suria

Bersedia tempuh nikmat menghiburkan atau ujian melelahkan... Renungi pesanan Ustazah Asma’ sempena kedatangan 2023!

Ustazah Asma’ menitipkan pesan supaya kita terus berazam menjadi insan yang lebih baik.

MELANGKAH ke tahun 2023 bermakna meningkat setahun lagi usia kita dalam perjalanan menuju ke hari tua.

Sempena kedatangan tahun baharu, pendakwah terkenal ustazah Asma’ Harun turut menitipkan pesan agar kita semua terus berazam untuk menjadi insan yang lebih baik.

"Selamat datang 2023, tahun baharu untuk berazam menjadi lebih baik. Subhanallah terlalu cepat masa berlalu. Dalam tidak sedar, kita sudah memasuki 2023.

"Syukur atas nikmat umur yang dipinjamkan oleh Allah untuk kita perbaiki diri supaya menjadi lebih baik daripada sebelum ini," ujarnya.

file76rwla0yexdu75ya37z

Segala apa yang berlaku pada tahun lalu wajar dijadikan iktibar untuk mendepani hari mendatang.

Beliau turut menyelitkan hadis Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik RA yang bermaksud:

"Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api." [HR Tirmizi, hadis sahih]

Menurut Asma’ lagi, setiap tahun mempunyai cabarannya yang tersendiri, namun kita semua perlu bersyukur atas segala aturan Allah yang Maha Berkuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang yang bunuh diri akan mengulangi perbuatan itu dalam neraka selama-lamanya... Berdoalah kepada Allah jika hadapi tekanan hidup

Beliau turut menggesa kita semua untuk memperbaiki azam 2023 serta membetulkan matlamat dalam mengejar akhirat yang kekal dan abadi.

"Saya kira setiap tahun ada cabarannya, maka 2022 ada keunikannya tersendiri yang memberi nilai tambah pada diri kita. Semuanya merupakan hikmah daripada Allah Ya Hakim, yang Maha Bijaksana dalam mengatur perjalanan hidup kita dengan penuh rahmat.

file6y86p2t5ryvu6f2cmq0

Setiap tahun yang kita lalui mempunyai cabarannya yang tersendiri.

"Banyak yang perlu kita muhasabah dan syukuri sepanjang tahun ini. Kita perlu sedar dan percaya bahawa setiap yang berlaku wajib ada hikmah yang tersembunyi, tiada qada’ dan qadar yang sia-sia, kerana ujian merupakan bukti kasih sayang-Nya, iaitu anugerah teristimewa buat hamba Allah yang Esa.

"Sahabat, marilah sama-sama kita perbaiki dan perbaharui azam bagi tahun 2023 supaya lebih bersedia menghadapi apa saja yang menanti kita di hadapan, sama ada berupa nikmat yang menghiburkan atau ujian yang melelahkan.

"Betulkan matlamat kita untuk mengejar akhirat yang abadi dan seimbang dalam mengambil dunia yang bakal menjadi debu nanti," ujarnya.

Akhir kalam, Asma’ turut berharap agar segala aspek dalam kehidupan semua akan berubah menjadi lebih baik sempena hadirnya tahun 2023 yang penuh berkat ini.

"Mudah-mudahan tahun baharu ini bukan sahaja berlaku perubahan dari segi masa, tetapi juga perubahan akhlak yang lebih baik, kualiti ibadah yang lebih mantap, kesungguhan menjadi hamba yang taat dan merebut Syurga, InsyaAllah," ujarnya lagi dalam perkongsiannya di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain