APABILA berada di rumah atau masjid, sudah tentu kita tidak mempunyai masalah untuk berwuduk.
Namun, kita kadang-kala tidak mempunyai pilihan dan terpaksa berwuduk di dalam tandas ketika berada di lokasi tertentu.
Situasi ini menyebabkan timbulnya persoalan tentang hukum melafazkan niat wuduk yang mengandungi kalimah “Allah” ketika berada di dalam tandas.
Jawapan
Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, niat wuduk merupakan salah satu rukun yang menjadikan keabsahan wuduk.
Bagaimanapun, melafazkan niat wuduk adalah sunat bagi membantu hati menghadirkan niat.
Niat merupakan salah satu rukun wuduk berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya:” Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. [Surah al-Maidah]
Berdasarkan dalil berikut, Imam al-Nawawi mengunakan istilah iradah (keinginan/kehendak) dalam susunan tertib wuduk.
Ketika berada di dalam tandas, memadai niat wuduk di dalam hati tanpa menyebut nama Allah. -Gambar hiasan
Ayat “basuhlah muka kamu” menunjukkan Allah SWT berkehendak mewajibkan wuduk dilakukan secara tertib mengikut susunan dan kehendak ini dengan maksud keinginan (bermula dengan niat).
Niat itu tempatnya di hati dan melafazkannya adalah sunat berdasarkan pandangan fuqaha mazhab Syafie.
Oleh itu, Imam al-Nawawi menjelaskan niat yang diwajibkan dalam wuduk adalah berniat dengan hati sedangkan lafaz niat dengan lidah tidak wajib.
Sementara itu, niat wuduk juga tidak disyaratkan untuk menambah "kerana Allah" bahkan memadai berniat hanya “mengangkat hadas”.
Hal ini kerana ibadah semestinya khusus semata-mata kerana Allah SWT.
Seterusnya, melafazkan “basmallah” adalah sunat dan sah wuduk tanpa menyebutnya.
Kesimpulan
Kesimpulannya, hukum melafazkan “basmallah” mahupun niat wuduk yang disertakan kalimah "kerana Allah" ketika berada di dalam tandas adalah makruh.
Justeru, ketika berada di dalam tandas, memadai niat wuduk di dalam hati tanpa menyebut nama Allah, sebagai contoh “sahaja aku mengangkat hadas kecil”.
Hal ini disebabkan lafaz "kerana Allah" tidak menjadi syarat keabsahan wuduk dan hukum melafazkan kalimah Allah di dalam bilik air adalah makruh.