suria

Seseorang yang banyak solat dan beribadah tapi sering sakiti jiran dengan lidahnya... Lalu Nabi bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka”

Menjaga hubungan dengan jiran sangat dituntut dalam Islam.

JIRAN ialah orang yang tinggal berhampiran dengan rumah seseorang. Jiran juga merupakan salah satu watak penting dalam lakaran kehidupan kita.

Di samping kita memikirkan tentang jiran, jangan lupa dalam masa yang sama kita juga ialah jiran kepada orang lain. Berbuat baik kepada jiran adalah tuntutan agama.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak dapat ke rumah Allah kerana PKP tapi hati sentiasa terpaut pada masjid, inilah antara 7 golongan dapat naungan Allah

Bahkan, perintah itu disebut dengan diikat bersamanya perintah menyembah Allah dan tidak melakukan syirik kepadaNya. Ia menggambarkan satu perintah yang besar dan tidak boleh dipandang remeh.

Seperti mana yang disebut dalam Surah An-Nisa' ayat 36: Maksudnya: Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.

Erti berbuat baik yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah semua perkara yang boleh mendatangkan keselesaan dan kegembiraan kepada jiran selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat Allah.



Pertengkaran antara jiran yang tular di media sosial baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku.

Berbuat baik kepada jiran juga merupakan salah satu sebab untuk melayakkan seseorang itu untuk masuk ke dalam syurga.

Sabda Baginda Rasulullah: Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak berasa aman dengan gangguannya. - [HR Muslim 46].

Baru-baru ini viral satu video yang memaparkan pergaduhan antara jiran tetangga. Difahamkan pergaduhan itu berpunya dari isu tanaman dan masalah meletakkan kenderaan.

Jika dilihat pergaduhan sebegini bukanlah satu kejadian yang baharu bahkan ia sering berlaku di mana-mana sahaja disebabkan salah faham atau tidak ada toleransi antara satu sama yang lain.

Kejadian sebegini perlu dijadikan ikhtibar kepada kita semua dan ia perlulah dibawa ke meja rundingan bagi mendamaikan antara dua pihak. Jika tidak diatasi atau ditangani dengan betul maka ia akan melarat dan menimbulkan mudarat yang lebih teruk.

Baginda Rasulullah SAW menasihatkan para sahabatnya supaya berbuat baik kepada jiran kerana sikap dan keperibadian seorang muslim yang sejati itu adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jiran tetangganya.



Bertanya khabar jiran boleh mengeratkan hubungan.

Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya. [HR Muslim 77]

Di sini ustaz akan kongsikan beberapa adab dengan jiran sebagai panduan agar kehidupan kita lebih aman dan tenteram:

1. Jangan menyakiti hati

Sebagai jiran, seseorang itu mestilah menjauhi segala perbuatan yang tidak disenangi oleh jiran tetangganya. Kita seharusnya mengetahui perkara-perkara yang boleh menyakiti jiran seperti membuat bising pada waktu malam, meletakkan kenderaan di hadapan rumahnya tanpa izin, mematahkan pohon jiran atau membiarkan haiwan ternakan membuang najis di halaman jiran.

Menyakiti hati jiran juga adalah dengan kata-kata yang kesat. Sabda Baginda Rasulullah: Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.” - [HR Ahmad 9675].



Berkongsi rezeki dengan jiran terutamanya dalam suasana pandemik ketika ini.

2. Memberi hadiah kepada jiran

Memberi hadiah dapat menyemarakkan kasih sayang antara manusia. Pemberian hadiah kepada jiran tetangga akan menyebabkan keharmonian dan kemesraan. Sudah menjadi budaya masyarakat kita di Malaysia ialah bertukar-tukar juadah atau masakan.

Saranan ini adalah dari Baginda Rasulullah seperti mana dalam sebuah hadis: Wahai Abu Dzar, Apabila kamu memasak kuah sayur, maka perbanyaklah airnya, dan berikanlah sebagiannya kepada tetanggamu. - [HR Muslim 4758].

3. Jangan menghina pemberian jiran

Setiap pemberian dari jiran mestilah kita menerima dengan hati yang penuh kesyukuran dan kegembiraan. Ini kerana hadiah merupakan tanda ingatan seseorang kepada kita.

Oleh kerana itu, menjadi adab bagi mereka yang menerima apa sahaja pemberian dari jiran supaya tidak merendah-rendahkan pemberian mereka.

Sabda Baginda Rasulullah: Wahai para wanita muslimah, janganlah antara tetangga yang satu dengan yang lainnya saling meremehkan walaupun hanya dengan memberi kaki kambing. - [HR Bukhari 5558].

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]



Santuni dan hormati jiran yang lebih tua.

4. Berusaha membantu jiran atas keperluannya

Mengambil berat terhadap jiran tetangga kita merupakan satu tuntutan dalam Islam, lebih-lebih lagi kita mengetahui akan kesusahan jiran tetangga kita.

Ramai dalam kalangan kita pada hari ini yang tidak ambil peduli akan kesusahan jiran mereka sedangkan jiran mereka dalam keadaan memerlukan.

Renungkanlah sebuah hadis Baginda Rasulullah, Sabda Baginda Rasulullah: Tidak dikira sebagai seorang mukmin yang mana dia dalam keadaan kenyang sedangkan jiran tetanggannya dalam keadaan lapar. - [HR Bahaiqi 4991].

5. Mencintai mereka seperti mana mencintai diri sendiri

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan hubungan silaturahim dan pertalian sesama manusia selain menuntut umatnya bercampur gaul dan bermasyarakat.

Jika sekiranya seseorang itu mahukan kebaikan, keselesaan dan keharmonian untuk dirinya sendiri maka begitu juga dengan jiran tetangga.

Sabda Baginda Rasulullah: Tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu sehingga ia mencintai jiran tetangganya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri. - [HR Muslim 45].

Mendapat jiran yang baik adalah satu nikmat dalam kehidupan. Di samping kita mengharapkan jiran yang baik, pastikan diri kita sendiri menjadi jiran yang baik kepada orang lain.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain