suria

Tempat solat terbaik bagi wanita adalah di rumah! Islam tak halang tarawih di masjid tapi ada syaratnya

Tempat solat terbaik untuk wanita adalah di rumah, namun Islam tidak melarang mereka ke masjid.

MENUNAIKAN solat tarawih secara berjemaah di masjid merupakan salah satu ibadat yang hanya dapat dilakukan dan dirasai nikmatnya ketika bulan Ramadan.

Namun, apakah pula hukumnya untuk kaum Hawa yang sama-sama mengimarahkan masjid sepanjang bulan mulia ini?

Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, tempat solat terbaik bagi wanita adalah di rumah, namun Islam tidak melarang mereka pergi ke masjid terutamanya untuk solat berjemaah pada bulan Ramadan.

Namun keharusan ini terikat dengan syarat selamat daripada fitnah.

Justeru, para wanita yang berkahwin perlu mendapat keizinan suami, tidak tabarruj dan sentiasa menjaga adab sebagai seorang Muslimah semasa pergi ke masjid.

Huraian jawapan

Berdasarkan satu hadis Rasulullah, maksudnya:

“Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih afdal daripada solat di halaman rumahnya dan solat di bilik tidur/bilik persendirian adalah lebih baik daripada solat di rumahnya.” [Riwayat Abu Daud]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan larangan tersebut ialah makruh tanzih kerana keadaan wanita pada zaman itu mengamalkan tabarruj dalam berhias, justeru solat di rumah adalah lebih baik bagi wanita bagi mengelak fitnah.

Walaupun rumah ialah tempat terbaik bagi seorang wanita melaksanakan solat, namun Islam tidak menghalang wanita untuk pergi ke masjid.

Muslims peform a terawih prayer at Sultan Mizan Zainal Abidin mosque in Putrajaya as tomorrow is a first day of Ramadhan. MOHD SAHAR MISNI/The Star

Ramai yang tak mahu melepaskan peluang menunaikan solat tarawih di masjid sepanjang Ramadan. -Gambar hiasan

Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda, maksudnya:

“Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian.” [Riwayat Abu Daud]

Melihat kepada keadaan kini, kita dapati wanita keluar solat di masjid lebih selamat daripada fitnah berbanding keluar ke tempat-tempat awam yang lain seperti pusat membeli-belah atau aktiviti sukan di pusat sukan.

Fitnah di tempat-tempat tersebut lebih besar dan perlu lebih berjaga-jaga berbanding fitnah bagi wanita ketika solat jemaah di masjid.

Kelebihan melaksanakan ibadah secara berjemaah di masjid turut boleh dinikmati oleh wanita lebih-lebih lagi untuk mengejar fadilat dan pahala solat tarawih berjemaah dan mendengar bacaan imam yang dapat memberikan motivasi dan semangat untuk melaksanakan ibadah pada setiap malam Ramadan.

Namun begitu, wanita yang pergi ke masjid perlu mendapat keizinan suami, tidak memakai wangi-wangian, tidak tabarruj serta sentiasa menjaga adab dan kehormatan sebagai seorang Muslimah agar dapat melindungi diri masing-masing daripada sebarang fitnah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain