DALAM keadaan ekonomi tidak menentu masa ini, masyarakat lebih gemar membeli barang terpakai berbanding baharu. Sudahlah lebih murah, barang juga boleh diguna lama dan yang pasti mengurangkan kos perbelanjaan kerana bebas hutang. Bagaimanapun, status halal dan haram serta isu kebersihan menjadi persoalan utama, tambahan pula jika barangan seperti perkakas elektrik dibeli daripada penjual non-muslim atau pemilik yang tidak diketahui. Berkemungkinan perkakas tersebut digunakan untuk menyimpan daging khinzir dan arak yang sememangnya diharamkan bagi umat Islam. ARTIKEL BERKAITAN: Alahai mak ayah... Usah tipu pendapatan bulanan demi tagih bantuan kerajaan, risau anak belajar tak berkat Menyedari hal ini, ada pihak secara lantang menawarkan perkhidmatan sertu atau samak perkakas elektrik seperti yang dapat dilihat dalam video tular baru-baru ini. Malah mereka mengakui menggunakan asas pembersihan yang disarankan Islam iaitu menggunakan basuhan air tanah. Selain menunjukkan teknik basuhan, pihak berkenaan yang dipercayai peniaga barangan elektrik terpakai menyatakan proses sertu perlu dilakukan secara rata kerana tidak mengetahui pemilik asalnya yang berkemungkinan bukan beragama Islam. Bagaimanapun, tindakan tersebut sebenarnya tidak wajar dilakukan kerana barangan tersebut tidak mempunyai sebarang tanda yang membuktikan bahawa ia bernajis. Menjelaskan mengenainya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman web rasminya berkata, adalah tidak wajib untuk disamak atau disertu barang yang dibeli daripada golongan non-muslim. Tanah liat yang sering digunakan untuk samak. Tetapi, sunat untuk dibasuh sebelum menggunakannya dengan air yang bersih sahaja, namun jika dengan basuhan tersebut boleh merosakkannya maka tidak perlu untuk membasuh agar terpelihara daripada kerosakan. "Islam menuntut umatnya supaya mengambil berat aspek kebersihan dalam kehidupan. Namun dalam aspek ini juga mestilah berpandukan hukum-hakam yang telah ditetapkan syarak. "Dalam aspek yang berkaitan ketidakpastian atau ragu-ragu dalam permasalahan najis, maka hendaklah berbalik kepada kaedah hukum asal bagi sesuatu barang itu adalah suci," jelasnya. Perkara ini seperti mana yang dinyatakan oleh sepotong hadis yang diriwayat oleh Abbdullah bin Zaid al-Mazini bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: Janganlah seseorang itu beredar (keluar dari solatnya) sehingga mendengar bunyi atau menghidu bau (yang keluar dari duburnya) Riwayat al-Bukhari (177) Selain itu, terdapat kaedah fiqh yang menjelaskan bahawa asal sesuatu barang itu adalah suci, kaedah ini seperti yang disebut oleh Imam al-San’ani di dalam karyanya Subul al-Salam, maksudnya: Sesungguhnya hukum asal sesuatu barang itu adalah suci. Begitu juga, jika seseorang itu syak dan tidak dapat dipastikan sesuatu itu bernajis atau tidak maka hendaklah ia menghukum sesuatu itu tidak bernajis sehinggalah wujud bukti kenajisan itu. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan, maksudnya: hukum asal sesuatu barang itu kekal sepertimana keadaan sebelumnya. Menyimpulkan permasalahan yang sering berlaku dalam masyarakat masa kini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan sekali lagi bahawa tidak wajib disamak atau disertu barang yang dibeli daripada golongan non-muslim sekiranya tidak terdapat sebarang tanda yang membuktikan bahawa ia bernajis. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI