ADA dalam kalangan kita yang akan mandi sebelum solat dan mengambil wuduk dalam keadaan berbogel. Adakah perbuatan itu dilarang dalam Islam? Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menjelaskan tidak dinyatakan bahawa ‘menutup aurat ketika berwuduk’ termasuk dalam perkara wajib mahupun sunat untuk dilakukan. ARTIKEL BERKAITAN: Main kutu nak kumpul wang segera... apa hukumnya dalam Islam? Namun, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat termasuk dalam salah satu perkara sunat ketika mandi. Aurat yang dimaksudkan di sini ialah dua kemaluannya; qubul dan dubur. "Justeru, disunatkan baginya untuk menutup kedua-duanya kerana ia merupakan auratnya ketika bersendirian," katanya. Sekalipun begitu jelas Zulkifli, hukumnya adalah berbeza sekiranya seseorang itu mengambil wuduk dalam keadaan tanpa berpakaian di tempat awam. Hal ini kerana pada waktu tersebut, sudah jelas hukumnya bahawa dia wajib menutup aurat. Ini berdasarkan kepada hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW: Seorang Muslim itu hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain termasuklah ketika mengambil wuduk. Maksudnya: “Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.” Jelas zulkifli lagi, sebagai seorang penganut agama Islam, kita hendaklah sedaya upaya mengelakkan diri daripada mendedahkan aurat tanpa keperluan sekalipun kita bersendirian. Hal ini adalah sebagaimana dinukilkan bahawa ulama mazhab Hanafi — mengikut pendapat yang sahih, — ulama mazhab Syafi‘i dan ulama mazhab Hanbali berpendapat bahawa wajib untuk menutup aurat sekalipun bersendirian (berada di tempat yang sunyi) dan jauh daripada pandangan manusia. Manakala menurut ulama mazhab Maliki, hukumnya adalah sunat untuk menutup aurat sendiri ketika bersendirian dan ia dituntut sebagai sikap malu kepada Allah SWT dan para malaikat-Nya. Adapun jumhur ulama pula, mereka berhujahkan bahawa arahan untuk menutup aurat itu bersifat mutlak dan juga kerana Allah SWT itu lebih layak seseorang itu untuk malu terhadap-Nya sebagaimana hadis Bahz bin Hakim yang telah disebutkan di atas. "Justeru menutup aurat ketika bersendirian itu adalah dituntut melainkan jika terdapatnya keperluan seperti mandi, menyejukkan badan dan seumpamanya," ujarnya. Zulkifli menyimpulkan bahawa seseorang yang berwuduk dalam keadaan telanjang di tempat yang tertutup (yakni berseorangan) dan jauh daripada pandangan manusia, wuduknya adalah sah. Begitu juga, jika dia berwuduk di tempat awam dan mendedahkan auratnya, wuduknya juga dikira sah. Akan tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya. "Sepatutnya seseorang Muslim itu hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Lebih-lebih lagi, berwuduk termasuk dalam perkara ibadat, maka adalah lebih baik dan afdhal dilakukan dengan cara menutup aurat," ujarnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI