ZAKAT merupakan fardu ain bagi setiap muslim yang berkemampuan dan memenuhi segala syarat-syarat wajib. Namun timbul tanda tanya dalam kalangan individu yang diisytiharkan muflis sama ada mereka wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tidak. Bagi menjawab persoalan itu, Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa mereka wajib mengeluarkan zakat fitrah atas diri sendiri dan tanggungan walaupun sudah disahkan sebagai muflis jika masih memiliki harta melebihi keperluan makanan asas pada malam dan pagi hari raya. Zakat fitrah adalah wajib dikeluarkan bagi setiap individu muslim pada hari terakhir bulan Ramadan. Namun jika seorang yang bankrap itu tidak mempunyai sumber pendapatan mahupun harta yang lain maka dia tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah, bahkan dia berhak menerima zakat. Hal ini kerana zakat fitrah merupakan zakat yang wajib dikeluarkan bagi setiap individu Muslim pada hari terakhir bulan Ramadan selepas terbenam matahari atau pada pagi hari raya apabila memenuhi syarat-syarat ditetapkan syarak. Kewajipan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Wajib mengeluarkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam sebanyak satu gantang tamar atau tepung barli bagi setiap yang 'merdeka' atau hamba sama ada lelaki atau perempuan Muslim. Anak yang masih dalam kandungan tidak dikenakan zakat fitrah. Berdasarkan penjelasan dibuat, muflis menggambarkan bahawa mereka yang berhutang dan hutangnya melebihi harta yang dimiliki. Oleh itu mereka juga berkemungkinan memiliki pekerjaan bahkan harta, malahan mungkin juga mereka ini tidak termasuk dalam golongan yang susah. Turut dikongsikan sebelum ini oleh Mufti Wilayah persekutuan ialah mengenai hukum zakat fitrah bagi anak yang masih lagi di dalam kandungan. Katanya, bapa kepada bayi itu tidak wajib untuk membayar zakat fitrah kerana anaknya masih berada dalam kandungan. Penjelasan itu dibuat oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani mengatakan bahawa bayi di dalam kandungan tidak dipanggil kanak-kanak (boleh jadi mati atau hidup). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube