DI dalam Islam semua mengetahui bahawa amalan rasuah adalah berdosa, malah pemberi dan penerima rasuah adalah dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Tetapi bagaimana pula dengan individu yang menjadi orang tengah bagi berlakunya aktiviti rasuah di antara pemberi dan penerima?ARTIKEL BERKAITAN: Berwuduk dalam keadaan bogel boleh atau tidak? Adakah berdosa? Ketahui penjelasan pakar Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menjelaskan terdapat nas yang jelas daripada Rasulullah melarang perkara tersebut. Zulkifli berkata, dalam sebuah hadith menyebut daripada Thauban RA, katanya: (Maksudnya): “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya”. Mereka yang terlibat dengan rasuah termasuk orang yang menjadi pemudah cara adalah dilaknat. Kaedah fiqh juga menyatakan: (Maksudnya): Menolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat. "Jelas di sini menunjukkan mereka yang terlibat dengan rasuah termasuk orang yang menjadi pemudah cara adalah dilaknat. "Para ulama’ sebahagiannya menafsirkan maksud dilaknat dengan makna ia termasuk dalam dosa besar. Dengan sebab itu, al-Imam al-Zahabi memasukkan rasuah ini dalam dosa-dosa besar melalui kitabnya, al-Kabair," ujarnya. Bahkan kata Zulkifli, bagi sesiapa yang melihat kemungkaran dosa tersebut seperti dosa rasuah hendaklah dia tegah sebagaimana kuasa yang dia ada. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Daripada abu Sa’id al Khudri RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda: (Maksudnya): “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” Masyarakat sama-sama bertekad untuk menghindarkan diri daripada sebarang bentuk rasuah. Imam al-Nawawi dalam syarahnya meriwayatkan daripada Abi al-Qasim al-Qusyairi dan kata-kata ini disandarkan kepada Abi Ali al-Daqqaq bahawa “barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.” Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakar al-Siddiq RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: (Maksudnya): “Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab. "Sesiapa yang terlibat dengan sesuatu dosa seperti rasuah, sama ada bersubahat, menjadi pengantara, maka hukumnya adalah haram sebagaimana perbuatan tersebut, dan perbuatan tersebut adalah perbuatan yang membantu ke arah dosa tersebut," katanya. Zulkifli turut menukilkan daripada buku Rasuah: Punca, Kesan dan Penyelesaiannya menyebut, kesan buruk rasuah, antara lain ialah: 1. Menghancurkan keadilan dalam sesebuah negara. 2. Melahirkan masyarakat yang tiada kemahiran dan skil. 3. Muncul masyarakat yang pentingkan diri sendiri. 4. Menghasilkan hasil kerja yang buruk. 5. Kos pengurusan akan meningkat. 6. Pengurusan pentadbiran menjadi lambat dan kucar-kacir. 7. Muncul orang jahat yang bertambah jahat. 8. Menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang. Berdasarkan kepada implikasi dan bahayanya, Zulkifli meminta masyarakat sama-sama bertekad untuk menghindarkan dari sebarang bentuk rasuah tetapi sebaliknya membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI