suria

Sambung bulu mata, rambut memang la cantik tapi ia antara perbuatan dilaknat Allah... Hati-hati ya kaum wanita!

Menyambung bulu mata untuk tujuan kecantikan adalah dilarang dalam Islam.

SEMAKIN hari semakin ramai individu yang mengejar kecantikan sehingga sanggup menghabiskan wang beribu-ribu semata-mata mahukan rupa paras yang diidamkan. Ada dalam kalangan masyarakat yang sanggup mengambil risiko agar apa yang dihajati dapat dipenuhi.

Pernah atau pun tidak kita terfikir apakah hukum mengubah ciptaan Allah? dan sejauh manakah batasan untuk kita melakukannya?

ARTIKEL BERKAITAN: Hasutan nafsu dan bisikan syaitan, dua kejahatan berbeza mengajak manusia berbuat jahat... Paling penting jauhilah kedua-duanya!

Firman Allah di dalam Surah An-Nisa' ayat 119: Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah." Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

Kata ulama antara perkara yang akan dihasut oleh syaitan ialah dengan mengatakan bahawa rupa paras yang telah diciptakan oleh Allah tidak sempurna lalu syaitan akan menghasut manusia supaya mengubah ciptaan Allah.

Pada hari ini, para doktor sudah mampu untuk melakukan pemindahan organ, pembedahan kosmetik untuk kecantikan dan sebagainya. Malah saintis juga sudah mampu untuk menghasilkan organ manusia dan daging haiwan ternakan tanpa perlu kepada penderma atau menyembelih haiwan.

Pembedahan Plastik 2

Teknologi hari ini membolehkan pelbagai prosedur kecantikan dilakukan.

Hakikatnya, semua teknologi ini dicipta untuk memudahkan kehidupan manusia. Namun, jika dilihat dari satu sudut yang lain pula, perkembangan teknologi telah mengubah beberapa tabiat alam yang telah dicipta oleh Allah.

Pembedahan kosmetik sebagai contoh boleh mengubah seorang wanita yang kurang cantik dari segi paras rupa kepada seorang wanita yang sangat cantik.

Ini kerana rambut dan bulu mata adalah bulu-bulu yang tumbuh pada badan manusia yang menjadi perhiasan tubuh badan dan tidak disunatkan untuk mencabutnya. Justeru, haram hukum menyambung bulu mata sama seperti haram menyambung rambut yang dilaknat dan tindakan mengubah ciptaan Allah SWT.

Pada asalnya sebarang bentuk pembedahan yang membawa kepada perubahan kepada anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh syarak tetapi hukum haram itu boleh bertukar menjadi harus kepada dua sebab iaitu:

1. Untuk tujuan mengubat dan menghilangkan sesuatu yang memudaratkan

Ini berdasarkan sebuah hadis bahawa Affajah bin As'ad telah terputus hidungnya ketika perang Al Kilab. Lalu dia membuat hidung palsu dari perak tetapi hidungnya itu tadi menjadi busuk.

Baginda Rasulullah memerintahkan kepadanya (untuk membuat hidung dari emas), hingga ia membuat hidungnya itu dari emas. - [HR Abu Daud 3696]

Berdasarkan hadis ini maka kata para alim ulama tidak dikira sebagai mengubah ciptaan Allah jika ia bertujuan untuk mengubat dan bagi tujuan menghilangkan sesuatu yang boleh memudaratkan dirinya. Walaubagaimanapun, ia mestilah mendapat pengiktirafan daripada doktor muslim yang mengesahkannya.

Sambung Bulu Mata

Umat Islam dilarang mengubah sebaik-baik ciptaan Allah.

2. Uuntuk membuang keaiban

Kata para alim ulama jika sesuatu itu mengaibkan sehingga menyulitkan kehidupan mereka Seperti membuang tahi lalat yang menutup mata maka ia dibenarkan dalam hukum syarak ataupun membuang jeragat di muka. Ini semua adalah disebabkan supaya nampak normal dan kemas.

Bagi mereka yang mengubah ciptaan Allah disebabkan bagi tujuan kecantikan maka ia tidak dibenarkan dalam syarak. Pada asasnya, Islam tidak melarang umatnya daripada mencantikkan diri.

Bahkan Islam menganjurkan umatnya untuk tampil kemas dan kelihatan cantik dengan cara sederhana dan sesuai. Dalam sebuah hadis menyebut: Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia sukakan keindahan. - [HR Muslim 275].

Pada hari ini, ada dalam kalangan mereka yang bukan sahaja mengubah wajah tetapi mengubah jantina daripada lelaki kepada wanita atau sebaliknya. Maka kata ulama jika seseorang lelaki memakai pakaian wanita pun sudah dilaknat Allah inikan pula mengubah jantina.

Antara perkara yang dilarang dalam syarak ialah mencukur kening tanpa ada keperluan atau semata-mata mahukan kecantikan sahaja. Larangan ini berdasarkan hadis Baginda Rasulullah: Sesungguhnya Nabi melaknat wanita-wanita yang mentatu dan yang meminta ditatu, wanita-wanita yang mencukur alis kening, demi mencari keindahan dan mengubah ciptaan Allah. - [HR Tirmizi 2706].

Pembedahan Plastik

Semakin ramai yang obses terhadap kecantikan tidak kira perempuan atau lelaki sehingga sanggup membelakangkan agama.

Adapun membuang bulu selain daripada itu maka kata ulama ia tidak termasuk dalam kategori mengubah ciptaan Allah seperti membuang bulu ketiak, bulu ari-ari, mencukur misai atau membuang bulu kaki bagi wanita. Bagi lelaki untuk membuang bulu kaki maka perlu dilihat jika mahu menyerupai wanita maka ia dilarang dalam hukum syarak.

Antara yang termasuk dalam mengubah ciptaan Allah ialah menyambung rambut atau bulu mata.

Sabda Baginda Rasulullah: Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya). - [HR Muslim 5687].

Tidak mengapa memakai rambut palsu di dalam rumah jika suami mengizinkan bagi mereka yang mengidap penyakit kanser lalu menyebabkan keguguran rambut. Namun hendaklah tidak memperlihatkannya kepada orang luar kerana ia sebahagian daripada perhiasan.

Bagi mereka yang menyambung bulu mata kata ulama maka hukumnya sama seperti larangan menyambung rambut.

Ini kerana rambut dan bulu mata adalah bulu-bulu yang tumbuh pada badan manusia yang menjadi perhiasan tubuh badan dan tidak disunatkan untuk mencabutnya. Justeru, haram hukum menyambung bulu mata sama seperti haram menyambung rambut yang dilaknat dan tindakan mengubah ciptaan Allah SWT.

Kesimpulannya kata ulama seperti mana yang disebut dalam satu kaedah fiqh berkaitan mengubah ciptaan Allah ialah: Apa sahaja yang bertujuan untuk kecantikan semata-mata maka hukumnya adalah haram. Manakala apa yang bertujuan untuk menghilangkan aib pada dirinya maka hukumnya adalah halal.

Semoga kita tidak melakukan satu perbuatan yang merugikan kita di dunia dan akhirat kerana perkataan laknat seperti mana dalam hadis di atas adalah sangat buruk dan dasyat bagi mereka yang berdegil mengubah ciptaan Allah.

Biarlah tidak cantik dari sudut pandang manusia asalkan kita sentiasa cantik di sisi Allah dengan mematuhi segala perintahNya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain