SEKSA diri sehingga sanggup menahan lapar kerana ingin mendapatkan berat badan yang ideal tidaklah sesuai untuk kita melakukannya. Niat untuk kurus itu bagus, cuma ia perlu dipimpin ke arah yang betul. Islam mementingkan kesederhanaan dalam segala perkara. Hakikatnya, semua perkara yang melampau dilarang dalam Islam kerana ia mendatangkan kemudaratan. ARTIKEL BERKAITAN: Mati itu pasti... apa sebenarnya maksud alam barzakh? Kajian sains juga mengatakan apabila kita tahan lapar sehingga menyeksa diri, ia akan memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan. Sebab itulah kita tidak digalakkan untuk melakukan hal ini. Namun, sifat manusia yang menzalimi diri mereka ada disebut dalam firman Allah dalam surah ar-Rum ayat 9 yang bermaksud: “Tuhan (Allah) tidak menzalimi mereka itu (maksudnya manusia), tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.” Dalam konteks ini, terbukti bahawa manusia sentiasa membuat sesuatu untuk memenuhi kehendak nafsu mereka sehingga menyeksakan diri kepada keadaan yang tidak baik. Ya benar, semua orang ingin kelihatan cantik dan kurus tetapi biarlah perkara itu dilakukan dengan cara yang sihat dan menyenangkan diri. Pemakanan seimbang sangat penting dalam diet. Dalam Islam, terdapat cara-cara yang boleh kita lakukan untuk kita sihat dan dalam masa yang sama, cantik luar dan dalamannya. Kesihatan manusia sebenarnya amat berkait rapat dengan pemakanan seharian. Sebab itu, orang yang tidak menjaga pemakanannya mudah terdedah dengan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya Islam menganjurkan kesihatan dan bentuk ideal untuk tubuh, namun Islam juga tidak membenarkan jika cara diet yang dilakukan terlalu berlebihan. Oleh itu, kita boleh gunakan cara diet yang dianjurkan dan bersesuaian dalam Islam. 1. Berpuasa Cara paling berkesan untuk menurunkan berat badan adalah dengan berpuasa. Dengan melakukan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Puasa sunat yang dilakukan secara rutin akan membuat tubuh badan kurus dan langsing. Walaupun begitu, tidak boleh berniat puasa semata untuk kurus tetapi niatlah kerana Allah supaya badan sihat. Puasa adalah cara efektif untuk mengatur cara makan dan sebagai rawatan untuk merehatkan organ pencernaan kita. 2. Menunaikan solat Solat adalah cara beribadah seorang muslim kepada Pencipta (Allah). Langkah-langkah dan tatacara dalam melakukan solat dilakukan dengan gerakan seperti berdiri, rukuk, dan sujud yang memiliki khasiat tersendiri bagi kesihatan tubuh badan. Di antaranya adalah seperti melancarkan peredaran darah dan membuat seluruh tubuh ikut bergerak sehingga lemak-lemak yang ada pada tubuh dapat dikurangkan. 3. Makan makanan halal dan sihat Kita digalakkan makan makanan seimbang untuk kesihatan tubuh badan supaya nilai zat yang terkandung dalam makanan beri kebaikan untuk tubuh badan. Namun, penting untuk ambil berat tentang status halal makanan tersebut supaya lebih terjamin kebersihan dan keselamatannya. Banyakkan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan. Ikutlah cara pemakanan yang dilakukan oleh Rasulullah. 4. Tidak terus baring selepas makan Tidur selepas makan selalu dilakukan oleh kita. Hal ini berkait semasa kita lapar, kita akan makan dengan jumlah yang lebih banyak. Akibatnya, perut menjadi terlalu kenyang dan mata berat atau mengantuk, seterusnya kita akan tidur. Tubuh badan kita memerlukan sedikit masa untuk memproses serta menghadam makanan dan minuman yang diambil. Apabila kita tidur selepas makan, ia merencatkan proses ini seterusnya membuat tubuh badan tidak menyerap nutrisi yang sepatutnya. 5. Berhenti sebelum kenyang Makan dengan yang terlalu banyak tentu akan membuat berat badan kita tidak stabil. Makanlah makanan secukupnya, jangan berlebihan kerana ajaran Islam tidak menyukai hal-hal yang berlebihan dalam sesuatu. Bahkan dalam Islam sendiri menganjurkan untuk makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Allah berfirman dalam al-Quran surat Al-Araf ayat 31 yang bermaksud: “Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan”. Selain itu kita juga tahu perut yang kosong dari makanan terdapat faedah padanya manakala perut yang penuh mempunyai kesan buruk. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak ada tempat yang lebih buruk daripada memenuhi perut keturunan Adam. Cukup keturunan Adam mengambil apa yang dapat menguatkan tulangnya. Jika ia adalah sesuatu yang perlu untuk diisi, maka satu pertiga makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” [HR Tirmizi: 2380] Berdasarkan hadis tersebut, benarlah bahawa kita hendaklah menjaga perut kita dengan tidak makan secara berlebihan. Walaupun terdapat faedah iaitu perut yang lapar dapat membersihkan hati, menghilangkan sifat buruk, dan meningkatkan kecerdasan tubuh badan, namun, hendaklah kita ingat bahawa tidak sepatutnya kita mengurangkan makan dengan berlebihan, sehingga membahayakan kesihatan dan menyebabkan terganggunya segala perkara untuk kita beribadah kepada Allah yang telah memberi nikmat pada hamba-Nya. ***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI