suria

Gangguan makhluk halus tetap berlaku dalam Ramadan, jadi apa maksud sebenar ‘syaitan kena ikat?’

Bulan Ramadan merupakan masa terbaik untuk kita meningkatkan amalan sebagai umat Islam. -Gambar hiasan

SEJAK kecil kita sering mendengar ungkapan syaitan 'diikat' pada bulan Ramadan.

Berdasarkan pemahaman ketika zaman kanak-kanak, kita beranggapan 'hantu' juga diikat, maka tiada gangguan atau berlaku perkara mistik sepanjang bulan puasa.

Persoalan sama turut dibangkitkan menerusi Maktabah Al Bakri yang mana ada individu keliru sekiranya masih berlaku gangguan makhluk halus dalam bulan Ramadan.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya terbaca hadis berkenaan syaitan dirantai dan dibelenggu pada bulan Ramadan. Persoalannya, jika telah dirantai, kenapa masih ada gangguan daripada makhluk halus ketika dalam bulan Ramadan? Mohon penjelasan.

Jawapan

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan terlebih dahulu hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

Dalam lafaz yang lain, disebutkan:

Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu.

United in prayer: Muslim taking part in evening mass prayers known as ‘Terawih’ to welcome the holy fasting month of Ramadan at the The National Mosque in Kuala Lumpur. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Jangan lepaskan peluang menunaikan solat tarawih di masjid sepanjang Ramadan. -Gambar hiasan

Dalam menjelaskan hadis di atas, Syeikh al-Izz bin Abd al-Salam berkata: Ada pun yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga pada bulan Ramadan adalah satu perumpamaan daripada banyaknya ketaatan, yang dapat menjadi penyebab terbukanya pintu-pintu syurga.

Yang dimaksudkan dengan ditutupnya pintu neraka adalah perumpamaan daripada sedikitnya maksiat (pada bulan Ramadan), yang menjadi penyebab tertutupnya pintu neraka.

Sedangkan maksud daripada terbelenggunya syaitan adalah perumpamaan kepada terlepasnya orang-orang yang sedang melakukan puasa daripada bisikan-bisikan syaitan, kerana orang yang berpuasa tidak akan terlalu berkeinginan untuk melakukan maksiat.

Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, hadis di atas boleh ditafsir secara zahir dan secara hakikat, di mana pintu-pintu syurga memang dibuka, pintu-pintu neraka memang ditutup dan syaitan-syaitan dirantai sebagai tanda kemuliaan dengan masuknya bulan Ramadan, di samping syaitan dirantai untuk menegah mereka daripada mengganggu dan memperdaya orang yang beriman.

Menurut beliau, terbukanya pintu syurga, tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan adalah tanda masuknya bulan Ramadan, mulianya bulan tersebut dan syaitan juga terhalang daripada mengganggu orang beriman.

Ini juga isyarat bahawa pahala dan keampunan daripada Allah begitu banyak pada bulan Ramadan.

Hasutan dan godaan syaitan terhadap manusia juga berkurangan kerana mereka bagaikan para tahanan ketika itu.

Menurut Imam al-Qurtubi sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya.

A man read's the Quran in a mosque in puchong on the 7th day of Ramadhan. While fasting from dawn until sunset, Muslims refrain from consuming food, drinking liquids, smoking, and engaging in sexual relations. Muslims are also instructed to refrain from sinful behavior that may negate the reward of fasting. RAJA FAISAL HISHAN/the Star.

Ambil berkat bulan Ramadan dengan menggandakan ibadah dan amalan-amalan baik. -Gambar hiasan

Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat.

Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya...”

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami cenderung bahawa maksud syaitan yang dibelenggu itu adalah:

Hanya sebahagian syaitan sahaja yang dibelenggu iaitu yang besar atau ganas (مردةُ الجِنِ) manakala selebihnya masih ada.

Ia juga membawa maksud syaitan tidak bebas menggoda orang-orang yang beriman berbanding bulan-bulan yang lain.

Gangguan boleh dielakkan dengan memperbanyakkan ibadah dalam bulan Ramadan seperti amalan puasa itu sendiri, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Hulaimi yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai memberi ujian/godaan kepada umat Islam sepertimana di luar bulan Ramadan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir.

Dalam masa yang sama, kami juga mencadangkan kepada mereka yang berhadapan dengan individu yang mengalami gangguan sebegini untuk merujuk juga kepada pakar perubatan kerana kemungkinan ia berkait rapat dengan masalah psikiatri dan bukannya gangguan makhluk halus semata-mata.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain