suria

Takut masakan tak sedap, tukang masak rasa makanan di hujung lidah... Boleh ke buat masa bulan puasa?

Merasa makanan adalah dibolehkan dan perbuatan ini tidak membatalkan puasanya. -Gambar hiasan

SUDAH menjadi kebiasaan, makanan yang dimasak perlu dicuba terlebih dahulu sebelum ia dihidangkan buat ahli keluarga atau para tetamu.

Biasanya ibu-ibu kita akan mengambil sudu atau menitiskan kuah ke atas tapak tangan sebelum dirasa untuk memastikan masakan itu sedia disajikan.

Namun adakah cara ini boleh diteruskan pada bulan Ramadan? Adakah ia akan membatalkan puasa seseorang?

Berikut mStar kongsikan penjelasan oleh Maktabah Al Bakri tentang perbuatan merasa makanan pada bulan Ramadan.

Jawapan:

Perbuatan merasa atau mencicip makanan ketika berpuasa adalah dengan meletakkan makanan tersebut dengan kuantiti yang sedikit tanpa menelannya. Ibnu Abbas R.Anhuma berkata:

Maksudnya: Tidak mengapa merasa masakan di periuk atau sesuatu (yang seumpamanya).

Di dalam riwayat Ibn Abi Syaibah, Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

Maksudnya: Tidak mengapa seseorang yang sedang berpuasa merasa cuka atau sesuatu, selagi ia tidak masuk sampai ke kerongkong.

Bagi mereka yang tidak ada keperluan untuk merasa makanan, maka hukumnya adalah makruh.

Kita biasanya akan mencuba lauk yang dimasak sebelum ia dihidangkan kepada orang lain. -Gambar hiasan

Ibn Qudamah di dalam al-Mughni menukilkan kata Imam Ahmad, katanya: Aku lebih suka jika seseorang itu tidak merasai makanan. Tetapi jika dia melakukannya, ia tidak akan menjejaskan puasanya dan perbuatan itu tidak mengapa.

Syeikh al-Islam Abu al-Abbas berkata di dalam al-Fatawa al-Kubra: Merasa makanan adalah makruh jika ia dilakukan tanpa keperluan. Namun, ia tidak membatalkan puasa.

Syeikh Muhammad bin Soleh pernah ditanya berkenaan hal ini, maka beliau menjawab: Puasa tidak batal dengan merasa makanan selagi ia tidak ditelan. Walaubagaimanapun, ia tidak boleh dilakukan melainkan jika benar-benar berhajat dan mendesak.

Katanya lagi: Makruh bagi orang yang berpuasa merasa makanan seperti kurma, roti dan sayur-sayuran melainkan keadaan memaksa, maka ia dibolehkan.

Hal ini kerana boleh jadi terdapat serpihan makanan yang masuk ke dalam perut tanpa dirasa, sehingga ia boleh membatalkan puasanya.

Boleh jadi juga, hidangan itu mengiurkannya sehingga dia merasa makanan itu dengan tujuan untuk menikmatinya. Ada kemungkinan juga, apabila dia merasa makanan itu dengan menghirupnya dengan kuat sehingga sebahagiannya masuk ke dalam perutnya.

Recipes shoot for kuali

Bagi mereka yang tidak ada keperluan untuk merasa makanan, maka hukumnya adalah makruh. -Gambar hiasan

Al-Lajnah al-Daimah menyatakan di dalam fatwanya: Tidak ada masalah untuk seseorang merasa makanan pada hari berpuasa jika keadaan memaksanya untuk melakukannya.

Ibn Sirin pernah berkata mengenai rasa yang terdapat di dalam kayu sugi ketika bersiwak, katanya:

Maksudnya: Tiada masalah bagi yang berpuasa menggunakan siwak segar. Dikatakan: siwak jenis ini ada rasa. Beliau menjawab: Air juga mempunyai rasa, walaupun kamu berkumur dengan air.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa merasa makanan adalah dibolehkan bagi mereka yang berhajat dengan dikecap di hujung lidahnya dan perbuatan ini tidak membatalkan puasanya mengikut pendapat yang terpilih selagi mana makanan tersebut tidak ditelan.

Situasinya adalah seperti tukang masak atau suri rumah yang sedang memasak di dapur.

Bagi mereka yang tidak ada keperluan untuk merasa makanan, maka hukumnya adalah makruh sebagaimana fatwa-fatwa yang dikemukakan di atas.

Namun begitu, perbuatan merasa makanan tersebut hendaklah dilakukan di dalam kuantiti yang sedikit dan tidak boleh ditelan makanan tersebut kerana jika ditelan masuk bersama air liur, maka batallah puasanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain