suria

Ramai orang pandang ringan 4 doa diajar Rasulullah ini ketika solat... Amalkanlah agar kita terselamat daripada fitnah di dunia dan akhirat

Jadikan berdoa sebagai amalan seharian.

ADA di antara kita yang jarang berdoa ketika solat mungkin disebabkan mengejar waktu atau pun menadah tangan kepada Allah selepas selesai bersembahyang.

Bagaimanapun terdapat satu doa yang kerap dibaca Rasulullah SAW ketika solat iaitu sebelum Baginda memberi salam dan intipatinya sangat penting kerana melaluinya, Rasulullah mengajar kita untuk memohon keselamatan dan keamanan dunia dan akhirat.

ARTIKEL BERKAITAN: Allah tidak akan pulangkan doa seseorang dengan tangan kosong... Sapu muka selepas berdoa antara adab perlu diketahui oleh umat Islam

Doa tersebut (Maksudnya): ‘Ya Allah, aku memohon perlindunganMu dari azab jahanam, dari azab kubur, dari ujian dan fitnah mereka yang hidup & mati serta perlindungan dari fitnah ujian dajal - (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim).

Pendakwah, Mohammad Asraff Ayob Al-Hafiz menjelaskan terdapat empat perkara yang Rasulullah minta dalam doa tersebut iaitu memohon Allah menjauhkan manusia daripada azab neraka, azab kubur, fitnah manusia dan terkena fitnah dajal.

"Keempat-empat permintaan Rasul dalam doa ini amat penting dan relevan untuk kita pohon daripada Allah," katanya.

Berdoa ketika solat

1. Mohon dijauhi azab neraka

Azab neraka kata Mohammad Asraff bukan perkara yang boleh dibuat main kerana ia perkara benar dan bukannya khayalan atau omongan kosong. Benarnya wujud neraka sama seperti benarnya wujud matahari, bumi dan virus Covid-19.

"Perkara paling berbahaya dalam hidup kita ini bukan Covid-19, bukan kanser, bukan dilanggar lori tapi azab neraka. Sebabnya, azab neraka itu dahsyatnya tak tertanggung dan jika diazab, seksanya kekal lama.

"Ia berbeza dengan sakit dilanggar lori. Seksanya waktu kemalangan dan selepas itu habis (mati)," katanya.

Mohammad Asraff berkata, di neraka kelak penghuninya tidak akan mati. Sekiranya kulit seseorang sudah hancur akibat dibakar, Allah akan menggantikan dengan kulit yang baharu.

"Bayangkan kalau kena seksa, sakitnya itu kekal dan berulang-ulang tanpa henti. Allahuakhbar, memang tak tertanggung," ujarnya.

Mohammad Asraff berkata, kesedaran kebanyakan manusia terhadap bahaya neraka tidak seperti kesedaran terhadap Covid-19. Ini kerana ramai merasakan neraka itu seperti khayalan atau seseorang berasa yakin tidak akan menjadi penghuninya.

"Sebab itu ada orang pandang enteng neraka dengan selamba melakukan dosa. Tak solat Subuh pun mereka santai sambil makan sarapan. Tiada rasa bersalah!

"Sesungguhnya Rasulullah yang dijamin syurga pun setiap hari mohon daripada Allah lindunginya daripada azab neraka. Sebab Rasul sedar, azab neraka itu benar dan bahaya. Bayangkan azab paling ringan ialah selipar yang dipakai seseorang penghuni neraka boleh menyebabkan menggelegak kepala. Itu paling simple, belum yang advance," ujarnya.

doa_1565743268

Berdoalah memohon perlindungan Allah di dunia dan akhirat.

2. Mohon dijauhi azab kubur

Rasulullah SAW turut mengajar kita memohon agar dijauhi azab kubur. Azab kubur itu benar. Ia bukan kisah penglipur lara dan kehidupan kubur itu tidak jauh jaraknya.

Kata Mohammad Asraff, kehidupan di alam kubur lebih lama berbanding hidup di dunia, mungkin mencecah ribuan tahun selagi kiamat tidak tiba.

"Alam kubur ini memang Allah tidak tunjukkan kepada kita. Memang sengaja Allah letak hijab sebab nak tengok siapa yang benar-benar percaya dan beriman kepada-Nya," ujarnya.

Doa ini katanya antara menifestasi amalan yang dilakukan untuk menunjukkan bahawa kita percaya alam kubur itu ada dan berharap Allah melindungi manusia daripada malapetaka dengan mengamalkan doa tersebut setiap hari dalam solat.

Selain itu jelasnya Mohammad Asraff, kita juga perlu meningkatkan ketaatan dan menjauhi maksiat serta larangan-Nya.

"Lagi dua perkara dalam doa tersebut iaitu memohon dijauhkan fitnah manusia dan dajal. Rasanya kita semua maklum. Fitnah manusia, ini semua orang minta setiap hari. Manakala fitnah dajal pula, Insya Allah kita mungkin akan meninggal dunia terlebih dahulu sebelum munculnya dajal.

"Bagi saya, azab kubur dan neraka inilah paling menggerunkan. Minta kita semua dijauhkan. Sebaik-baiknya hafal dan baca doa tersebut setiap hari dan sekiranya boleh, latih anak-anak menghafalnya," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain