suria

Heboh cerita anak termasak daging babi... Terang-terang ditegah dalam Islam, penjelasan saintifik akui keburukannya

Dari segi sains juga terbukti bahawa babi merupakan haiwan yang tidak digalakkan untuk dimakan.

PENDEDAHAN seorang wanita yang mendakwa bekas suaminya membeli daging babi untuk anak-anak mereka mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Menerusi muat naik di laman Facebook, dia berkata anak-anaknya menerima pemberian daging itu ketika dia tiada di rumah.

Salah seorang anaknya yang memasak daging berkenaan mula berasa sangsi apabila ia bertukar warna cerah sebelum mengadu hal itu kepadanya.

Di media sosial, beberapa individu bukan Islam turut membuat pengesahan dengan mendakwa ia merupakan daging babi berdasarkan warna sebelum dan selepas ia dimasak.

"Daging babi tu. Sebab kalau dah masak, dia mamang bertukar warna jadi putih.

dr zul

Dr Zulkifli menghuraikan mengenai pengharaman daging babi.

"Sebagai individu yang makan babi, warna sebelum dan selepas masak jelas menunjukkan ia daging babi," tulis beberapa netizen.

Sebagai umat Islam, kita diharamkan memakan daging babi, namun pernahkan kita tahu mengenai dalil dan sebab larangan itu diperintahkan?

Untuk rekod, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah menjawab persoalan berkaitan pengharaman itu menerusi laman web Maktabah Al-Bakri miliknya, pada tahun lalu.

"Assalamualaikum. Apakah dalil dan sebab daging babi diharamkan untuk dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih," soal seorang individu.

Jawab Zulkifli, secara umumnya pengharaman daging babi adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya)." [Surah al-Ma’idah: 3]

Tambahnya, Dr Wahbah al-Zuhaili juga ada menyebutkan bahawa pengharaman babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya.

Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan, sesungguhnya syarak melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi.

Menerusi penjelasan panjang lebar itu, Zulkifli berkata daripada segi sains juga terbukti bahawa babi merupakan haiwan yang tidak digalakkan untuk dimakan kerana memudaratkan, berdasarkan tiga perkara berikut:

1. Babi memiliki kelenjar peluh yang sedikit berbanding saiz badannya

Perpeluhan merupakan proses fisiologikal penting bagi mengekalkan suhu badan yang ideal. Proses penyejatan air peluh daripada permukaan kulit menyebabkan kesejukan badan dan pada masa yang sama, berperanan untuk membuang toksin dalaman.

Mereka yang tidak berpeluh terdedah kepada penyakit-penyakit berbahaya. Tambahan lagi, fungsi utama kelenjar peluh adalah untuk membuang toksin. Jadi bagaimanakah caranya babi mengekalkan suhu badan normal?

Babi menggunakan lumpur sebagai alternatif kepada proses penyejukan badan melalui perpeluhan. Jika anda pernah ternampak mereka berkubang atau berguling-guling di atas lumpur, tingkah laku itu membantu mereka untuk menyejukkan badan.

Ia seperti anda menggunakan kipas tangan pada musim panas. Babi sebenarnya suka kepada kawasan lumpur yang bersih.

Namun, bagi sekumpulan binatang tersebut yang diternak di ladang-ladang atau kilang, ia ditempatkan di ruangan yang sangat sempit. Ini membuatkan kawasan perkubangan mereka menjadi terhad dan kebiasaannya, lumpur yang digunakan bercampur dengan najis dan muntah mereka sendiri.

Jika hendak dibayangkan betapa banyaknya bahan buangan mereka, 5,000 ekor babi boleh menghasilkan najis bersamaan dengan 50,000 orang yang tinggal di bandar.

Kawasan buangan inilah kadangkala menjadi tempat mereka menyejukkan badan. Namun tidak semua tinggal seperti itu.

Babi seperti Kurobuta, diternak di kawasan persekitaran yang kurang tekanan dan diberi makanan berasaskan bahan-bahan organik. Mereka merupakan “wagyu” dalam kalangan binatang tersebut.

352591

Syarak melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi.

2. Bakteria kebal antibiotik dalam daging babi

Disebabkan keadaan tempat tinggalnya yang diternak di kawasan kilang itu kebiasaannya kotor, babi mudah mendapat penyakit kulit dan jangkitan kulat.

Kebarangkalian yang tinggi ini menggalakkan penternak untuk menggunakan antibiotik bagi memastikan kesihatan binatang ternakan tersebut berada pada tahap yang optimum.

Secara teorinya, penggunaan antibiotik secara meluas ini bukan sahaja boleh menggalakkan tumbesarannya dengan cepat, ia boleh melahirkan spesies bakteria kebal antibiotik yang mampu mengancam kesihatan populasi manusia secara umum.

Kajian yang dibuat oleh Julia Osterberg pada tahun 2016, mendapati bahawa, babi yang diternak di dalam kilang mempunyai spesies bakteria E. Coli yang kebal dengan antibiotik Ampicilin, Tetracyclin, Trimethoprim, Sulphonamide atau Streptomycin.

Bakteria tersebut boleh kebal terhadap satu atau lebih antibiotik. Oleh sebab harga daging babi organik adalah sangat mahal, majoriti masyarakat memakan daging babi yang diternak di kilang. Ini boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mereka mendapat bakteria kebal antibiotik tersebut.

3. Risiko jangkitan parasit

Walaupun jangkitan parasit pada binatang tersebut menurun secara mendadak sejak 20 tahun yang lalu, babi (termasuk babi organik) masih terdedah kepada jangkitan tersebut.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), walaupun banyak langkah boleh diambil untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, binatang ternakan tersebut masih terdedah kepada jangkitan jika mempunyai sentuhan secara terus dengan rodensia yang lain.

Rawatan pencegah kepada jangkitan ini boleh mencecah 80 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan penternakan babi membuatkan ramai penternak yang enggan melaburkan wang mereka.

Pengguna yang membeli daging terjangkit terdedah kepada risiko penyakit trichinosis jika daging tersebut tidak dimasak dengan betul. Simptom seperti jangkitan mata, bengkak mata, fobia cahaya, kelesuan dan sakit otot merupakan tanda-tanda awal kepada penyakit ini.

CDC menggalakkan pembekuan daging tersebut sebelum dimasak secara teliti bagi memastikan parasit tersebut terbunuh.

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan, jelaslah bahawa pengharaman daging babi dan bahagian-bahagiannya yang lain adalah berdasarkan kepada nas al-Quran dan dalil-dalil yang lain.

Lebih-lebih lagi, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa daging babi adalah tidak elok untuk dimakan kerana berkemungkinan memberi mudarat kepada pemakannya.

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk." [Surah al-A‘raf: 157]

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain