BANYAK masjid di Malaysia memasang skrin televisyen pada dinding yang berfungsi untuk menayangkan jadual kuliah, tazkirah, waktu solat dan sebagainya. Biarpun tujuannya untuk memberi informasi, ada dalam kalangan jemaah yang mengakui tidak khusyuk kerana terpandang skrin tersebut ketika sedang solat. Malah, seorang individu juga pernah mengusulkan pertanyaan itu sebagaimana yang dikongsi menerusi laman web Maktabah al Bakri kendalian bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. "Assalamualaikum ustaz. Terdapat sebahagian masjid dipasang skrin televisyen yang menayangkan jadual kuliah masjid dan tazkirah atau kata-kata manfaat. "Namun, kadang-kadang skrin TV yang diletakkan di dinding hadapan agak mengganggu untuk khusyuk solat. Mohon pandangan ustaz tentang perkara ini," soal individu tersebut. Berikut merupakan jawapan mantan Zulkifli mengenai isu tersebut: Daripada sudut bahasa, Ibn Faris mengatakan: “Khusyuk adalah (terdiri dari tiga huruf dasar) kha`, syin dan ‘ain adalah satu sumber, yang menunjukkan kepada makna tunduk atau merendah.” Dikatakan kalimah khusyuk adalah hampir sama maknanya dengan kalimah khudhu’. Adapun perbezaannya adalah khudhu’ hanya berkaitan dengan tubuh badan, sedangkan khusyuk ialah melibatkan tubuh badan, suara dan pandangan. Khusyuk adalah sesuatu yang dituntut dan dianggap sebagai lubuk dan jantung kepada solat. Manakala daripada sudut istilah, Imam al-Baghawi telah menukilkan beberapa pentafsiran ulama tentang khusyuk dalam solat. Walaupun pentafsiran tersebut berbeza ungkapannya, namun antara satu sama lain tidak saling bertentangan, bahkan saling melengkapi. Ini kerana sebahagian ahli tafsir menjelaskan makna khusyuk daripada sisi lahiriah dan sebahagian lagi menjelaskan makna khusyuk daripada sisi batin. Menurut Imam al-Baghawi, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk namun mereka bersepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti. Antara pendapat sahabat dan tokoh berkaitan maksud khusyuk: 1. Ibnu ‘Abbas berkata: Tenang dan merendahkan diri 2. Ali bin Abi Talib R.A berkata: Iaitu tidak menoleh ke kanan dan tidak pula ke kiri. 3. Sa’id bin Jubair berkata: Iaitu (seseorang) tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan kirinya, dia tidak menoleh, kerana sangat khusyuknya (menghadap kepada) Allah ‘Azza wa Jalla. 4. ‘Amr bin Dinar berkata: Iaitu ketenangan dan keindahan keadaan (gerakan). Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. 5. Ibnu Sirin dan yang lainnya berkata: Iaitu engkau tidak mengangkat pandanganmu daripada tempat sujudmu. 6. Atha’ berkata: Iaitu engkau tidak bermain-main dengan anggota tubuhmu dalam solat. 7. Al-Hasan (al-Basri) dan Qatadah berkata: (iaitu) orang-orang yang takut. 8. Muqatil berkata: (iaitu) orang-orang yang rendah hati (tawadhu’). 9. Mujahid berkata: iaitu menundukkan pandangan dan merendahkan suara. 10. Ada juga yang menyebut, khusyuk dalam solat adalah: Mengumpulkan konsentrasi (memerhatikan urusan solat) dan berpaling daripada urusan selainnya serta menghayati makna bacaan dan zikir yang diucapkan oleh lisannya. Khusyuk adalah sesuatu yang dituntut. Bahkan ia dianggap sebagai lubuk dan jantung kepada solat. Sunat kepada kita menundukkan kepala dan menumpukan pandangan kita ke arah tempat sujud. Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Uthman Bin Affan yang bermaksud: "Bagi seorang Muslim yang mana telah datang padanya solat maktubah (solat fardu), kemudian dia memperelokkan wuduknya, kekhusuyukannya dan rukuknya. Dosanya yang telah lalu akan diampunkan selagi mana dia tidak melakukan dosa yang besar dan diampunkan (dosanya) pada tahun tersebut." [Riwayat Muslim] Ini adalah satu amalan yang sangat dituntut khususnya di dalam solat. Kata Sheikh Ubaidullah al-Mubarakfuri: "Iaitu melakukan segala rukun dengan penuh tawaduk dan merendah diri. Serta buat dengan rukun-rukun tersebut dengan zahir, batin iaitu dengan hati dan juga anggota tubuh." [Mir’ah al-Mafatih Syarh Mishkah al-Masabih] Berkenaan dengan persoalan yang dikemukakan, pada asasnya disunatkan untuk memandang ke arah tempat sujud. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: "Sesungguhnya pernah sekali Rasulullah menunaikan solat sambil matanya diangkat ke langit. Lalu diturunkan ayat: الذِين هُم فِى صلاتِهِم خاشِعُون. Lalu Baginda menundukkan kepalanya." [Riwayat al-Baihaqi] Perbuatan menundukkan kepala dan memfokuskan mata ke tempat tempat sujud membantu untuk khusyuk di dalam solat. Kata Imam al-Nawawi: “Para ulama berijmak bahawa perlunya ada khusyu’ di dalam solat dan harus menundukkan pandangan daripada apa yang melalaikan serta makruh menoleh-noleh di dalam solat.” [al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab] Khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti. Makruh hukumnya menoleh dan memandang selain ke arah tempat sujud. Oleh itu, dengan cara menundukkan kepala dan menumpukan mata ke arah tempat sujud dapat fokus dan menumpukan sepenuh perhatian di dalam solat. Antara cara lain untuk khusyuk di dalam solat adalah menutup mata bagi menghalang dari melihat perkara-perkara yang boleh menghalang dari fokus di dalam solat. Inilah pandangan yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. Kata beliau: “Tidak makruh menutup jika ada dia takut adanya kemudaratan. Ini membolehkannya untuk menggabungkan di antara khusyuk dan tetapnya hati. Ia juga menghalang dari pandangan yang meliar dan menghalang juga dari terganggunya fikiran.” [al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab] Di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah menyatakan: “Disunatkan menutup mata jika di hadapannya ada sesuatu yang boleh mengganggunya.” [al-Taqrirat al-Sadidah fi Masa’il al-Mufidah] Maka, kami menyimpulkan sunat kepada kita menundukkan kepala dan menumpukan pandangan kita ke arah tempat sujud. Dan juga diharuskan menutup mata bagi menghalang dari melihat perkara yang boleh merosakkan khusyuk di dalam solat. Kami juga menasihati pegawai masjid atau surau, seeloknya televisyen atau iklan-iklan yang berada di hadapan dimatikan sebaik sahaja iqamat dilaungkan. Ini supaya Jemaah dapat memberi perhatian sepenuhnya ketika solat tanpa diganggu oleh iklan-iklan atau tazkirah-tazkirah yang muncul di televisyen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube