suria

Bukan sekadar batal puasa, kemudian ganti... Banyak yang suami isteri perlu tahu jika seks pada siang Ramadan

Persetubuhan siang Ramadan secara sengaja termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.

BERPUASA bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya banyak lagi larangan lain yang perlu dipatuhi.

Namun sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas daripada melakukan dosa atau khilaf sepanjang menjalani ibadah puasa.

Antaranya, ada dalam kalangan suami isteri yang melakukan hubungan seks pada siang hari bulan Ramadan.

Menurut Maktabah Al-Bakri, bersetubuh dengan isteri pada siang hari Ramadan, termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.

Mengenai hal ini, Dr Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, persetubuhan pada siang hari Ramadan secara sengaja membatalkan puasa secara ijmak ulama, sekali pun tidak berlaku inzal - yakni keluar air mani.

Manakala persetubuhan yang dilakukan pada malam hari Ramadan tidak menjejaskan puasanya.

Kaffarah

Selain itu, dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa sesiapa yang sengaja membatalkan puasa Ramadan dengan melakukan persetubuhan, dengan syarat dia menyedari bahawa dirinya berpuasa, mengetahui perbuatannya itu haram dan bukan dalam bermusafir yang diberikan keringanan, maka dia wajib dikenakan kaffarah untuk menutup dosa.

Justeru, mereka yang terlupa dirinya sedang berpuasa Ramadan, jahil tentang haramnya membatalkan puasa selain puasa Ramadan dengannya, sengaja membatalkan puasa Ramadan selain persetubuhan atau dalam musafir yang diharuskan berbuka, lalu dia melakukan persetubuhan, dalam semua keadaan tersebut, dia wajib qada sahaja puasanya yang ditinggalkan itu tanpa kaffarah.

United in prayer: Muslim taking part in evening mass prayers known as ‘Terawih’ to welcome the holy fasting month of Ramadan at the The National Mosque  in Kuala Lumpur. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Umat Islam perlu meninggalkan larangan Allah ketika berpuasa di bulan Ramadan. -Gambar hiasan

Begitu juga kaffarah hanya wajib ke atas suami yang melakukan persetubuhan dan kaffarah tidak wajib ke atas isteri atau perempuan yang disetubuhi, sekali pun mereka berpuasa.

Ini kerana jenayah atau kejahatan orang yang menyetubuhinya adalah lebih berat, oleh itu dia lebih sesuai dikenakan kaffarah tersebut.

Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebut, diwajibkan kaffarah hanya kepada suami yang berjimak dan tidak ada apa-apa dikenakan ke atas isteri, sekali pun dia berpuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Mimpi basah di siang hari dalam bulan Ramadan, pemuda keluar air mani risau puasa terbatal... Lakukan ini jika berlaku

Hal ini kerana kaffarah itu merupakan hak harta yang khusus dengan sebab jimak, maka dikhususkan pada lelaki dengannya dan bukannya pada perempuan seperti mahar.

Begitu juga kerana perbuatan berjimak itu disandarkan kepada suami, maka dengan sebab itulah diwajibkan ke atasnya kaffarah.

Sekali pun begitu, wajib ke atas perempuan menggantikan (qada) puasanya sahaja.

Seterusnya, kaffarah yang wajib — secara tertib dan tidak boleh melangkah kepada yang seterusnya melainkan tidak mampu pada yang sebelumnya kerana membatalkan puasa Ramadan dengan persetubuhan ialah:

1. Membebaskan seorang hamba sahaya yang beragama Islam sama ada lelaki atau perempuan.

1 (1)

Suami perlu menahan nafsu syahwat pada siang Ramadan. -Gambar hiasan

2.Sekiranya tidak mampu, dia hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut.

3. Dan jika tidak mampu, dia hendaklah memberi makan 60 orang miskin setiap orang secupak makanan kebiasaan penduduk negeri itu.

Jika tidak mampu juga, kaffarah tetap menjadi tanggungannya sehinggalah dia mampu melakukan satu daripadanya

Kesimpulan

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa persetubuhan siang Ramadan secara sengaja termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.

Justeru, perbuatan itu membatalkan puasa kedua-duanya, yakni suami isteri dan mereka wajib menggantikannya semula.

Selain itu, diwajibkan juga kaffarah kepada suami yang berjimak pada siang Ramadan dengan sengaja, dengan syarat dia menyedari bahawa dirinya berpuasa, mengetahui perbuatannya itu haram dan bukan dalam bermusafir yang diberikan keringanan.

Begitu juga, kaffarah yang wajib itu mestilah mengikut tertib, yakni tidak boleh pergi kepada yang seterusnya melainkan tidak mampu pada yang sebelumnya.

Bermula dengan pembebasan hamba yang beragama Islam, jika tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut, dan jika tidak mampu juga, memberi makan 60 orang miskin setiap orang secupak makanan kebiasaan penduduk negeri itu.

Jika tidak mampu juga, kaffarah tetap menjadi tanggungannya sehinggalah dia mampu melakukan satu daripadanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain