KEBANYAKAN wanita pastinya akan menjaga keterampilan diri setiap kali keluar dari rumah.
Selain berpakaian cantik dan kemas, mereka juga akan mengenakan solekan wajah serta menyembur pewangi.
Namun, apakah hukumnya bagi wanita yang memakai minyak wangi untuk keluar bekerja, pergi ke pasar dan sebagainya?
Menjawab persoalan ini, pengendali laman web Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan terdapat sebuah hadis mengenai perbincangan topik tersebut.
Ia adalah sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy`ari RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina. [Riwayat Abu Daud & Al-Nasa’ie]
Al-Imam al-Munawi Rahimahullah menyebutkan yang dimaksudkan dengan hadis di atas adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajnabi dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina daripada sudut mendapatkan dosa.
Dalam sebuah hadis lain daripada Abu Hurairah RA, pada satu ketika dia bertemu seorang perempuan yang ingin pergi ke masjid dalam keadaan mengenakan wangi-wangian.
Lambakan pewangi yang dijual di pasaran. -Gambar hiasan
Lalu Abu Hurairah RA berkata: “Kamu ke masjid dalam keadaan berwangi-wangian? Sesungguhnya aku telah mendengar Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Mana-mana wanita yang mengenakan wangian kemudian keluar menuju ke masjid, tidak diterima solatnya sehinggalah dia mandi (bagi menghilangkan bau wangi tersebut) [Riwayat Ibn Majah]
Adakah Tidak Boleh Langsung Wanita Memakai Wangi-Wangian?
Apabila melihat kepada hadis-hadis serta riwayat yang disebutkan di atas, jelas menunjukkan akan keharaman wanita untuk mengenakan wangian apabila keluar dari rumah.
Adapun jenis wangian yang disebutkan di sini adalah daripada jenis yang zahir, kuat baunya sehingga mengalihkan pandangan ajnabi dan tertumpu kepadanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tolong jangan guna lagi terma ‘Karma is real’, tak wujud dalam Islam... Boleh jatuh kufur!
ARTIKEL BERKAITAN: Ramai hias kubur tanpa tahu larangan binaan marmar, tak boleh tinggi melebihi sejengkal dari paras tanah
Adapun mengenakan sedikit wangian-wangian bagi tujuan menghilangkan bau badan seperti memakai deodorant, bedak talkum, sabun dan sebagainya, ini tidaklah termasuk di dalam kategori yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW sebelum ini.
Ini kerana di dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya. [Riwayat Al-Tirmizi]
Kesimpulan
Kami berpendapat wanita boleh mengenakan sedikit wangi-wangian yang tidak terzahir baunya.
Ini juga bagi menjaga penampilan wanita tersebut apabila berada dikhalayak.
Begitu juga dibolehkan bagi pemakaian bedak, deodorant, sabun dan sebagainya.
Elakkan daripada menggunakan wangian yang kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian lelaki ajnabi yang boleh menyebabkan fitnah dan juga boleh mengheret kepada lembah maksiat.
Ini seperti mana yang terdapat di dalam hadis-hadis yang menyamakan perempuan sebegini sebagai penzina.