suria

Saat wabak melanda, Islam menggalakkan umatnya duduk di rumah dan rebutlah pahala syahid

Sama-sama kita duduk di rumah bagi melandaikan kes penularan Covid-19.

SUSULAN kes harian Covid-19 yang semakin meningkat, rakyat di negara ini disaran mengambil langkah proaktif dengan melakukan sekatan pergerakan kendiri atau 'self lockdown' bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak itu.

Pada Rabu lalu, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi dengan 7,478 kes dilaporkan sekali gus mendatangkan kebimbangan dalam masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Peperangan Palestin dan zionis adakah ia tanda kiamat sudah hampir?

Berhubung soal ini, dalam agama Islam juga terdapat beberapa riwayat yang dijadikan sebagai sandaran bagi anjuran tersebut. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata: "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang taun, lalu baginda berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya ia adalah azab yang Allah hantar kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki. Dan Allah menjadikan ia sebagai rahmat kepada orang beriman. Tidak ada seorang pun saat berlakunya taun lalu dia duduk di negerinya dengan penuh kesabaran dan mengharapkan ganjaran pahala, dan dia tahu bahawa dia tidak akan ditimpa musibah melainkan apa yang telah Allah tetapkan buatnya, melainkan dia akan mendapat seperti ganjaran pahala orang yang syahid. - [Riwayat Al-Bukhari (3474)].

Hadis di atas menjelaskan tentang hikmah di sebalik musibah taun yang berlaku kepada umat manusia. Maka Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa ia merupakan rahmat kepada golongan yang beriman.

Ini kerana, telah sabit dalam riwayat yang sahih bahawa mereka yang meninggal dunia disebabkan taun akan mendapat pahala syahid.



Sama-sama kita berdoa agar dijauhkan daripada sebarang penyakit.

Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya: Golongan yang syahid itu ada lima iaitu mereka yang mati disebabkan taun, penyakit dalam perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan, dan mereka yang mati berperang di jalan Allah. - [Riwayat Al-Bukhari (1914)].

Demikian juga hadis ini menjelaskan bahawa saat dihantarnya azab, ia akan turut melibatkan semua manusia sama ada orang beriman atau selainnya mengikut kehendak Allah S.W.T.

Maka ia merupakan bentuk balasan buruk kepada pelaku maksiat dan dalam masa yang sama ia merupakan ujian dan rahmat bagi golongan yang beriman.

Meskipun begitu, ada syarat-syarat yang disebutkan di dalam hadis tersebut bagi seseorang itu memperoleh pahala syahid iaitu;

1. Hendaklah seseorang yang berada di dalam negeri atau rumahnya dalam tempoh penularan wabak berjangkit itu bersabar dan juga mengharapkan ganjaran pahala dari Allah S.W.T.

2. Disamping dia menambah keimanannya dengan meyakini bahawa tidak ada sebarang mudarat yang akan berlaku pada dirinya melainkan ia merupakan suatu ketetapan daripada Allah S.W.T.



Duduk di rumah ketika wabak melanda besar pahalanya.

Syeikh Abu Al-Hasan Ubaidullah Al-Mubarakfuri dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata:

Maksudnya: Sekiranya seseorang itu duduk (di dalam negara atau rumah) dalam keadaan penuh ketakutan atau menyesal kerana tidak keluar, lalu dia menyangka kalau dia keluar nescaya taun tidak terkena pada dirinya dan dia menyangka yang dia terkena taun disebabkan dia masih duduk (di negara atau di rumahnya), maka orang ini tidak akan mendapat pahala syahid mesikpun dia meninggal dunia disebabkan taun.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Inilah yang dimaksudkan oleh mafhum hadis sebagaimana yang dimaksudkan oleh mantuq hadis bahawa sesiapa yang bersifat dengan ciri-ciri yang telah disebutkan maka dia akan memperoleh pahala syahid meskipun dia tidak meninggal dunia disebabkan taun. - [Rujuk Mir’aat al-Mafatih, Abu Al-Hasan Ubaidullah Al-Mubarakfuri (5/239)].

Bolehkah Covid- 19 dikategorikan sebagai taun?

Dalam menjawab isu ini kami kongsikan beberapa definisi taun seperti yang disebutkan oleh para ulama lughah (bahasa), antaranya:

Al-Jauhari mengatakan: Taun merujuk kepada kematian yang meliputi umum sama seperti wabak.

Syeikh Ibrahim Al-Harbi dalam kitab Gharib al-Hadis pula menyatakan: Wabak adalah taun dan juga penyakit yang meliputi umum.



Dr. Noor Hisham Abdullah turut menyarankan kita duduk di rumah.

Ibn Al-‘Arabi pula menyatakan dalam Syarah al-Tirmizi: Dinamakan sebagai taun kerana musibahnya meliputi umum serta cepat berlaku kematian disebabkannya. Maka penyakit-penyakit yang seumpamanya turut termasuk sebagainya (taun). [Rujuk Bazl Al-Ma’un, Ibn Hajar (Hlm. 95)]

Maka seperti yang diketahui umum Covid-19 merupakan virus yang merebak serta membawa kepada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada kematian dalam skala yang besar.

Justeru, berdasarkan ciri-ciri ini maka ia boleh diiktibarkan sebagai taun seperti yang disebutkan dalam riwayat-riwayat yang sahih.

Feqh dari hadis tersebut mengajar kita supaya saat berlakunya wabak atau penyakit berjangkit di kawasan kita, kita tidak dituntut untuk keluar dari kawasan tersebut bagi melarikan diri.

Bahkan kita dituntut untuk kekal di dalam rumah bagi mengekang penularan wabak tersebut dan inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah S.A.W yang menyebut:

Maksudnya: Apabila berlakunya ia (taun) di sesuatu kawasan dan kamu berada di tempat tersebut maka janganlah kamu keluar melarikan diri darinya. [Riwayat Al-Bukhari (5730)]

Demikian juga hal ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muadz bin Jabal R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W menyebutkan tentang lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satunya maka dia berada di bawah jaminan perlindungan daripada Allah S.W.T. Antaranya

Maksudnya: Atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya dan dia juga selamat dari manusia. - [Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (55)].

Mereka yang menetap di dalam rumah dalam tempoh wabak berlaku dengan penuh kesabaran dan mengharapkan pahala, setelah mengambil semua usaha dan daya bagi menjaga keselamatan diri dan kemudiaannya meyakini bahawa tidak ada yang menimpa dirinya melainkan ia merupakan ketentuan Allah, maka dirinya akan mendapat pahala syahid sekalipun dia tidak mati disebabkan wabak tersebut.

Artikel penuh mengenai tajuk ini boleh dibaca menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain