suria

Pernah bergelar gelandangan dan dianggap malang, namun tiada dendam di hati Da'i Adam

Juara program Da'i musim keenam, Muhammad Adam Muhibullah Abdullah berkongsi kisah hidupnya yang penuh dengan liku sebelum memeluk Islam pada 2010. Foto YAP CHEE HONG

PEMILIK nama Muhammad Adam Muhibullah Abdullah menjadi perhatian apabila dia muncul sebagai mualaf pertama menjuarai program Da'i musim keenam pada September lalu.

Keyakinan dan kepetahan Adam berbicara pada pertandingan tersebut cukup dikagumi pesaing dan penonton setia rancangan dakwah berkenaan.

Namun di sebalik itu, Adam atau nama asalnya Dizzy Reo Sidul, 26, tersimpan 1,001 kisah duka dalam perjalanannya menempuh kehidupan yang membawanya mengenali Islam.

Dilahirkan dalam keluarga beragama Kristian di Ranau, Sabah, pemuda itu telah melalui pelbagai kepayahan sejak kecil, malah pernah tidur di kaki lima gara-gara tiada tempat berteduh ketika usianya baru mencecah 13 tahun.

Adam memberitahu pernah hidup di jalanan kerana tiada tempah berteduh pada usianya 13 tahun.

"Ibu bapa saya berpisah ketika saya masih kecil dan saya dijaga oleh datuk dan nenek sebelah bapa sehingga saya berusia lapan tahun sebelum mereka meninggal dunia.

"Selepas itu saya diambil oleh bapa yang menetap di Pulau Pinang tetapi sepanjang tinggal bersama keluarga barunya saya seringkali berasa terasing.

"Cakap-cakap seperti saya pembawa malang dan menyusahkan seperti sudah menjadi 'makanan' telinga saya... Ia membuatkan saya berasa sedih walaupun tidak tahu apa kesalahan saya.

"Atas sebab-sebab tertentu, selepas mengambil peperiksaan UPSR saya minta untuk tinggal bersama ibu saudara di Klang, Selangor kerana tidak mahu jadi penghalang kepada kebahagiaan bapa bersama keluarga barunya," katanya.

Adam muncul sebagai juara program Da'i musim keenam.

Tidur di kaki lima, berpindah randah tidur rumah kawan

Cerita Adam lagi, kebahagiaannya tidak lama sejak tinggal di tempat baharu apabila ibu saudaranya berpindah dan kemudiannya dia menyewa bilik di flat seorang lagi saudaranya.

"Tidak lama saya tinggal di flat itu kerana saudara saya menghilangkan diri dan meninggalkan saya seorang di situ... Pada usia 13 tahun saya tidak mampu bayar sewa sehingga terpaksa keluar daripada rumah tersebut.

"Saya hilang tujuan... Saya masih ingat terpaksa tidur di kaki lima selama dua minggu sebelum hidup berpindah randah menumpang tidur di rumah rakan sekolah yang baik hati membantu saya.

"Bagi menampung perbelanjaan sekolah saya pernah buat macam-macam kerja seperti mengutip besi buruk, botol-botol kosong dan mengedar risalah di sekitar Klang.

Takbir raya usik hati Adam peluk Islam lapan tahun lalu.

"Saya juga sering aktifkan diri dalam pelbagai aktiviti korikulum mewakli sekolah ke peringkat negeri dan kebangsaan jadi saya tidak perlu bayar yuran malah mendapat pelbagai bantuan termasuk bantuan makanan di sekolah," katanya.

Melalui pelbagai kesukaran ketika membesar, Adam bagaimanapun tidak pernah menyimpan dendam terhadap keluarganya, malah sehingga kini masih berusaha menjernihkan hubungan dan mengeratkan kembali silaturahim di antara mereka.

"Alhamdulillah saya dapat bertemu kembali dengan ibu dan adik beradik lain selain sentiasa cuba untuk berhubung dengan bapa.

"Walaupun pelbagai perkara melanda saya mereka tetap keluarga yang saya sayangi dan akan sentiasa berusaha merapatkan kembali hubungan kami," ujarnya.

Adam bersama bapanya. 

Kenali Islam ketika menetap di rumah dakwah Kristian, takbir raya usik hati peluk Islam

Dua tahun hidup berpindah randah, Adam memberitahu dia kemudiannya berpindah ke sebuah rumah pendakwah Kristian yang mengkhususkan mengajar dan berdakwah agama itu.

Kata Adam, titik tolak di mula mengenali Islam juga tercetus ketika dia belajar tentang kitab Injil apabila paderi di pusat itu memintanya membuat kajian mengenai perbandingan antara dua agama.

"Ketika membuat kajian itu saya membuat perbandingan tentang tiga perkara iaitu kitab, akhlak dan aqidah tetapi semua jawapan yang saya cari membawa saya kepada sebaliknya.

"Pada masa sama saya turut mendapat pelbagai jawapan kepada persoalan yang ada dalam diri saya sebelum ini.

Adam mahu beri inspirasi kepada golongan mualaf yang lain menerusi dakwah.

"Islam itu sudah cukup sempurna tetapi diri kita sendiri yang membuatkan Islam itu kelihatan tidak sempurna kerana kita tidak mengikut perintah yang ditetapkan oleh Allah," ujarnya.

Namun kata Adam, egonya ketika itu menutup matanya untuk mengakui kebenaran dicarinya selama ini sehinggalah dia terdengar laungan takbir ketika sambutan Aidiladha setahun kemudian.

Kata Adam, takbir yang didengarnya ketika itu mengusik hati kecilnya sehingga membuatkan dia berasa sayu dan sekaligus memecah rasa ego dalam dirinya tentang Islam.

"Jujurnya saya cukup marah kalau orang bercakap mengenai Islam kerana saya sering pertikaikan jika itu adalah pegangan yang benar mengapa ramai yang tidak beramal, selain ego dalam diri yang tinggi ketika itu.

Adam kini sedang memberi fokus kepada pengajiannya di KUIS dalam bidang Dakwah & Pengurusan Sumber Insan.

Tetapi laungan takbir ketika hari raya Aidiladha yang cukup sayu menyentak hati saya sehingga mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam pada akhir 2010," katanya.

Adam mahu beri inspirasi kepada golongan Mualaf

Bercakap mengenai perancangannya selepas ini, Adam yang juga dari suku kaum Dusun itu memberitahu, dia akan terus memberi inspirasi kepada mualaf di luar sana agar terus mendalami Islam dengan lebih baik.

Selain itu, dia akan memberi fokus kepada pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Dakwah & Pengurusan Sumber Insan dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) yang berbaki satu semester lagi.

"Saya sebenarnya sudah lama ingin mengetengahkan topik mengenai mualaf dan Alhamdulillah menerusi Da'i saya dapat berbuat demikian.

"Insya-Allah saya sendiri sebagai seorang mualaf, akan terus berdakwah kepada rakan-rakan seperti saya dalam memberi motivasi dan inspirasi dalam terus mendalami dan mengangkat Islam.

"Selain itu saya ingin berkongsi pengalaman saya sendiri yang Insya-Allah dapat dijadikan pemangkin semangat kepada orang lain," ujarnya.

Artikel Lain