KITA sering melihat jemaah masjid atau di majlis ilmu akan mencium tangan orang soleh, alim dan seumpamanya sebagai tanda menghormati mereka. Tetapi apa sebenarnya hukum perbuatan mencium tangan itu di sisi Islam? Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, al-Nawawi ada menyebutkan bahawa disunatkan untuk mencium tangan orang soleh, alim dan seumpamanya dalam kalangan ahli akhirat.ARTIKEL BERKAITAN: Berwuduk dalam keadaan bogel boleh atau tidak? Adakah berdosa? Ketahui penjelasan pakar Manakala mencium tangan seseorang kerana kekayaan, keduniaan atau kedudukannya pula, hukumnya adalah makruh. Begitulah juga al-Buhuti mengharuskan untuk mencium tangan dan kepala sebagai tanda merendah diri, menghormati dan memuliakan seseorang dengan syarat jauh daripada syahwat. "Secara zahirnya, tidak diharuskan berbuat demikian bagi tujuan keduniaan dan dari sudut ini ia adalah suatu yang ditegah," jelasnya. Harus hukumnya mencium tangan orang alim yang warak, pemerintah yang adil, kedua ibu bapa, para guru dan semua orang yang berhak untuk dihormati dan dimuliakan. Zulkifli memberitahu, disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa harus hukumnya mencium tangan orang alim yang warak, pemerintah yang adil, kedua ibu bapa, para guru dan semua orang yang berhak untuk dihormati dan dimuliakan. Begitulah juga diharuskan untuk mencium kepala, dahi dan (kedudukan) antara dua mata mereka. Akan tetapi perkara tersebut dibolehkan sekiranya dengan tujuan untuk menghormati, memuliakan dan merendah diri, ketika bertemu dan berpisah serta jauh daripada syahwat. Selain itu, dinukilkan daripada Ibn Battal bahawa Imam Malik mengingkari perbuatan mencium tangan. Walau bagaimanapun, al-Abhari menyatakan bahawa Imam Malik membenci perbuatan tersebut jika ia bertujuan untuk membesar-besarkan dan mengagungkan orang itu, namun jika ia bertujuan untuk medekatkan diri kepada Allah SWT kerana agama, ilmu dan kemuliaanya, maka ia diharuskan. Selain itu, Muhammad bin Soleh juga ada menyatakan bahawa mencium tangan sebagai tanda penghormatan bagi sesiapa yang tergolong dalam kalangan orang yang dihormati dan dimuliakan seperti ayah, orang alim (atau orang yang sudah berusia) dan guru, maka tidak mengapa melakukannya kecuali dikhuatiri adanya kemudaratan iaitu orang yang dicium tangannya itu merasa takjub dengan dirinya sendiri dan melihat diri mereka berada di kedudukan yang tinggi. Maka, dalam hal ini ia tidak dibenarkan disebabkan oleh mafsadah tersebut. Sahabat mencium tangan Baginda SAW Terdapat riwayat menyebutkan bahawa para sahabat R.A mencium tangan Rasulullah SAW. Antaranya daripada Usamah bin Syarik, beliau berkata: (Maksudnya): “Kami bangun pergi kepada Nabi SAW, lalu mencium tangan Baginda.” Begitu juga riwayat daripada Zari‘ bin ‘Amir, beliau berkata: (Maksudnya): “Tatkala kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba untuk turun daripada tunggangan kami, kemudian kami mencium tangan Nabi SAW dan kaki Baginda.” Selain itu, juga riwayat daripada Ibn Umar, beliau berkata: (Maksudnya): “Kami mencium tangan Nabi SAW.” Di samping itu, terdapat juga riwayat yang menyebutkan bahawa para sahabat R.A mencium tangan sesama mereka. Antaranya daripada Tamim bin Salamah, katanya: (Maksudnya): “Ketika Umar R.A tiba di Syam, Abu ‘Ubaidah al-Jarrah R.A menyambutnya dan mencium tangannya. Kemudian kedua-duanya berlalu sambil menangis.” Tambahan lagi, diriwayatkan bahawa Thabit R.A pernah mencium tangan Anas bin Malik R.A dan Ali R.A juga pernah mencium tangan atau kaki al-‘Abbas R.A. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI