BAGAI menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita, kebanyakan kubur akan dihiasi dengan binaan-binaan tertentu.
Malah, terdapat kubur yang diserikan dengan batu marmar, terutamanya dalam kalangan mereka yang berkemampuan.
Menurut laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, makruh membina kubur sama ada di sebelah dalam atau di luarnya dengan bahan yang menyerap bahang panas seperti simen, batu kapur dan seumpamanya.
Hal ini berdasarkan hadis, daripada Jabir RA:
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang pembinaan kubur dengan batu kapur.” [Riwayat Muslim]
Bagaimanapun pembinaan kubur dengan batu marmar dan seumpamanya adalah haram.
Ini kerana perbuatan tersebut sangat bertentangan dengan larangan Rasulullah SAW di samping terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah oleh syarak serta unsur-unsur kemegahan dan kebanggaan yang dicela oleh agama.
Makruh tahrim meninggikan kubur dan membuat binaan di atasnya sebagaimana yang dibuat oleh kebanyakan orang hari ini.
Kita juga dilarang menggunakan peninggalan si mati untuk membuat binaan atas kubur. -Gambar hiasan
Menurut sunnah, kubur tidak boleh ditinggikan melebihi sejengkal dari paras tanah.
Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ali bin Abu Talib RA, katanya, Abu al-Hayyaj al-Asadiy berkata:
Maksudnya: “Aku menyampaikan pesanan Rasulullah SAW kepadaku bahawa jangan ditinggalkan patung-patung kecuali setelah engkau hancurkannya, begitu juga dengan kubur yang binaannya tinggi kecuali setelah engkau ratakannya.” [Riwayat Muslim]
ARTIKEL BERKAITAN: Si mati pakai gigi palsu, braces... Perlu ke cabut sebelum dikebumikan?
ARTIKEL BERKAITAN: Suka sangat sebar gambar orang mati, tak fikir aib arwah... UAI tegur, suruh fikir jika foto jenazah ibu bapa sendiri
Larangan makruh ini dikuatkan dengan realiti kematian itu adalah pemutus bagi kemewahan dan kecantikan yang dibanggakan sewaktu hidup, sehingga jadilah kubur itu ingatan kepada kematian bukan kemewahan.
Apatah lagi tidak boleh menggunakan harta peninggalan si mati untuk tujuan binaan di atas kubur.
Firman Allah Taala:
Maksudnya: Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. [Surah al-Takathur]
Syeikh Ali al-Sobuni dalam Sofwah al-Tafasir menyebut tafsir: “Maksudnya mereka itu yakni manusia terlalu sibuk dan berbangga dengan harta benda, anak-anak, dan para pengkut sehingga melupakan untu berbuat taat kepada Allah dan meninggalkan persiapan akhirat...sehinggalah kematian tiba kepada mereka. Lalu mereka dikebumikan di dalam kubur-kubur.”