TERKADANG sebahagian individu terlalu mudah dalam mengeluarkan pandangan berkaitan hukum syarak atau perkataan yang lebih mudah adalah merujuk kepada fatwa. Menurut al-Jurjani, fatwa adalah menjelaskan hukum bagi suatu permasalahan. Kadang-kadang kita boleh dengar seseorang berkata: “Aku rasa, hukum bagi isu ini adalah harus.” atau; “Hukum perbuatan ini haram kot.” Secara zahirnya, dapat difahami penggunaan perkataan, (aku rasa), (... kot), dan seumpamanya, sebenarnya orang yang berkata itu sendiri tidak mempunyai ilmu dan maklumat yang jelas berkaitan perkara tersebut. Apabila seseorang membicarakan berkaitan hukum syarak, sebenarnya dia sedang berbicara bagi pihak Allah. Hal ini untuk menyatakan apa yang Allah mahu dan apa yang Allah tidak mahu terhadap sesuatu perbuatan manusia, sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram. Hakikat hukum syarak Hakikat yang perlu kita sedar, tujuan utama penciptaan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk menjadi hamba kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Justeru, terdapat peraturan yang telah Allah tetapkan terhadap hamba-hamba-Nya. Mudahnya, ada perkara yang Allah mahu manusia lakukan dan ada perkara lain yang Allah tidak mahu manusia lakukan. Persoalannya, bagaimana seseorang manusia boleh mengetahui apa yang Allah mahu kita lakukan dan apa yang Allah tidak mahu kita lakukan? Allah menurunkan al-Quran dan Hadis untuk dijadikan panduan hidup. Gambar hiasan Secara ringkasnya, manusia perlu meneliti dan mengkaji risalah yang telah Allah turunkan kepada manusia melalui Nabi Muhammad SAW, iaitu al-Quran dan Sunnah. Al-Quran dan Sunnah merupakan dua sumber utama untuk manusia mengetahui apa kehendak Allah terhadap kita. ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui bentuk penghinaan, persenda agama dalam masyarakat! Pelaku segeralah bertaubat, kembali kepada Islam ARTIKEL BERKAITAN: Hukum jual beli ‘cedok’ di TikTok haram! Umpama berniaga zaman jahiliah Selain itu, terdapat juga sumber-sumber lain yang perlu diteliti dan dikaji sebelum mengeluarkan sesuatu pandangan berkaitan hukum syarak. Dalam proses berinteraksi dengan segala sumber hukum syarak yang ada, terdapat disiplin dan prosedur yang perlu dilaksanakan dengan baik. Justeru, ia bukanlah satu proses yang mudah untuk mengeluarkan sesuatu pandangan hukum syarak atau fatwa. Hanya orang yang mempunyai kelayakan sahaja boleh mengeluarkan sesuatu fatwa. Adapun bagi mereka yang tidak mempunyai kelayakan, maka mereka diarahkan untuk bertanya kepada ahli ilmu. Hal ini sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Nahl, ayat 43 (maksudnya): [Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui] Orang jahil haram mengeluarkan fatwa Allah berfirman di dalam Surah al-Nahl, ayat 116 (maksudnya): [Dan janganlah kalian berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram...”] Seterusnya, Nabi Muhammad SAW pula bersabda: “Sesiapa yang diberikan fatwa dengan fatwa yang tidak kukuh (tidak bersumberkan dalil), sesungguhnya dosanya kepada pemberi fatwa.” [Riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah] Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis ini, para ilmuan Islam telah menyatakan bahawa orang jahil yang tidak mempunyai kelayakan, diharamkan ke atas mereka untuk berfatwa. Mereka yang tidak mempunyai kelayakan sewajarnya bertanya kepada ahli ilmu lebih-lebih lagi membabitkan fatwa. Gambar hiasan Atas dasar itu, jika kita lihat kepada sikap para sahabat yang merupakan generasi terbaik dalam sejarah tamadun Islam, maka kita akan dapati mereka semua sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang pandangan berkaitan hukum syarak, atau fatwa. Seorang sahabat Nabi SAW, Al-Barra’ bin Azib pernah berkata (maksudnya): “Sesungguhnya aku telah bertemu dengan 300 orang dari kalangan ahli Badar (semuanya adalah dari kalangan sahabat Nabi SAW), tidak ada seorangpun dari kalangan mereka melainkan dirinya suka agar memadai dengan fatwa dari sahabatnya.” Berdasarkan perkataan Al-Barra’ ini, kita dapat fahami bahawa para sahabat tidak suka mengeluarkan sebarang fatwa (pandangan hukum syarak). Bahkan mereka lebih tenang dan selesa sekiranya sesuatu fatwa dikeluarkan oleh orang lain. Hal ini kerana, mereka memahami bahawa tanggungjawab di sebalik sesuatu fatwa sangatlah berat. Sikap yang perlu diambil dalam fatwa Menyedari betapa beratnya tanggungjawab di sebalik sesuatu fatwa atau memberi pandangan berkaitan hukum syarak, maka sekiranya seseorang individu tidak mengetahui atau tidak pasti berkaitan sesuatu hukum syarak bagi sesuatu isu, wajib ke atasnya untuk diam atau mengatakan “aku tidak tahu”. Tidak menjadi satu aib sekiranya kita mengatakan “aku tidak tahu”. Bahkan itulah yang di amalkan oleh para ilmuan Islam silam. Haitham bin Jamil pernah berkata: “Aku melihat Imam Malik ditanyakan sebanyak 48 permasalahan. Beliau menjawab bagi 32 permasalahan: (Aku tidak tahu).” Sedangkan Imam Malik, yang merupakan pengasas Mazhab Maliki dan tokoh besar dalam kalangan para ilmuan Islam, hanya menjawab 16 permasalahan, dan 32 permasalahan lagi beliau hanya mengatakan, “Aku tidak tahu”, inikan pula kita yang tidak mempunyai ilmu yang cukup. Kenapa terlalu susah untuk mengatakan “Aku tidak tahu”? ***Mohd Farouq Nukman adalah pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.