suria

Sifat dan nama Allah SWT ada banyak, kenapa kita perlu belajar 20 sifatNya sahaja?

Kenapa umat Islam belajar 20 sifat Allah SWT sahaja?

RAMAI dalam kalangan umat Islam yang telah menghafal 20 Sifat Allah SWT kerana ia telah menjadi silibus pengajian sejak prasekolah atau sekolah rendah lagi di Malaysia.

Apatah lagi, 20 sifat itu turut dijadikan lirik lagu nasyid oleh kumpulan Raihan dan Rabbani sehingga memudahkan hafalan dalam kalangan kanak-kanak.

Sifat 20 Allah SWT tersebut ialah Wujud (ada), Qidam (sedia), Baqa’ (kekal), Mukhalafatuhu li al-Hawadith (bersalahan/berlainan dengan segala yang baharu/makhluk), Qiyamuhu Binafsihi (berdiri/wujud dengan diri atau zatNya sendiri), Wahdaniyyah (esa), Qudrah (kuasa), Iradah (kehendak), ‘Ilm (ketahui), Hayah (hidup), Sama’ (dengar), Basar (lihat), Kalam (berkata-kata), Kaunuhu Qadiran (keadaanNya yang berkuasa), Kaunuhu Muridan (keadaanNya berkehendak), Kaunuhu ‘Aliman (keadaanNya mengetahui), Kaunuhu Hayyan (keadaanNya hidup), Kaunuhu Sami’an (keadaanNya mendengar), Kaunuhu Basiran (keadaanNya melihat) dan Kaunuhu Mutakalliman (keadaanNya berkata-kata).

ARTIKEL BERKAITAN: Peluh manusia di akhirat menitis sehingga tenggelam tuannya berdasarkan amalan di dunia... Segera lakukan amal soleh

Namun, Allah SWT memiliki nama-nama dan sifat-sifat yang sempurna dan bilangannya banyak. Maka, kenapa umat Islam belajar 20 sifat Allah SWT sahaja? Jawapannya seperti berikut:

Pertama: Jumlah 20 sifat tersebut bukan bermaksud sifat Allah SWT terhad kepada bilangan 20 sahaja. Buktinya, Imam al-Sanusi dalam kitab Umm al-Barahin berkata: “Maka, sebahagian daripada apa yang wajib bagi Tuhan kita adalah 20 Sifat”.

Ungkapan “sebahagian” menunjukkan sifat-sifat wajib bagi Allah SWT melebihi 20 sifat.

Menurut Prof. Dr. Sheikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, Allah SWT telah menyifatkan diriNya dengan sifat yang banyak tetapi perincian semua sifat tersebut terkandung dalam 20 Sifat utama (‘ishrin sifah ra’isiyyah).

Ini memudahkan orang awam untuk kenali Allah SWT menerusi beberapa sifat terpilih berbanding sukar mengenaliNya menerusi semua sifat-sifat yang terkandung dalam al-Quran dan hadis yang jumlahnya sangat banyak.

Allah

Jumlah 20 sifat tersebut bukan bermaksud sifat Allah SWT terhad kepada bilangan 20 sahaja.

Kedua: 20 Sifat tersebut merupakan syarat ketuhanan yang mesti dimiliki bagi sesiapa yang dianggap Tuhan. Jika Dia adalah Tuhan, secara akal yang sejahteranya, Dia mesti ada 20 Sifat ini.

Mustahil Dia mendakwa diriNya Tuhan jika Dia tiada sifat Qudrah (kuasa), ‘Ilm (ketahui) dan seumpamanya. Jika Dia ada 20 Sifat ini, maka layaklah Dia menjadi Tuhan namun tiada yang layak melainkan Allah SWT. Nabi Ibrahim a.s pernah mencabar Raja Namrud untuk menggunakan iradah (kehendak) dan qudrahnya (kuasa) bagi mengubah tempat terbitnya matahari, namun ia tidak mampu, menunjukkan ia tiada sifat kehendak dan kuasa secara mutlak yang mesti dimiliki oleh Tuhan.

Ketiga: Al-Asma’ al-Husna yang berjumlah 99 atau lebih semuanya dapat dikaitkan dengan Sifat 20. Contohnya nama-nama Allah SWT seperti al-Muhyi, al-Mumit, al-Qadir, al-Muqtadir, al-Qawiyy dan al-Matin boleh dikaitkan dengan sifat al-Qudrah yakni Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Menurut Sheikh Sa’id Fudah, kita tidak faham nama al-Musawwir (Maha Membentuk) melainkan setelah dijelaskan bahawa Allah mencipta al-suwar (bentuk-bentuk) menerusi sifat al-Qudrah. Maka, al-Asma’ al-Husna dapat difahami dengan mudah jika seseorang itu telah memahami Sifat 20.

Di samping kitab Umm al-Barahin yang memfokuskan 20 Sifat Allah SWT, Imam al-Sanusi juga memiliki kitab yang memfokuskan al-Asma’ al-Husna.

Ini bukti menunjukkan nama-namaNya juga diberi perhatian oleh para ulama yang boleh dibaca oleh umat Islam setelah memahami Sifat 20.

Membaca al Quran

Setelah pelajari sifat 20, ia membantu untuk fahami nama-nama Allah SWT dan perincian sifat-sifatNya yang lain pula.

Keempat: Fokus kepada sifat adalah lebih mudah untuk mengenali hakikat sesuatu perkara. Apabila seseorang itu ingin mengenali seseorang, antara perkara yang penting adalah sifat orang tersebut berbanding namanya. Ini kerana, kadang-kadang namanya Hasan (baik) tetapi sifatnya buruk.

Namun, fokus kepada nama-nama Allah SWT bukan bermaksud tidak penting, tetapi ia sebagaimana dijelaskan sebelum ini, nama-nama yang banyak itu boleh dikaitkan dengan 20 sifat Allah SWT tadi.

Setelah pelajari sifat 20, ia membantu untuk fahami nama-nama Allah SWT dan perincian sifat-sifatNya yang lain pula.

Kelima: 20 Sifat ini telah mengandungi dalil al-Quran, hadis dan akal sejahtera yang dirumuskan secara sistematik. Ia berdasarkan dalil-dalil muhkamat (induk/jelas) yang qat’i thubut (sabitnya pasti) dan qat’i al-dilalah (maknanya jelas) menjadi dasar akidah yang kukuh yang bukan dari kategori mutashabihat (samar-samar/tidak jelas) yang berasaskan dalil zanni al-dilalah (maknanya tidak jelas).

Disebabkan itulah dalam silibus pengajian Sifat 20, tidak disenaraikan sifat-sifat mutashabihat seperti yad (tangan), istawa (semayam, duduk atau tinggal), nasiya (lupa), marid (sakit) dan seumpamanya.

Ini kerana, meskipun ia disebut dalam al-Quran dan hadis tetapi ia bukanlah qat’i al-dilalah bahkan boleh menyebabkan umat Islam salah faham. Salah faham itu boleh berlaku jika mereka memahaminya secara makna zahir bagi lafaz tersebut.

Contohnya yad dalam bahasa Melayu bermaksud tangan, yang mana orang awam akan terus faham ia adalah anggota badan yang dikenali sebagai tangan.

Maka, jika disandarkan kepada Allah SWT, maka seolah-olah ada anggota badan tangan bagiNya meskipun disebut bentuk anggota tanganNya tidak sama dengan makhluk.

Disebabkan itu, Ahli Sunnah wal Jamaah bertindak pantas mempertahankan akidah Islam menerusi dua kaedah iaitu kaedah tafwid dan kaedah takwil.

Berdasarkan kaedah tafwid yang dipilih oleh majoriti ulama salaf soleh, yad tidak dimaksudkan dengan tangan, sebaliknya diserahkan maksudnya kepada Allah SWT dan kekalkan lafaz asalnya iaitu yad. Mereka melarang melakukan terjemahan secara harfiyyah (literal) bagi sifat mutashabihat.

Manakala, menerusi kaedah takwil, yad difahami dengan makna qudrah (kuasa) seperti yang dipilih oleh majoriti ulama khalaf. Mereka terpaksa memilih maksud atau terjemahan ini disebabkan darurat dengan syarat ketat agar tidak menyeleweng seperti takwilan Muktazilah dan Jahmiyyah. Jika tiada darurat, mereka akan kembali semula kepada kaedah tafwid salaf soleh tadi.

Belajar

Silibus Sifat 20 yang muhkamat ini merupakan benteng kukuh dalam akidah untuk menghadapi golongan menyeleweng, bidaah, ateis dan seumpamanya secara sistematik.

Perlu difahami bahawa sama ada darurat atau tidak, salaf dan khalaf tidak akan memilih terjemahan literal iaitu anggota badan tangan kerana ia juga termasuk kategori takwilan atau tafsiran yang sesat dan menimbulkan fitnah seperti yang dilakukan oleh Mushabbihah (golongan yang menyamakan Allah SWT dengan makhluk) dan Mujassimah (golongan yang menjisimkan Allah SWT).

Ini kerana, Allah SWT jelas melarang fokus kepada ayat-ayat mutashabihat seperti firmanNya dalam ayat 7 surah Ali ‘Imran yang bermaksud: Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran.

Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran.

Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyabihat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran (Mutasyabihat) untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya).

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:"Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Maka, cuba bayangkan, jika kanak-kanak hafal Sifat 20 versi mutashabihat (samar-samar), sudah pasti mereka akan keliru. Silibus Sifat 20 yang muhkamat ini merupakan benteng kukuh dalam akidah untuk menghadapi golongan menyeleweng, bidaah, ateis dan seumpamanya secara sistematik.

Antara Rujukan Cadangan Tentang Sifat 20

Huraian Sifat 20 di atas adalah berdasarkan rujukan berikut:

1. Kitab yang ditulis oleh Ustaz Muhadir Haji Joll yang berjudul “Sifat 20 Suatu Pengenalan Asas.” Keistimewaan kitab ini ialah ia telah diberi kata-kata aluan oleh Mufti Negeri Sembilan, Mufti Negeri Pahang, Mufti Negeri Johor dan Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Nadwi al-Maliki. Kata-kata aluan ini menjadi isyarat kepada pengiktirafan terhadap karya akidah ini oleh ilmuwan berautoriti tanah air yang molek dirujuk oleh masyarakat Islam di Malaysia.

2. Buku bertajuk “Akidah Salaf” tulisan Ustaz Nur Hidayat Muhammad. Ia juga mendapat kata-kata aluan beberapa tokoh ilmuwan berautoriti negara yang menjadi isyarat kepada pengiktirafan terhadap karya ini antaranya ialah Mufti Negeri Johor, Mufti Negeri Sembilan, Mufti Negeri Pahang, Mufti Negeri Kedah (2009-2017) dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Kitab versi cetakan baru ini juga diiktiraf oleh tokoh ilmuwan bidang hadis Indonesia iaitu Dr Abdul Somad menerusi facebook Penerbit Global Press.

3. Kitab Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah tulisan Prof. Dr. Sheikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti yang disenaraikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 5 April 2019 dalam tajuk artikelnya iaitu “Cadangan Kitab Akidah Untuk Penuntut Ilmu”. Kitab ini juga menjadi pilihan utama Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai rujukan penting bagi dua subjek teras fakultinya dan satu subjek teras jabatan.

Justeru, ia menjadi antara kitab yang sangat wajar dirujuk.

***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain