SEBAGAI manusia biasa, kita tidak terlepas daripada melakukan dosa atau khilaf dalam kehidupan. Antaranya, mungkin ada dalam kalangan kita yang pernah meninggalkan solat lima waktu dan kini menyesali perbuatan itu. Bagaimanapun, timbul persoalan sekiranya solat sunat yang dilakukan oleh seseorang individu itu akan diterima Allah sekiranya dia masih belum selesai melakukan qada untuk solat-solat fardu terdahulu. Persoalan sama turut dibangkitkan menerusi Maktabah Al-Bakri yang berbunyi: "Bolehkah saya menunaikan solat sunat dalam keadaan saya masih ada solat fardu yang belum diqada?" Jawapan Mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, wajib melakukan qada bagi solat tersebut. [Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab]. Di sisi mazhab Syafii, Imam al-Nawawi berkata sekiranya seseorang meninggalkan solat kerana uzur syarie seperti tertidur atau lupa yang tidak melampaui had, maka sunat baginya untuk segera menqada solatnya. Namun sekiranya seseorang meninggalkan solat tanpa uzur syarie maka wajib baginya untuk segera menqada solatnya. [Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab] Sementara itu Imam Ibn Hajar al-Haitami pula berkata: “Bagi sesiapa yang ada solat fardu yang ditinggalkan - jika solat yang ditinggalkan itu kerana keuzuran – dibolehkan solat sunat bersamanya sama ada solat sunat rawatib dan selainnya. “Jika solat yang ditinggalkan itu tanpa keuzuran, tidak dibolehkan untuk melakukan solat sunat sebelum menggantikan solat fardu yang ditinggalkan. Ini kerana wajib baginya bersegera menunaikannya dengan menggunakan keseluruhan masanya...” [Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra] Umat Islam wajib mengerjakan solat lima waktu. -Gambar hiasan Pandangan Ibn Hajar al-Haitami ini turut dikongsikan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari dan dijelaskan haram hukumnya untuk melakukan solat sunat bagi yang masih ada solat fardu yang ditinggalkan, tetapi sah jika dilakukan. [Lihat Fath al-Mu’in] Perlu diingatkan larangan ini adalah kerana ibadah wajib lebih penting untuk didahulukan berbanding ibadah sunat. Ini selaras dengan firman-Nya dalam sebuah hadis qudsi, maksudnya: "Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada yang telah Aku wajibkan kepadanya." [Riwayat al-Bukhari] Pun begitu, bagi yang sering melazimi solat-solat sunat seperti solat sunat Rawatib, Tahiyyatul Masjid, Dhuha dan Tahajud misalnya, mungkin sudah terbiasa dengan amalan ini dan ingin meneruskannya. Begitu juga mereka yang baharu berhijrah ke arah kebaikan, kebiasaannya ada semangat yang tinggi untuk memperbanyakkan amal ibadah. Maka, terdapat pandangan kedua yang dinukilkan oleh ulama muta’akhkhirin Syafi’iyyah, al-‘Allamah Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami daripada Habib ‘Abdullah al-Haddad yang menjelaskan, bagi kelompok yang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie, kewajipan untuk qada itu boleh ditunda (tidak dituntut segera), sesuai dengan kemampuan dan tanpa menyempitkan, asalkan tidak sampai ke tahap bermudah-mudahan. Kita boleh melakukan banyak amalan sunah untuk mendapatkan pahala tambahan. -Gambar hiasan Seperkara lagi, solat sunat boleh dibahagikan kepada dua iaitu zawat al-asbab dan bukan zawat al-asbab. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti menjelaskan, solat sunat yang dikira zawat al-asbab ini adalah kerana sebab yang datang sebelumnya, dan bukan datang kemudian. Beliau membawakan juga pandangan Imam al-Nawawi dan Ibn Qudamah dalam perkara ini. Solat sunat yang mempunyai sebab (zawat al-asbab) adalah seperti solat tahiyyat al-masjid, solat gerhana, solat istisqa’, solat sunat Hari Raya dan lain-lain. Solat sunat yang tidak mempunyai sebab contohnya solat sunat mutlak. Maka, qada solat wajib didahulukan berbanding solat yang tidak dikira zawat al-asbab. Adapun solat sunat zawat al-asbab, boleh dikerjakan walaupun ada berbaki qada solat. Kesimpulannya, solat yang ditinggalkan wajib untuk diqada dan itulah yang wajar diutamakan. Usahlah ibadah sunat dilakukan melebihi qada solat yang merupakan kewajipan. Dalam masa yang sama, boleh untuk dilakukan solat sunat sebagaimana fatwa yang dinukilkan al-‘Allamah Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami dengan syarat, kelonggaran tersebut tidaklah menyebabkan seseorang itu bermudah-mudahan dengan kewajipan qada solat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube