suria

3 perayaan dilarang Allah tapi jadi trend kegilaan remaja

Perayaan Halloween, April Fool dan hari kekasih tetap disambut segelintir individu di negara ini biarpun ia sudah jelas haram di sisi Islam.(Gambar Hiasan)

SEPANJANG tahun, ada beratus hari keraian dan pelbagai sambutan dibuat di seluruh dunia termasuklah Malaysia.

Tapi awas, dalam kita teruja meraikan hari tertentu, ingatlah bahawa ada sesetengah perayaan dilarang dalam Islam dan bersifat haram jika diraikannya.

Persoalannya sekarang perayaan yang sudah terang-terangan ditegah namun ia tidak disambut sebahagian umat Islam malah selebriti-selebirti tempatan juga turut meraikannya.  

Sambutan perayaan hantu atau Halloween, hari kekasih (valentine day) dan April Fool misalnya biarpun sudah jelas haram hukumnya jika diraikan namun ia tidak diendahkan segelintir masyarkat.

Rasulullah sudah melarang umatnya daripada menyamai agama lain dengan bersabda yang maksudnya; Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu” - [Riwayat Abu Daud].

Menerusi segmen Ad-Din ini, mStar Online menyenaraikan tiga perayaan yang menjadi kegilaan sesetengah umat Islam untuk meraikannya.

1. Halloween

Suatu ketika dahulu, perayaan yang dikatakan bermula dari Irlandia ini diraikan sekitar 31 Oktober setiap tahun.

Ia disambut sempena memperingati orang mati termasuk golongan orang suci (saints), wira-wira agama (martyrs) dan mereka yang beragama dalam kalangan orang Kristian.

Perkataan Halloween berasal dari istilah All Hallow’s Eve (malam sebelum all hallow) yang merujuk kepada malam memperingati golongan suci yang telah mati.

Sambutan perayaan ini turut dimeriahkan dengan pemakaian pelbagai kostum oleh mereka yang menyambutnya. 

Mengikut tradisi, mereka yang meraikan sambutan itu biasanya akan memakai pelbagai kostum seram.

Malah, golongan kanak-kanak pula akan berarak dari rumah ke rumah untuk meminta gula-gula menerusi aktiviti yang dinamakan trick or treat.

Kebelakangan ini, perayaan itu semakin mendapat sambutan dan diraikan dengan sedikit twist oleh anak muda tempatan.

Setiap kali tibanya Oktober, restoran, pusat beli-belah, taman-tema dan pusat hiburan di Malaysia turut melakukan promosi bersempena Halloween.

Apa yang membimbangkan, anak muda beragama Islam di negara ini turut meraikan sambutan itu dengan mengenakan mekap wajah seram dan pemakaian pelbagai kostum mengikut tema yang ditetapkan.

Dalam al-Quran Allah berfirman yang maksudnya; Wahai manusia, makanlah apa-apa yang di bumi yang halal dan baik dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi mu  - [Al-Baqarah, ayat 168].

Ayat di atas secara terang-terangan larangan Allah agar manusia menjauhi syaitan kerana makhluk itu adalah musuh bagi umat Islam tetapi perayaan meraikan hantu pula dilakukan.

Dalam bacaan penuh Bismillah pun ia sudah membawa makna yang Allah meminta umat manusia agar memohon perlindungan daripadaNya yang maksudnya; Sahaja aku berlindung dengan Allah akan kejahatan syaitan yang direjam, sesungguhnya Allah itu maha pengasih dan penyayang.

2. Hari Kekasih (Valentine)

Satu lagi perayaan yang sering diraikan sebilangan umat Islam ialah Hari Kekasih.

Sambutan yang jatuh pada 14 Februari setiap tahun ini diharamkan ke atas umat Islam.

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia Bagi Hal Ehwal Islam kali ke-71 pada 2005 memutuskan bahawa perayaan tersebut tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Pasangan bercinta juga pada kebiasaannya akan menikmati makan malam romantis pada hari kekasih.

Malah, roh perayaan tersebut juga mempunyai unsur-unsur agama lain dan amalan yang bercampur maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Tidak perlu lihat jauh, cukuplah di sekeliling kita. Bermula di peringkat sekolah, ada pelajar dari usia belasan tahun yang meraikan sambutan itu dengan menghadiahkan bunga kepada buah hati mereka.

Malah, ia seolah-olah menjadi kebiasaan dan tidak memberi sebarang kesan buruk pun kepada mereka yang meraikannya.

Berlakunya maksiat apabila pasangan yang bukan mahram berpeluk-pelukan, bersentuhan antara satu sama lain dan mungkin seterusnya menyebabkan mereka terjebak dengan zina.

Dalam surah Al-Israa ayat 32 Allah berfirman yang maksudnya; Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat.

Paparan berita juga banyak memaparkan tangkapan khalwat pada malam hari kekasih.

Seperti yang dilaporkan menerusi media massa, banyak tangkapan khalwat melibatkan anak muda di hotel-hotel bajet pada malam Hari Kekasih.

Lebih teruk, keterlanjuran itu juga sering kali berakhir dengan kehamilan luar nikah seterusnya meningkatkan statistik kelahiran anak hasil zina di negara ini.

Malah, ada yang bertindak di luar batasan apabila sanggup menggugurkan kandungan dan membuang bayi.

3. April Fool

Begitu juga dengan sambutan April Fool yang diraikan pada 1 April setiap tahun.

Biasanya, rakan-rakan kita akan membuat prank pada hari April Fool.

Malah, pelbagai prank akan dikenakan sehingga ada yang menyebabkan kecederaan dan mengundang fitnah.

Menurut Bahagian Dakwah Jakim, sambutan April Fool dilarang kerana empat sebab.

Yang pertama, larangan menipu (prank) sudah termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Kedua, ia juga dilarang kerana mendatangkan kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan oleh penipuan/prank).

Seterusnya, ia seolah-olah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh seseorang individu.

Yang terakhir, April Fool juga dilarang kerana ia adalah amalan meniru budaya buruk yang bukan milik kita.

Dalam al-Quran juga turut disentuh mengenai menipu dan Allah melarang keras perbuatan tersebut.

Allah berfirman menerusi surah Ali-Imran [ayat 54] yang maksudnya; Dan mereka itu menipu Allah dan Allah itu menipu mereka pula (membalas tipuannya) dan Allah sebaik-baik (membalas) orang-orang yang menipu.

Artikel Lain