagi mana seseorang itu beriman kepada Allah dan tidak menolak sebarang ajaran Islam maka ia masih dikira Islam walaupun melakukan dosa besar dan apabila seseorang itu bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat maka Allah akan mengampuni segala dosa yang dilakukan.

Firman Allah di dalam Surah Az-Zumar ayat 53: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

"Saya menasihatkan kepada mereka yang ingin kembali kepada Allah supaya terus istiqamah dalam perubahan. Mohonlah keampunan daripada Allah dengan sebenar-benar taubat kerana pintu kasih sayang Allah sentiasa terbuka kepada mereka-mereka yang ingin mendapatkannya," katanya.

Sabda Rasulullah: Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin (yang menzahirkan dosa). Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya. - [HR Bukhari 6069].

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain