suria

Video live berzikir depan kubur jadi perdebatan, ada yang kata bidaah! PU Syed tegur, boleh undang fitnah terhadap Islam

Golongan ini dicadang terus menuntut ilmu agar tidak menjadi orang yang sengaja mencetuskan fitnah kepada agama.

KECOH di media sosial selepas penularan sebuah video menyaksikan sekumpulan individu sedang berzikir dipercayai di hadapan sebuah kubur pada waktu malam.

Tangkapan skrin video daripada siaran langsung itu menjadi perdebatan dalam kalangan netizen yang meragui tentang kaedah berzikir yang dilakukan oleh individu dalam rakaman tersebut.

Di ruangan komen di aplikasi TikTok ramai mempertikaikan kaedah berzikir itu sehingga ada mendakwa ia sebagai bidaah.

Picutre 2

Ada yang mempertikaikan cara sekumpulan individu ini berzikir di hadapan kubur tetapi ada pula yang melihat ia bukan satu kesalahan.

Dalam rakaman itu, beberapa individu dilihat berdiri dipercayai di hadapan sebuah kubur yang dipasang palang sambil berzikir menyebut nama Allah dalam keadaan berdiri dan menggerakkan badan.

Seorang pengguna TikTok iaitu @qudsrosli yang mengulang siar rakaman berkenaan dilihat mempersoalkan tindakan dilakukan.

"Buruknya Islam apabila berdiri di atas jalan bidaah dan indahnya Islam kerana sunnah.

"Bidaah dan sunnah tidak sama sekali bergerak dalam jalan yang sama," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jiwa kacau, hati tak tenteram? Ubatilah ia dengan berzikir, pahala dapat Allah pun sayang

Beberapa pengguna TikTok yang meninggalkan komen rata-rata mempersoalkan keperluan dan tindakan individu dalam video berkenaan berzikir di hadapan kubur.

Meskipun tiada pengkhususan tempat untuk berzikir, namun ramai merasakan berzikir di hadapan kubur boleh mendatangkan fitnah kepada orang yang menonton.

"Persoalannya sekarang, itu kubur siapa? Atas sebab apa berzikir di hadapan kubur? Bukankah lebih baik berzikir di masjid atau rumah?" soal netizen.

X2

Antara komen netizen di TikTok.

Bagaimanapun rata-rata yang menonton video itu merasakan tiada sebarang kesalahan dilakukan individu dalam rakaman itu kerana tidak melakukan sebarang perbuatan pelik.

Malah sepanjang video itu, kesemua mereka hanya berzikir menyebut nama Allah dan bukannya melakukan perbuatan yang mendatangkan keraguan.

"Orang yang pernah merasai kenikmatan dan keindahan berzikir sahaja yang tahu, yang tidak tahu dan tidak pernah merasainya akan bersangka buruk.

"Tak pelik pun selagi dia mengingati Allah dan tidak menduakannya selain sesuatu. Allah maha esa, berkuasa pada setiap sesuatu pada sekalian alam.

"Bersangka baiklah... Saya ini dalam bab-bab agama lemah tetapi saya tak nampak kat mana salahnya," antara beberapa komen netizen mengenai perkara itu.

X1

Ada juga mempertahankan tindakan sekumpulan individu itu dengan mengatakan tiada kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, dalam mempertahankan tindakan itu, ramai bersetuju kesalahan utama dilakukan adalah individu yang membuat siaran langsung itu tidak sepatutnya berbuat demikian kerana ia telah menimbulkan fitnah.

Ramai bersetuju bahawa, ada segelintir pihak menilai tanpa ilmu dan terus membuat sangkaan tidak benar tentang amalan berzikir termasuk terhadap agama Islam itu sendiri.

"Boleh jika amal soleh ditunjuk kepada khalayak umum... Ia datangkan fitnah. Amal soleh kita dengan Allah sahaja.

"Habis semua benda nak dijadikan live, ingatlah menghindari fitnah itu lebih utama, pesanan untuk diri sendiri dan orang lain juga," tulis beberapa pengguna laman sosial itu.

Sementara itu, Pencetus Ummah Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed dalam respons terhadap video itu turut mempersoalkan individu terbabit yang membuat siaran secara langsung di laman sosial.

Jangan rakam kalau boleh undang fitnah

Jelas Syed, tindakan itu jelas boleh mendatangkan fitnah terhadap agama Islam apatah lagi kepada masyarakat biasa yang tidak tahu mengenai kaedah zikir yang dipaparkan.

"Antara salah satu kejahilan dalam realiti masyarakat kita sekarang ia itulah, kita semua nak tunjuk pada orang lain.

"Sama ada benda itu betul atau pun tidak, nak tunjuk, nak live semuanya. Sedangkan perkara itu boleh mendatangkan fitnah kepada agama.

"Mengapa benda macam ini kita tak boleh nak fikir? Apa sebab mereka tak boleh nak fikir benda paling mudah sekali," katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di Instagramnya.

Tambah Syed, tindakan itu bukan sahaja mendatangkan fitnah kepada agama tetapi kepada individu yang terlibat dalam video berkenaan.

"Sekalipun dianggap oleh kalian ini betul, tetapi hakikatnya benda ini jadi satu kepelikan kepada masyarakat biasa yang tidak tahu. Akhirnya mereka akan fitnah kalian," ujarnya.

Syed turut memberi cadangan agar golongan ini untuk terus menuntut ilmu agar tidak menjadi orang yang sengaja mencetuskan fitnah kepada agama.

"Kenapa benda ini jadi seperti ini? Anda semua kena mengaji (menuntut ilmu), Fiqh realiti, keadaan semasa dan sebagainya supaya tidak menjadi orang yang sengaja mencetuskan fitnah kepada agama," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain