suria

Seronok bergelumang maksiat, rupa-rupanya ‘nikmat’ buat dosa adalah azab Allah... Pendosa tak sedar sedang dihukum!

Video seorang individu yang didakwa pengkid berpakaian ihram ketika menunaikan umrah baru-baru ini, mencetuskan kemarahan ramai.

BEBERAPA hari lalu kecoh kisah seorang individu yang didakwa merupakan seorang pengkid, melaksanakan ibadah umrah di Makkah dengan berpakaian ihram.

Video berdurasi 17 saat yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter itu memaparkan individu tersebut sedang merakam dirinya sedang tawaf di depan Kaabah dalam Masjidil Haram.

Pengguna Twitter tersebut bertindak memuat naik video berkenaan kerana kesal jemaah wanita itu menipu status jantina dan berani mempermainkan hukum Allah.

Dalam perkembangan terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memohon pihak terbabit menyiasat kes berkenaan.

ahmad sanusi

Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi turut terpanggil membuat ulasan mengenai isu berkenaan.

"Sebagai muslim, tugas menegur kemungkaran itu wajiblah dipenuhi. Bahkan Rasulullah mengingatkan bahawa mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan dia mampu, maka akan dibimbangi akan ditimpa azab dari Allah.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati-hati bersembang tentang syarak, berdosa kalau salah jatuh hukum ikut hati

"Sebagaimana sabda Rasulullah (bermaksud) 'tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dalam kalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya. HR Abu Daud'

"Barangkali ada yang bertanya, mengapa mereka ini masih kekal melakukan kemungkaran? Apakah mereka tidak takut akan azab Allah ke atas mereka? Mengapa Allah tangguhkan balasan pelaku dosa?

"Pada hakikatnya, keseronokan melakukan maksiat itu adalah salah satu bentuk hukuman dan balasan yang Allah berikan kepada manusia," tulisnya dalam satu hantaran yang dikongsikan di Facebook.

Tambah Dr Ahmad Sanusi, Allah menghukum para pelaku dosa ini dengan mencabut rasa takut kepada-Nya.

aliff

Video seorang usahawan dan penyanyi wanita yang 'hangat' baru-baru ini turut mendapat ulasan Dr Ahmad Sanusi.

"Inilah seberat-berat azab bagi seorang muslim sehingga mereka tidak rasa gentar melakukan dosa.

"Kata Abu Hazim bin Dinar 'sekiranya engkau perhatikan Tuhanmu kerap mengurniakan nikmat setelah engkau melakukan maksiat, maka berhati-hatilah'.

"Perkara ini diperincikan oleh al-Imam Ibn al-Jauzi yang menyebutkan 'hukuman Allah yang paling besar (ke atas seorang muslim) ialah pelaku dosa itu tidak merasakan yang dia sedang dihukum oleh Allah'.

"Dan lebih dahsyat daripada itu lagi, mereka merasa seronok dengan hukuman (hati mereka dicabut rasa takut tadi) seperti mereka merasakan seronok dengan memakan harta yang haram, atau kekal melakukan dosa," kongsinya.

Beliau turut memberi contoh kisah seorang lelaki pada zaman Bani Israel yang konsisten melakukan maksiat tetapi Allah tidak memberikan sebarang hukuman ke atasnya.

"Benarlah kata al-Imam Ibn Hajar, adakalanya Allah memberikan tempoh panjang buat seseorang itu agar dia kekal dalam pendustaannya dalam hukuman yang tidak dia sedari.

"Kata Ibn Hajar (adakalanya) Allah menangguhkan masa buat para pendusta agar hukuman itu lebih panjang buat mereka.

"Semoga Allah jauhkan kita dari sebarang maksiat dan hukuman-hukuman yang tidak kita sedari.

"Ini tidak lain hanyalah muhasabah buat diri kita sendiri. Semoga Allah membimbing kita," tulisnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain