suria

Kalau isteri sakiti suami... boleh jatuh nusyuz dan dosa besar!

Tips-to-Avoid-Ugly-Arguments-in-a-Relationship

ISTERI merupakan amanah dan cerminan bagi suami. Dalam Islam, setiap isteri wajib taat pada suaminya dengan baik dan setiap suami juga wajib melayani isteri dengan sebaiknya.

Islam mengajar supaya pasangan suami isteri hendaklah sentiasa bergaul dan bertoleransi di antara keduanya supaya dapat melahirkan rasa cinta dan kasih dalam perkahwinan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan jadi syaitan bisu! Sesungguhnya perbuatan orang tengah, pemberi dan penerima rasuah hukumnya haram... semua dilaknat Allah

Umumnya, setiap orang yang berkeluarga pasti mengharapkan kebahagiaan dan keharmonian dalam rumah tangganya.

Tidak dinafikan cabaran hidup berumah tangga sangatlah kuat dan hebat. Setiap perkahwinan yang dibina pasti ada ujian yang mendatang. Mungkin awal perkahwinan kaya, kini jadi miskin, mungkin dahulu isterinya cantik atau suaminya baik, tetapi sekarang semua sudah bertukar disebabkan faktor usia, kewangan dan lain-lain.

Dalam konteks ini, kita perlu melihat apa tujuan sebenar perkahwinan serta tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh suami dan isteri. Suami ada peranannya sendiri sebagai ketua keluarga, manakala isteri juga ada peranannya buat suami dan anak-anak. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja adalah pemimpin bagi rakyatnya, dan dia akan diminta bertanggungjawab terhadap yang dipimpin. Seorang suami adalah pemimpin bagi anggota keluarganya, dan dia akan diminta bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dan akan diminta bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya, dan dia juga akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta bertanggungjawab atas apa yang kamu pimpin.” [HR. Bukhari 5200]

1606460515_Wife-punished-for-cheating-The-husband-was-locked-in-a-800x445-1

Perbuatan nusyuz seorang isteri adalah haram dan termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar.

Justeru itu, isteri hendaklah melakukan sesuatu yang yang baik serta menyenangkan hati suami. Apa sahaja perkara yang baik, semua akan dikira pahala. Jika menyakiti suami, dosa yang akan kita dapat.

Namun, sekiranya isteri melakukan perkara yang sebaliknya terhadap suami, bermakna isteri telah melakukan perbuatan nusyuz. Perbuatan nusyuz seorang isteri adalah haram dan termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar, dan akan dikenakan hukuman bagi sesiapa yang melakukannya.

Firman Allah dalam surah an-nisa’ ayat 128 yang bermaksud: “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya).”

Mentaati suami dalam semua urusan keluarga adalah kewajipan yang paling asas bagi seorang isteri kecuali pada perkara yang dilarang agama seperti melakukan zina dengan lelaki lain (pelacuran), meminum arak, mencuri dan sebagainya. Allah berfirman dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."

Isteri yang menyakiti dan mengabaikan suaminya boleh menyebabkan kesan yang buruk di dunia dan di akhirat kerana kunci untuk masuk ke syurga bagi seorang isteri terletak pada keredaan suaminya. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Jikalau memerintahkan seseorang untuk bersujud, pasti aku akan memerintahkan seseorang perempuan untuk sujud kepada suaminya”. [HR. Tirmizi 1159]

Hadis tersebut jelas menyatakan kedudukan suami dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh isteri kepada suaminya. Hadis itu memberi gambaran bahawa seorang isteri wajib taat, patuh dan hormat kepada seorang suami kecuali pada perkara yang mungkar seperti yang dijelaskan di atas.

Tips-to-Avoid-Ugly-Arguments-in-a-Relationship

Pasangan suami isteri perlu berbincang dengan baik sekiranya terdapat sebarang masalah.

Antara perkara yang menyakiti suami ialah:

1. Menghina dan mengumpat hal suami pada orang lain

2. Keluar rumah tanpa keizinan suami kecuali pada perkara yang hak pada isteri

3. Tidak melayan suami dan bergaul dengannya

4. Melakukan perbuatan curang terhadap suami

5. Mendoakan perkara yang buruk kepada suami

Dalam konteks ini, perkara tersebut dikaitkan dengan sabda Rasulullah tentang kaum wanita yang menjadi penghuni neraka akibat menyakiti suami. Sabdanya yang bermaksud:

“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?” Baginda menjawab: “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.” [HR. Bukhari 5197]

Oleh itu, beringatlah para isteri. Sentiasa muhasabah diri dan perhatikan adakah segala perbuatan kita itu menggembirakan suami atau sebaliknya.

Insafilah setiap kesilapan yang telah dilakukan terhadap suami dan mohon maaf pada suami sekiranya telah melakukan perbuatan yang salah.

Sayangilah dirinya sepenuh hati supaya hidup kita sebagai isteri selamat dunia dan akhirat serta diredhai Allah.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain