UMPAMA menyelam sambil minum air, kebanyakan penceramah gemar membawa bersama produk yang dihasilkan apabila mereka dijemput untuk memberi ceramah di masjid. Produk itu kemudian diiklankan sebelum ceramah berakhir bagi menarik minat tetamu yang hadir. Boleh dikatakan, amalan tersebut telah menjadi kebiasaan di mana-mana masjid di Malaysia. Namun adakah anda mengetahui hukum jual beli di masjid adalah haram? Berdasarkan perkongsian sesi soal jawab bersama pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, akad jual beli yang dilakukan di dalam masjid adalah haram. Namun, jika sekadar pengumuman, ia tidaklah dikira sebagai jual beli. Akad jual beli dalam masjid tidak boleh dilakukan. "Untuk mengelakkan kita keluar daripada khilaf ulama, yang asalnya haram adalah akad jual beli di dalam masjid 'saya jual, saya beli'. "Ada pun 'kita umumkan' ia tidak dikira jual beli... sebagai contoh saya umumkan kalau sesiapa yang nak beli buku sila beli di luar masjid. ARTIKEL BERKAITAN: “Pelacur lagi bermaruah” - Islam larang suami isteri normalisasi 'content soft porn' di media sosial "Tapi jangan ada jual beli seperti 'belilah barang yang saya bawa' kerana itu sudah kempen jual beli barang," jelasnya. Susulan itu, beliau menasihati pengkuliah yang ingin menjual produk supaya hanya mengiklankan sahaja barangan yang dibawa sebagaimana "siapa yang nak beli buku, beli nanti di luar sana". Kesemua perniagaan ini hendaklah dipastikan menghormati waktu solat sehingga tidak melalaikan para jemaah selain memastikan mereka tidak leka berjual beli. PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN Tegas beliau, penggunaan ayat seperti "beli buku saya, diskaun sekarang ni" tidak boleh digunakan kerana ia mengandungi unsur promosi produk dan dikhuatiri masuk dalam akad jual beli. Memetik pandangan yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan nas dan hujah yang disebutkan, secara asasnya keseluruhan masjid adalah dilarang untuk dilakukan urusan jual beli. Namun begitu, ruang-ruang yang didirikan asing dari dewan solat utama, seperti kawasan tempat letak kereta atau ruangan-ruangan yang dibina khas untuk tujuan lain adalah dibenarkan. Bagaimanapun, kesemua perniagaan ini hendaklah dipastikan menghormati waktu solat sehingga tidak melalaikan para jemaah selain memastikan mereka tidak leka berjual beli sehingga tersasar dari tujuan asal datang ke masjid adalah untuk beribadat. Masjid adalah rumah Allah SWT yang diamanahkan kepada hamba-hamba untuk dijadikan sebagai tempat untuk mengingati dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman-Nya bermaksud: (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang (36). (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (37) (Surah al-Nur) Persoalan berkaitan jual beli di dalam masjid ini, juga disebut dengan jelas di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam Masjid, maka katakan padanya, “Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu.” Riwayat al-Tirmizi (1321) Imam al-Nawawi menyatakan pendapat yang paling sahih di sisi majoriti ulama hukum berjual beli di dalam masjid adalah makruh meskipun yang berjual beli itu orang yang sedang beriktikaf (yang tidak boleh keluar daripada masjid) melainkan di dalam keadaan yang mendesak. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI