suria

Jangan lalai, bencana alam peringatan untuk manusia... Tiba masa kembali ke jalan Allah

Gempa bumi yang amat dahsyat menimpa penduduk di selatan Turkiye.

BARU-BARU ini bencana alam yang amat dahsyat menimpa penduduk di selatan Turkiye.

Antara kawasan yang terkesan adalah di Sanliurfa, Gaziantep, Kahramanmaras, Malatya dan Osmaniye.

Selain itu, bencana juga turut menimpa utara Syria, seperti di Aleppo.

Bencana alam itu merupakan gempa bumi yang sangat buruk berukuran pada skala 7.8 magnitud.

Menurut laporan CNN, ia merupakan gempa yang terburuk dalam sejarah Turkiye sejak 1939.

Tidak dinafikan daripada segi ilmu geologi, fenomena gempa bumi terhasil apabila wujudnya pergerakan plat tektonik di dasar bumi.

Kesan gempa bumi berikutan Turkiye dilanda gempa bumi pada skala 7.8 magnitud.

Namun di sebalik kejadian ini, manusia sejagat seharusnya mengambil iktibar dan menyedari bahawa ia merupakan tanda kekuasaan dan keagungan Allah SWT.

Direkodkan dalam hadis bahawa Rasulullah SAW mengkhabarkan keadaan gempa yang kerap berlaku apabila tiba hari kiamat.

Sabda Rasulullah SAW: Bermaksud: “Tidak akan tiba hari kiamat hingga... banyak terjadi gempa bumi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6704)

Tambahan lagi, fenomena bencana alam ini juga turut menunjukkan kekuasaan Allah SWT dalam menyedarkan manusia agar mereka kembali kepada Allah SWT.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman),” [Surah al-Isra’, ayat 59]

Gempa bumi sederhana pernah berlaku di Kepulauan Nias sehingga gegaran dirasai di Perak pada 2014.

Ia juga turut disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim: “Allah SWT terkadang mengizinkan bumi untuk bernafas maka terjadilah gempa bumi yang dahsyat, sehingga hamba-hamba Allah ketakutan dan mahu kembali kepada-Nya, meninggalkan kemaksiatan dan merendahkan diri kepada Allah serta menyesal.” [Miftah Dar al-Sa’adah, jilid 2, halaman 630]

Oleh itu, dalam menghadapi situasi bencana seperti ini perkara yang perlu dilakukan adalah:

Bertaubat kepada Allah daripada segala dosa dan kemaksiatan.

Membantu mangsa bencana yang mana mereka dalam kesusahan. Bantuan ini berupa barang keperluan mahupun wang ringgit.

Berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT agar selamat daripada segala bencana alam yang menimpa.

Penceramah bebas, Dr Hadi.

Maksud doa: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikan atas apa yang terjadi, dan kebaikan apa yang di dalamnya, dan kebaikan atas apa yang Engkau kirimkan dengan kejadian ini. Dan aku memohon perlindungan kepada-Mu dari keburukan atas apa yang terjadi dan keburukan atas apa yang terjadi di dalamnya, dan aku juga memohon perlindungan kepada-Mu atas apa-apa yang Engkau kirimkan.” (Hadis Riwayat Muslim, 899)

Semoga kita semua sentiasa beringat dan bermuhasabah akan setiap peristiwa dan bencana yang berlaku dan tidak mudah lalai dan alpa dengan tanggungjawab hakiki sebagai hamba Allah SWT di dunia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan