suria

Fahami akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dalam buku ‘Allah Menurut Al-Ghazali’

Profesor Dr. Mohd Faizi Hamat penulis buku Allah Menurut Al-Ghazali.

BUKU berjudul ‘Allah Menurut Al-Ghazali’ diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya pada tahun 2021 berjaya menerima Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Islamik Terbaik dalam majlis Anugerah Buku Negara (National Book Award 2022).

Anugerah itu diberikan sempena Persidangan Buku Antarabangsa 2022, Ekspo Buku Malaysia serta Anugerah Buku Negara dan Forum Kelab Penulis pada Ogos tahun lalu.

Ia anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Buku ini membahaskan wacana ketuhanan dalam al-Quran dan hadis, sebagaimana yang diikuti oleh umat Islam pada zaman Rasulullah SAW, zaman para sahabat dan ulama salaf.

Ia disusuli dengan perbahasan tentang manhaj al-Asha’irah, yang meneruskan usaha memberi kefahaman kepada umat Islam sepanjang zaman terhadap prinsip-prinsip akidah ketuhanan yang perlu disabitkan kebenarannya dan ditolak aliran-aliran yang menyeleweng daripadanya.

Penonjolan pemikiran mazhab ini adalah perlu kerana manhaj majoriti atau aliran arus perdana umat Islam (al-sawad al-a’zam) telah dipertahankan oleh tokoh penghujah umat Islam terkenal, al-Imam al-Ghazali.

WhatsApp Image 2023-02-06 at 2.37.23 PM

Mohd Fauzi turut mendapat anugerah Buku Negara 2022.

Beliau adalah tokoh aliran al-Asha’irah yang telah mengetengahkan manhaj akidah sederhana (iqtisad) atau pertengahan (wasati) dalam wacana akidah, khususnya dalam tradisi ilmu kalam.

Manhaj ini menggabungjalinkan antara pendekatan nakliah dengan akliah secara harmoni dalam wacana akidah ketuhanan. Dijelaskan juga batasan wacana ilmu kalam dalam pengajian akidah dan tahap kewajaran pendedahannya kepada masyarakat awam.

Buku ini turut memfokuskan perbahasan zat, sifat-sifat, perbuatan-perbuatan dan nama-nama bagi Allah SWT berdasarkan pandangan al-Ghazali di samping para ulama muktabar yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba 5 formula ini untuk sembahyang lebih khusyuk... sempurna solat seseorang, baik-baiklah yang lainnya!

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah mengadu solat tak khusyuk, ralit tengok ‘iklan’ TV di dinding masjid... Ustaz ajar cara nak fokus, boleh pejam mata!

Ia berkaitan rapat dengan tuntutan penting dalam kalimah tauhid iaitu la ilah illa Allah yang merupakan salah satu rukun penting dalam Rukun Islam dan Rukun Iman berdasarkan pandangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Selain itu, antara kelainan yang terdapat dalam buku ini adalah dijelaskan pengaruh pemikiran akidah dan akhlak yang merupakan kesan daripada penghayatan terhadap prinsip-prinsip keimanan menurut huraian al-Ghazali kepada para ulama Melayu.

Ia dapat diperhatikan dalam karya-karya mereka seperti kitab al-Durr al-Nafis, karangan Muhammad Nafis ibn Idris al-Banjari, Sayr al-Salikin dan Hidayah al-Salikin, karangan `Abd al-Samad al-Falimbani, Minhaj al-‘Abidin, karangan berupa terjemahan oleh Dawud al-Fatani dan Thamarat al-Muhimmah, karangan Raja ‘Ali Haji.

Perkara ini kurang didedahkan kepada masyarakat, justeru buku ini berperanan secara signifikan berkaitan perkara ini.

Buku ini sesuai untuk tatapan dan rujukan pihak pemerintah (ulil amri), para ilmuwan dan cendekiawan, para pengkaji, para guru, para pelajar dan masyarakat awam yang berminat untuk mengkaji wacana ketuhanan yang boleh mencerahkan kefahaman mereka terhadap 'Allah SWT' menurut huraian al-Ghazali.

Justeru, buku ini wajar dijadikan rujukan khususnya bagi membantu kefahaman seseorang terhadap wacana ketuhanan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah aliran al-Asha’irah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia khususnya dan rantau Nusantara umumnya.

Namun, ia bukan sahaja pegangan majoriti di Malaysia dan Nusantara, bahkan seluruh dunia.

Pada tahun 2014 dalam Seminar Antarabangsa Al-Azhar bagi Mendepani Pemikiran Ekstremisme dan Teroris, Sheikh al-Azhar Mesir iaitu Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib menyatakan dalam artikelnya yang bertajuk Bahaya Takfir (Khuturah al-Takfir), bahawa mazhab al-Asha’irah merupakan mazhab yang dipegang oleh majoriti umat Islam.

WhatsApp Image 2023-02-06 at 2.38.23 PM

Penulis bersama buku Allah Menurut Al-Ghazali, Mohd Hasrul Shuhari.

Namun, terdapat pihak yang menuduh mazhab ini sebagai mazhab yang sesat, menyeleweng dan seumpamanya sedangkan lebih 90 peratus daripada keseluruhan umat Islam di timur dan barat adalah bermazhab al-Asha’irah.

Beliau menyeru umat Islam agar kembali kepada mazhab majoriti umat Islam yang terdiri daripada al-Asha’irah, al-Maturidiyyah dan Ahli Hadis yang antara cirinya adalah tidak mudah mengkafirkan umat Islam.

Laporan terkini tahun 2023 berdasarkan kajian yang dijalankan oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre, berpusat di Amman Jordan, dinyatakan bahawa Ahli Sunah Waljamaah merupakan aliran majoriti umat Islam.

Ia dijelaskan di dalam buku terbitan mereka yang bertajuk ‘The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims 2023’.

Mereka mewakili sekitar 81 peratus daripada keseluruhan umat Islam di seluruh dunia.

Peratusan tersebut merangkumi aliran al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah dari sudut mazhab akidah dan mazhab Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali dari sudut mazhab fekah.

Semoga buku ‘Allah Menurut Al-Ghazali’ membantu umat Islam memahami akidah Ahli Sunah Waljamaah yang sebenar.

Antara petanda pentingnya buku ini menjadi rujukan umat Islam ialah, buku ini telah dicalonkan oleh pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-15 tahun 2023 untuk Kategori Anugerah Penerbitan Buku anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain