suria

Amalan membaca 10 ayat pertama dan terakhir surah al-Kahfi jadi benteng fitnah dajal

Menghafal 10 ayat pertama dan terakhir surah Al-Kahfi dapat melindungi kita daripada fitnah dajal.

FITNAH dajal merupakan fitnah yang paling besar di atas muka bumi sejak terciptanya Nabi Adam sehingga hari kiamat. Ini disebabkan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepadanya. Sabda Baginda Rasulullah:

Tidak ada wujud manusia sejak Nabi Adam diciptakan hingga terjadinya kiamat yang lebih besar dari fitnah Dajal. [HR Muslim 5239]

Ini kerana dajal akan menawarkan perkara-perkara yang diingini manusia yang pada waktu itu manusia dalam keadaan serba kekurangan seperti makanan dan minuman. Maka pada waktu itu dajal akan menghidupkan pokok yang telah mati serta menurunkan hujan dengan izin Allah.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah mulut... Niat baik tapi teguran dengan cara mencarut dilarang syarak! Fikir dulu sebelum bercakap

Mereka yang mematuhi perintah dajal akan diberikan ganjaran olehnya dengan dimasukkan ke dalam syurga dan sesiapa yang mengingkarinya akan dimasukkan dalam neraka. Itulah fitnah besar yang mengakibatkan ramai manusia akan mengikutinya.

Hakikat kebenaran neraka di sisi dajal adalah syurga dan syurga adalah neraka. Ini bertepatan dengan Sabda Baginda Rasulullah:

Sungguh aku tahu apa yang ada bersama dajal, bersamanya ada dua sungai mengalir. Salah satunya secara pandangan mata kasar berupa air putih dan yang lainnya secara mata kasar berupa api yang bergejolak. Bila ada yang menjumpainya, hendaklah mendatangi syurga yang ia lihat berupa api dan hendaklah menutup mata, kemudian hendaklah menundukkan kepala lalu meminumnya kerana sesungguhnya itu adalah air dingin. Sesungguhnya dajal buta matanya, di atas matanya ada kulit tebal, antara kedua matanya tertulis kafir yang boleh dibaca oleh setiap mukmin yang boleh membaca atau pun tidak. [HR Muslim 5223]

Betapa hebatnya fitnah dajal sehinggakan ramai yang terpedaya dengannya. Maka apakah amalan yang boleh dilakukan bagi mengelakkan fitnahnya? Ini merupakan beberapa amalan yang boleh menyebabkan kita terlepas dari fitnah dajal:

99 Nama Allah

1. Mengetahui nama dan sifat Allah

Seseorang yang mengetahui nama-nama Allah serta sifat-sifat-Nya akan dapat menghindari dari fitnah dajal. Ini kerana dajal itu merupakan makhluk Allah yang hanya diberikan kepadanya beberapa perkara dengan izin Allah sebagai ujian bagi manusia.

Dajal juga buta matanya sedangkan Allah Maha Sempurna dan tidak ada yang sama sepertiNya. Sifat Allah Maha Mengasihani dan Maha Penyayang sedangkan dajal makhluk yang tercela dan zalim.

Menjaga dan mengetahui Allah melayakkan seseorang memasuki syurga Allah. Sabda Baginda Rasulullah:

Sesungguhnya bagi Allah sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga. [HR Bukhari 6410]

Di dalam hadis ini, Allah memberitahu dan mengajarkan kepada hamba-hambanya akan nama-namaNya yang mulia. Kita sebagai seorang muslim yang beriman, wajib mempercayai dan beriman bahawa Allah bersifat dengan segala sifat-sifat kesempurnaan dan jauh daripada segala sifat kekurangan.

Berdoa

2. Meminta kepada Allah perlindungan daripada fitnah dajal

Hanya Allah tempat kita bergantung dan bersandar kerana hanya Allah yang Maha Kuasa. Baginda Rasulullah mengajarkan kepada kita supaya meminta perlindungan daripada beberapa perkara yang sangat besar. Sabda Baginda Rasulullah:

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari siksa kubur dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah Al Masihi Dajal, dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah kehidupan dan fitnah kematian. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan dosa dan hutang. [HR Bukhari 789]

Sebagai umat akhir zaman maka kita dituntut untuk sentiasa meminta kepada Allah agar Allah sentiasa memelihara kita dari sebarang fitnah yang boleh merosakkan keimanan.

Baginda Rasulullah juga mengajarkan kepada kita waktu terbaik untuk kita meminta perlindungan dari fitnah dajal adalah selepas kita membaca tahiyyat akhir dan sebelum dari salam.

Membaca al quran

3. Membaca dan menghafal 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah Al-Kahfi

Sesungguhnya al Quran itu memberi syafaat bagi sesiapa yang membaca dan memeliharanya. Antara kelebihan mereka membaca al Quran khususnya Surah Al-Kahfi disebutkan Baginda Rasulullah:

Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajal. [HR Muslim 1342]

Dalam riwayat yang lain sabda Baginda Rasulullah:

Barang siapa yang menghafal ayat akhir daripada Surah Al-Kahfi akan terpelihara daripada fitnah Dajal. [HR Abu Daud 3765]

Sepuluh ayat terawal memperihalkan mengenai kenyataan al Quran dan keadaan orang yang kufur serta orang yang beriman terhadap al Quran manakala 10 ayat yang terakhir pula menunjukkan natijah bagi mereka yang beriman dan kufur.

Dengan menghafal ayat awal dan ayat akhir surah itu akan menambahkan lagi keimanan bagi mereka yang benar-benar mentadabburkan ayat al Quran serta mengharap pemeliharaan Allah daripada fitnah dajal.

Membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat sangat digalakkan ke atas setiap Muslim tidak kira 10 ayat terawal mahupun 10 ayat terakhir atau sebahagiannya dan lebih baik membaca satu surah lengkap.

Ini kerana surah Al-Kahfi dapat menjadi benteng keimanan yang kukuh daripada fitnah dajal bagi sesiapa yang mengamalkannya.

Semoga Allah melepaskan kita semua dari fitnah yang sangat dasyat dan menempatkan kita dalam syurgaNya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain