suria

Tak salah tapi ada sebab jangan sibuk merakam video atau gambar ketika tawaf... ini pandangan ulama

Sebaik-baiknya elakkan mengambil gambar atau video ketika melakukan ibadah.

PELUANG ke tanah suci Makkah bukan datang setiap hari dan jika dapat menjejakkan kaki ke sana ia adalah dengan izin-Nya.

Disebabkan itu selain melakukan ibadah umrah atau haji, jemaah kebiasaannya akan mengambil peluang menziarah, membeli-belah selain merakamkan gambar dan video sebagai kenang-kenangan.

Pun begitu, ada pula segelintir jemaah yang turut merakamkan video dan gambar ketika sedang bertawaf dan berkongsi di media sosial. Tapi persoalannya, adakah perbuatan itu dibolehkan atau Islam melarangnya?

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat ke Makkah buat umrah tapi tipu status vaksinasi, apa hukumnya?

Menjelaskan perkara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri memberitahu secara umumnya, suatu tawaf itu dianggap sah sekiranya memenuhi kesemua syarat-syaratnya. Antaranya ialah:

1. Syarat sah tawaf adalah sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat.

2. Semasa tawaf, mana-mana bahagian badan, tidak boleh termasuk ke dalam sempadan Kaabah. Justeru, hendaklah tawaf di luar kawasan Hijr Ismail kerana ia juga termasuk di dalam kawasan Kaabah dan tidak boleh tawaf di dalamnya.

3. Selain itu, tawaf juga hendaklah dimulakan daripada Hajar Aswad dengan Kaabah berada di sebelah kiri badan. Sesiapa yang memulakan tawaf di belakang garisan Hajar Aswad ia belum dikira tawaf sehingga dia sampai ke garisan tersebut. Seterusnya, dia hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak tujuh kali.

Makkah

Perbuatan mengambil gambar dan video ketika tawaf boleh menganggu jemaah lain.

Melakukan tawaf sambil merakam video

Pada asasnya, Zulkifli berkata, perbuatan merakam video adalah kekal kepada hukum asal sesuatu perkara selain ibadah iaitu harus. Namun dalam isu ini, perbuatan merakam video terkait dengan amalan lain yang berbentuk ibadah.

Maka, hendaklah diteliti bahawa adakah perbuatan merakam tersebut dibenarkan ketika melakukan ibadah tawaf, ataupun tidak?

"Mengenai tawaf pula, perbuatan tersebut disifatkan kedudukannya oleh Baginda SAW sebagai menyamai ibadah solat. Cuma yang membezakannya adalah, seseorang yang melakukan tawaf boleh berkata-kata ketika menunaikannya berbeza dengan solat," katanya.

Terdapat sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.A. bahawa Nabi SAW bersabda: (Maksudnya): “Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”

Al-Amir al-San‘ani menyatakan bahawa penyerupaan tawaf dengan solat adalah pada pahala dan syarat suci baginya. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa diharuskan bagi seseorang itu untuk berbicara dengan orang lain ketika menunaikan ibadah tawaf. Adapun perkataan berupa zikir-zikir ketika tawaf, maka hukumnya adalah sunat.

Selain itu, Imam al-Syafi‘i dan para ashab berpendapat bahawa bercakap-cakap di dalam tawaf hukumnya adalah diharuskan. Perbuatan bercakap-cakap tersebut tidak membatalkan tawafnya dan tidak juga dihukumkan sebagai makruh.

"Akan tetapi meninggalkan perbuatan bercakap-cakap itu adalah lebih utama melainkan pada percakapan yang baik seperti amar makruf nahi mungkar, mengajar orang yang jahil, memberi fatwa (menjawab pertanyaan) atau seumpamanya," ujarnya.

29selfie_cropped.transformed

Ramai mengambil peluang bergambar kerana bukan mudah untuk mendapat peluang ke Makkah.

Bukan itu sahaja, Badruddin al-‘Aini menukilkan daripada Imam al-Syafi‘i daripada riwayat Ibn Umar bahawasanya beliau berkata: (Maksudnya): “Kurangkanlah percakapan di dalam tawaf kerana sesungguhnya kamu berada di dalam solat.”

Imam al-Tirmizi menambah lagi dengan menyatakan bahawa yang menjadi amalan di sisi kebanyakan ulama ialah mereka lebih menyukai sekiranya seseorang itu tidak bercakap-cakap ketika melakukan tawaf melainkan kerana adanya keperluan atau berzikir kepada Allah atau ilmu.

Tambahan pula, dinukilkan daripada Abu Umar daripada ‘Ata’ bahawa beliau tidak suka untuk bercakap-cakap ketika tawaf melainkan ada keperluan. Begitu juga Mujahid akan membaca al-Quran di dalam tawafnya. Imam al-Syafi‘i berkata: “Aku lebih suka untuk membaca al-Quran di dalam tawaf kerana ia merupakan sebaik-baik perkara yang diucapkan oleh manusia.”

"Demikianlah juga, perbuatan makan dan minum ketika tawaf, hukumnya adalah makruh. Namun, hukum makruh bagi perbuatan minum adalah lebih ringan. Sekalipun begitu, tawaf tidak terbatal dengan salah satu daripada perbuatan tersebut, mahupun kedua-duanya secara serentak.

Imam al-Syafi‘i menyatakan bahawa tidak mengapa meminum air ketika tawaf dan aku juga tidak menghukumkannya sebagai makruh — yakni berdosa — tetapi aku lebih menyukai sekiranya perbuatan itu ditinggalkan kerana meninggalkannya adalah lebih baik dari sudut adabnya.

Bahkan sepatutnya seseorang yang sedang melakukan tawaf itu mengkhusyukkan diri dengan menghadirkannya ke dalam hati mereka dengan penuh adab secara zahir dan batin, dalam setiap keadaan, pergerakan dan penglihatan mereka.

Hal ini kerana tawaf itu adalah seperti mana solat, maka beradablah dengan adab-adabnya, di samping merasakan di dalam hatinya keagungan Allah SWT.

Selain daripada itu, berdasarkan kepada hadith Ibn Abbas ini, berkata-kata semasa menunaikan tawaf, mestilah diikat dengan anjuran mengucapkan ucapan yang baik semasa mengerjakan tawaf.

"Berdasarkan pendapat-pendapat ulama di atas, setiap perbuatan yang harus untuk dilakukan semasa tawaf, mestilah tidak sampai membawa kepada gangguan terhadap jemaah lain sebagaimana ditekankan oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith Ibn Abbas di atas menyatakan bahawa termasuk dalam ucapan yang baik ialah berzikir kepada Allah SWT dan menyampaikan ilmu, dalam bentuk yang tidak mengganggu jemaah lain yang sedang mengerjakan ibadah tawaf.

"Sekiranya ia berlaku, maka hendaklah sedaya upaya dielakkan. Contohnya adalah perbuatan merakam video semasa mengerjakan tawaf. Jika seseorang itu sedang melakukan tawaf, lalu dia merakam video perjalanan tersebut dengan kamera yang diletakkan di video stick, sudah tentu perbuatan tersebut akan mengganggu pergerakan dan tumpuan jemaah lain," jelasnya lagi.

Sepatutnya waktu tawaf tersebut termasuk dalam waktu ibadat yang sepatutnya digunakan dan ditumpukan untuk acara ibadat seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi SAW, merasakan keagungan Allah SWT di dalam hati dan lain-lain.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain