SEMUA manusia yang hidup di atas muka bumi ini pasti akan dihisab oleh Allah SWT pada hari akhirat kelak berkaitan dengan amalan yang telah dilakukan ketika hidup di dunia. Ada di antra mereka yang dipermudahkan proses hisab masing-masing dan ada juga sebaliknya. Pendakwah bebas, Asma Harun dalam perkongsiannya mengenai perkara itu menjelaskan sememangnya terdapat sebuah riwayat daripada Imam Muslim bahawa matahari akan didekatkan kepada manusia pada hari akhirat sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW daripada al-Miqdad bin al-Aswad RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Manusia itu akan berada di dalam peluh mengikut tahap amalan mereka. Ada di antaranya yang peluhnya sehingga ke tumit, ada di antaranya juga yang peluhnya sehingga ke lutut, ada di antaranya yang peluhnya sehingga ke pinggang dan ada yang tenggelam di dalam peluhnya. al-Miqdad berkata lagi bahawa Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan tangan Baginda SAW ke mulutnya.” - [HR Muslim]. ARTIKEL BERKAITAN: “Ketika Sungai Furat kering akan ternampak perbendaharaan emas, janganlah ambil...” – Tanda-tanda kiamat sudah hampir, segeralah kita bertaubat "Subhanallah. Hadis di atas menceritakan peluh yang menitis di hari kiamat. Ia boleh menenggelamkan tuannya dan berbeza-beza tahap peluhan setiap orang mengikut amalan di dunia. "Ada yang peluhnya sehingga ke tumit, ada juga sehingga ke lutut, ada juga sehingga ke pinggang dan ada yang tenggelam terus di dalam peluhannya. Allahuakbar, ini baru di hari kiamat belum lagi perjalanan seterusnya dihisab dan diazab," kongsinya di Facebook. Keadaan manusia itu adalah berbeza-beza bergantung kepada amalannya. Asma berkata, terdapat pelbagai pengajaran dapat diperolehi daripada hadis ini termasuklah bagaimana amalan seseorang itu dan adakah amalan dilakukan dapat membantu melepasi ujian di hari kiamat. "Berpeluh dan bersusah payahlah di dunia ini. Tidak kira mencari rezeki, mendirikan solat dan membaca al-Quran dan sebagainya. "Walaupun mungkin peluh itu tidak keluar atau hanya setitis dua namun teruslah berusaha dan bersusah payah untuk melakukan amal soleh di dunia. Kerahlah keringat mencari rezeki yang halal untuk dihulurkan ke jalan Allah," ujarnya. Asma turut menambah, perbanyakkan sedekah dan jangan membazirkan harta pada perkara yang tidak membawa pulangan di akhirat hingga mengurangkan kemampuan untuk bersedekah sedangkan seseorang sudah serba ada dan lengkap. Sementara itu, perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan terdapat riwayat lain di dalam Sahih al-bukhari. Perbanyakkan amalan di dunia dan tinggalkan perkara tidak mendatangkan faedah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda,maksudnya: “Manusia akan berpeluh pada hari kiamat sehingga peluh mereka di bumi setinggi 70 hasta dan sehingga menenggelamkan mereka sampai ke telinga.” - [Riwayat al-Bukhari]. Imam al-Qustholani menyatakan ketika mensyarahkan hadith ini bahawa isyarat sampai ke kedua-dua telinga adalah menunjukkan tahap yang tertinggi sampainya air dan tidak dinafikan bahawa air juga sampai pada tahap-tahap yang lain. Hal ini, sepertimana di dalam hadith ‘Uqbah Ibn ‘Amir yang mana ia diriwayatkan secara marfu’ bahawa di antara manusia ada yang air peluhnya sampai ke buku lalinya. Ada juga yang air peluhnya sampai ke pertengahan betisnya, ada yang air peluhnya sampai ke lututnya, ada yang air peluhnya sampai ke pehanya, ada yang air peluhnya sampai ke pinggangnya, ada yang air peluhnya sampai ke mulutnya dan ada yang air peluhnya menenggelamkannya serta tangannya memukul di atas kepalanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim. [Lihat: Irsyad al-Sari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 9/310]. Kesimpulannya, setiap yang bernyawa pasti akan dihisab atau dihitung oleh Allah SWT. Adapun berkaitan dakwaan di hari akhirat ada manusia yang tenggelam di dalam peluhnya adalah benar kerana ia sabit daripada hadis-hadis yang sahih sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas. Di samping itu, keadaan manusia itu adalah berbeza-beza bergantung kepada amalannya. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang dipermudahkan hisab di hari akhirat kelak. Amin. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI