MENJADI lumrah buat kaum Adam, kadang-kala mereka akan mengalami mimpi basah sehingga terkeluar air mani secara tak sengaja. Namun, apakah pula hukumnya sekiranya seseorang lelaki itu mengalami mimpi basah sehingga terkeluar air mani pada siang Ramadan? Menurut mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Maktabah Al-Bakri, ia tidak membatalkan puasa kerana air mani itu keluar di luar kawalannya. Ia berdasarkan firman Allah, maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” Ibn Qudamah menyatakan, kalaulah seseorang itu bermimpi basah sehingga keluar air maninya, maka puasanya tidak terbatal kerana perkara tersebut adalah diluar daripada pilihannya. Ia menyerupai sebagaimana jika termasuk ke dalam halkum seseorang itu sesuatu, sedangkan dia tengah tidur. Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa adalah apabila keluarnya air mani dengan sengaja tanpa bersetubuh. Ia seperti berciuman, beronani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau melalui sentuhan kerana ia dikira sebagai inzal (keluarnya air mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik). Ramai umat Islam mengambil peluang untuk meningkatkan ibadah sepanjang bulan Ramadan. -Gambar hiasan Adapun jika air mani itu keluar dengan cara tidak sengaja (bukan disebabkan perkara-perkara di atas atau dengan bermesraan) maka hal tersebut tidak membatalkan puasa. Begitu juga, jika dia melihat dengan matanya walaupun diulang-ulang penglihatan tersebut tanpa bersentuhan atau berfikir di dalam hatinya tanpa bersentuhan lalu keluar air mani, maka hal ini tidak membatalkan puasanya kerana tidak berlakunya mubasyarah. Sebagai tambahan lagi, Lajnah Da’imah pernah dinyata berkenaan hukum seseorang yang bermimpi basah pada siang Ramadan. Mereka menjawab, sesiapa yang bermimpi basah sedangkan dia berpuasa atau dalam keadaan berihram, maka tidak ada dosa baginya mahupun kafarah. Puasanya juga tidak terjejas disebabkan oleh perkara tersebut yakni masih lagi tetap sah. Kesimpulan Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa puasa seseorang yang mengalami mimpi basah pada siang Ramadan sehingga keluar air maninya adalah tetap sah kerana perkara tersebut adalah di luar daripada pilihan dan kawalannya. Justeru, ia termasuk dalam situasi keluar air mani secara tidak sengaja. Walau bagaimanapun, dia diwajibkan untuk mandi junub disebabkan oleh keluarnya air mani itu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube