suria

Musykil tentang urus jenazah di kawasan dilanda banjir? Ustazah Asma’ Harun pesan 4 perkara ini

Individu yang tidak mati dalam keadaan syahid atau berada dalam ihram, wajib diurus seperti biasa. -gambar hiasan

SAYU apabila membaca berita atau perkongsian mengenai mangsa banjir terutama yang kehilangan ahli keluarga ketika dilanda musibah itu.

Besar dugaan yang dihadapi mereka, bukan sahaja hilangnya tempat tinggal dan kerosakan harta benda, malah diuji pula dengan pemergian insan tersayang.

Dalam mendepani situasi ini, satu perkara yang sering menjadi tanda tanya dalam kalangan kita khususnya yang terlibat dengan musibah ini adalah bagaimana mahu menguruskan jenazah di kawasan yang masih dilanda banjir.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah terjejas banjir, ramai tertanya-tanya bolehkah jamak solat? Jangan risau, Ustazah Asma’ Harun tolong jawab

Merungkai persoalan ini, pendakwah bebas, Ustazah Asma' Harun tampil memberikan pencerahan menerusi satu perkongsian di Facebook.

Jelas Ustazah Asma', menguruskan jenazah banjir adalah satu kewajipan dan ia termasuk dalam fardu kifayah bagi masyarakat di sesuatu tempat.

"Ijma' Ulama bersepakat bahawa setiap individu yang tidak mati dalam keadaan syahid atau berada dalam ihram, wajib bagi mereka diuruskan dengan empat perkara iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan," ujarnya.

banjir

Kebanyakan kawasan khususnya di Pantai Timur masih dilanda banjir. -gambar hiasan

Berikut adalah penjelasan dan huraian Ustazah' Asma mengenai empat perkara tersebut:

1) Memandikan jenazah

Dalam situasi banjir, dibolehkan bagi seseorang menggunakan air banjir untuk memandikan jenazah. Urusan memandikan jenazah lebih utama diuruskan oleh orang yang sama jantinanya, jika tidak ada maka diharuskan yang berlainan jantina menguruskannya.

Sekiranya pusat penempatan banjir tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi atau air hanya cukup untuk keperluan asas sahaja seperti air minum, jenazah boleh ditayamumkan bagi menggantikan kefarduan mandi jenazah.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu)." (Surah al-Maidah: 6)

2) Mengkafankan jenazah

Kafan yang dituntut oleh syarak adalah kain putih yang mencukupi untuk menutup aurat jenazah. Sunat tiga lapis kain putih bagi jenazah lelaki dan lima lapis kain putih bagi wanita. Sekiranya menghadapi kesukaran menyediakan kain kafan yang mencukupi atau yang bewarna putih ketika di dalam situasi banjir, dibolehkan untuk mengkafankan jenazah sekadar untuk menutup jenazah sahaja.

Daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: "Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian dan kafankanlah yang mati di kalangan kamu dengannya." (HR Tirmizi, hadis Sahih)

asma harun

Ustazah Asma' Harun banyak berkongsi kemusykilan soal jawab agama di Facebook.

4) Solatkan jenazah

Jenazah yang telah dikafankan, wajib disolatkan sama ada secara sendirian atau berjemaah mengikut keadaan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: "Rasulullah SAW bersabda atas kematian al-Najasyi lalu baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali takbir." (HR Muslim, Hadis Sahih)

4) Mengebumikan jenazah

Jenazah yang sudah disolatkan wajib dikebumikan di kawasan perkuburan yang telah disediakan oleh pihak berkuasa. Sekiranya tidak dapat diuruskan, dinasihatkan untuk menghubungi pihak yang bertanggungjawab bagi menguruskannya. Sekiranya tidak berjaya, maka perlu dilakukan perkara-perkara berikut:

- Dikebumikan di mana-mana kawasan atau tanah yang boleh didapati. Setelah banjir surut, jenazah tersebut perlu dipindahkan oleh pihak berkuasa agama negeri ke tanah perkuburan yang disediakan sekiranya diperlukan. Atau;

- Menyimpan jenazah di tempat yang sesuai dalam suatu tempoh yang dirasakan tidak akan membusuk sehingga banjir reda dan dikebumikan setelah itu. Atau;

- Menghanyutkan jenazah dengan harapan agar ada orang yang menguruskan jenazah itu ketika menemuinya. Atau;

- Melakukan apa-apa alternatif lain untuk mengelakkan bau yang tidak menyenangkan dan memudaratkan orang awam.

Semoga perkongsian Ustazah Asma' dapat merungkai persoalan yang menjadi tanda tanya sebelum ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain