suria

Pelakon makin tak malu ‘tayang’ badan, pandang remeh isu hukum... Ketahui 7 panduan lakonan dalam Islam yang perlu diberi perhatian!

Salah satu babak penyanyi rap dan pelakon Noki dalam sebuah drama yang menunjukkan badannya yang kekar.

MEDIA penyiaran seperti filem, iklan, dokumentari serta media sosial adalah salah satu medium berpengaruh dalam penyebaran maklumat dan ilmu berkaitan apa juga bidang pada masa kini.

Apa sahaja program berbentuk informasi mahupun hiburan yang memberi manfaat dan pengajaran pada diri dan masyarakat, ia adalah sesuatu yang baik dan perlu disebarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kalau peka hukum agama tak muncul babak pelakon ‘belanja’ badan... PU Syed tegur Shuhaimi Lua, haram tayang aurat dalam drama

Namun ada syarat untuk kita fahami dan ikuti lebih-lebih lagi kerana ia memberi impak besar pada masyarakat khususnya dalam bidang lakonan filem atau drama yang menyentuh budaya masyarakat setempat.

Islam tidak menghalang untuk kita berhibur tetapi ada batasnya sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 195:

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

553

PU Syed turut menegur pengarah Suhaimi Lua tentang soal menayang aurat pelakon di dalam drama arahannya.

Baru-baru ini tular mengenai adegan dalam satu drama yang mempunyai unsur seksual sehingga menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Adegan itu jelas haram kerana menunjukkan aksi tidak sesuai ditonton oleh masyarakat lebih-lebih lagi kanak-kanak kerana melanggar batas pergaulan anatara lelaki dan perempuan.

Bukan itu sahaja, ada juga pelakon lelaki tanpa segan silu 'belanja' tubuh kekar dalam drama hingga menjadi satu kebiasaan meskipun jelas hukum mendedahkan aurat adalah haram.

Prinsip dalam Islam, 'niat tidak menghalalkan cara' meskipun seseorang ada niat yang baik, ia tetap tidak menghalalkan tindakan untuk melakukan perkara haram.

Terdapat tujuh asas panduan lakonan dalam Islam yang perlu diperhatikan dan di ambil berat, termasuklah;

Fikry

Fikry Ibrahim antara aktor yang meletakkan syarat untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam drama atau filem.

1. Pakaian dan aurat

Pihak yang terlibat dalam melakonkan sesuatu hendaklah menutup aurat seperti diperintahkan Allah. Sekiranya soal aurat tidak dijaga, ia akan memberi kesan kepada penonton terutamanya kanak-kanak kerana hal itu dianggap bukan perkara yang perlu dipatuhi sedangkan dalam al-Quran Allah berfirman dalam Surah Al-A’raf ayat 26:

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

2. Pergaulan (lelaki dan perempuan)

Islam mengharamkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram termasuk bersalaman dan bersentuhan serta menimbulkan nafsu antara keduanya.

Hadis Rasulullah: Maksudnya: “Tidak, demi Allah. Tangan Rasulullah tidak pernah sekali pun menyentuh tangan wanita ketika berbai’ah.” [HR Bukhari 2713]

3. Genre

Tidak mengandungi unsur tahyul, khurafat dan pemujaan dengan niat untuk melakukan dan menyebarkannya kerana ia bertentangan dengan akidah Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Selain itu, filem atau drama mestilah tiada unsur menghina, mencaci orang lain dan tiada aksi ganas melampau serta lucah untuk tontonan umum. Lakonan watak tokoh-tokoh seperti Rasul, Nabi dan khalifah tidak dibolehkan kerana ia merendahkan taraf mereka.

Seterusnya, lakonan tersebut tidak mengandungi unsur-unsur bercanggah dengan akhlak yang bermaksud kelakuan, tabiat, adab dan budi pekerti berasaskan ajaran Islam dan peraturan yang ditetapkan melalui al-Quran dan al-Sunnah.

5. Muzik dan nyanyian

Muzik dan nyanyian hendaklah tidak melampaui batas serta tidak terlibat dalam perkara maksiat, haram dan melalaikan. Sabda baginda Rasulullah yang bermaksud:

Maksudnya: Akan ada di antara umatku, satu kaum yang menghalalkan zina, sutera (untuk lelaki), arak dan alat muzik.” [HR Bukhari 5590]

6. Ruang dan perkakasan

Tempat dan ruang lakonan mestilah dalam keadaan baik, tiada unsur yang tidak menepati syariat dalam agama.

Selain itu, penggunaan alat-alat makan dan minum (cawan, gelas, pinggan, mangkuk, sudu dan garfu), hendaklah bukan diperbuat daripada emas dan perak agar tidak menunjukkan kemewahan keterlaluan dalam kehidupan.

7. Bahasa

Bahasa digunakan ketika lakonan mestilah bahasa yang sopan, tiada makian kerana Islam sangat menekankan interaksi baik dengan menggunakan bahasa sesuai ketika berhubungan antara satu sama lain.

Justeru, Islam sebagai asas akidah dan panduan akhlak buat seluruh umat. Tunjukkan contoh yang baik dan cerita mendidik ke arah kebaikan, bukan ke arah keburukan.

Oleh itu, tayanglah perbuatan memberi faedah kepada masyarakat supaya ada pengajaran dan impak positif dalam diri, keluarga, masyarakat dan agama.

Hentilah daripada menunjukkan aksi tidak baik dan fikirkan kesannya pada masa akan datang jika kita teruskan tayang aksi bebas tersebut.

Semoga kita semua dapat berfikir dengan baik sebelum melakukan sesuatu perkara supaya perbuatan yang kita lakukan mendapat ganjaran dan pahala di sisi Allah.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain