suria

Juruteknik jet pejuang menangis ‘buta’ al-Quran, akhirnya diberi hidayah dapat ajar mengaji

Syed Walid memperkenalkan kaedah kotak untuk mereka yang tidak tahu membaca al-Quran.

PETANG itu selepas habis syfinya sebagai jururteknik penyeleggaraan pesawat Hawk, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Syed Walid pulang ke berek bujangnya sambil berehat selepas seharian penat bekerja.

Baharu beberapa bulan ditukarkan ke Pengkalan Udara TUDM di Kuantan selepas tamat latihan sebagai juruteknik kejuruteraan pesawat tentera, dia cuba membiasakan dirinya dengan tempat baharu itu.

Ustaz Syed Walid atau nama sebenarnya Syed Walid Al Giffa Syed Ibrahim mendedahkan pada usia mudanya dia leka dengan suruhan Allah, sembahyang pula ikut mana sempat sementara mahu baca al-Quran pula jauh sekali.

Bercerita tentang perubahan hidupnya Syed Walid, 38, berkata, segala-galanya bermula ketika dia bertemu teman lamanya ketika di Kuantan.

Ketika rakannya bercerita tentang keindahan al-Quran, Syed Walid hanya tersenyum dan mengangguk kepala sahaja. Maklumlah, dia sudah lama tidak sentuh kitab suci itu.

Syed Walid yang dahulunya buta al-Quran tetapi dengan izin Allah, dia kini boleh membuka pusat pengajian al-Qurannya sendiri.

Akhirnya ketika pulang ke berek bujangnya dia tergerak hati mencari al-Quran, hajat mahu membacanya.

Tapi apakan daya, Syed Walid terkejut apabila lidahnya kelu, dia juga tercungap-cungap mengeja huruf walaupun sebuah surah yang mudah.

Ketika itu datang satu perasaan luar biasa, hati sebak dan timbul perasaan malu lalu dia menangis mengenangkan nasibnya itu.

“Sebenarnya, saya tak pandai baca al-Quran sejak umur 13 tahun lagi walaupun saya pernah khatam al-Quran. Semasa membelek-belek semula al-Quran untuk dibaca, saya rasa betul-betul berdosa dalam diri dan menangis kesal,” katanya kepada mStar Online.

Pada malam itu dia memohon kepada Allah agar diberi petunjuk.

Esoknya selepas tamat syif bekerja, dia mengunjungi sebuah masjid di bandar Kuantan dan berjumpa seorang ahli agama dikenali Ustaz Latif lalu meluahkan hasrat untuk belajar mengaji.

Beginilah para pelajar yang mengikuti kelas pengajian al-Quran kaedah kotak.

Kata Syed Walid, semasa menghadiri kelas al-Quran itu, dia diminta membaca surah-surah mudah tapi sayang sekali dia merangkak-rangkak kerana tidak kenal huruf.

“Masa itu saya betul-betul malu dengan ustaz yang dengar bacaan al-Quran saya dan bermula dari itulah saya berjanji dalam diri, jika ditakirkan saya pandai membaca al-Quran, saya berhasrat mengajar orang lain,” katanya.

Selepas hampir empat tahun menuntut ilmu itu, akhirnya Syed Walid berjaya membaca al-Quran dengan lancar.

Bermula dari situlah dia menunaikan niatnya dengan mengajar al-Quran kepada rakan-rakan tentera di kuarters tempat tinggalnya.

“Mulai dari situ ramai teman sekerja belajar mengaji daripada saya dan jujurnya saya rasa amat tenteram kerana dapat membantu orang ramai yang mulanya menghadapi masalah seperti saya,” kata bapa kepada empat orang anak ini.

Tambah Syed Walid lagi, ketika ditukarkan ke Kuala Lumpur dengan pangkat sarjan ketika itu, dia mula membuka kelas pengajian di sebuah pusat tahfiz di Sungai Buloh, Selangor dan megajar mengaji secara sambilan sehinggalah tamat tempoh perkhidmatannya dalam tentera.

Syed Walid (kiri) bersama seorang pekerjanya di Quran Centre iaitu Azli.

Ujarnya lagi, selepas pencen tentera, dia akhirnya membika Quran Center di Sungai Buloh, Selangor.

Kaedah Kotak

Kata Syed Walid, semasa proses mengajar mengaji dia bertemu ramai pihak yang menghadapi masalah mengenai al-Quran yang terdiri daripada lima peringkat berikut.

1. Orang tidak kenal huruf dan tidak boleh membaca al-Quran

2. Keliru dengan bentuk huruf-huruf al-Quran

3. Tidak faham hukum tajwid

4. Boleh membaca namun kesalahan hukum tajwid

5. Boleh membaca al-Quran tapi banyak kesalahan lain

Katanya, atas sebab itu dia mendapat ilmu cara mudah mengenal huruf al-Quran dengan memperkenalkan kaedah kotak.

Menerusi teknik berkenaan, huruf-huruf al-Quran dikotakkan mengikut suku kata tertentu dan huruf-hurufnya pula diterjemahkan dalam bentuk konsonan dan vokal agar mudah untuk dieja.

“Selepas memperkenalkan teknik ini, barulah pelajar kelas saya faham fungsi baris, huruf dan ayat-ayat al-Quran selain teknik yang betul membacanya,” ujar Syed Walid.

Tambahnya sejak dibuka kira-kira dua tahun lalu, dia mempunyai lebih 2,000 pelajar yang kebanyakkannya memberi respons positif apabila dapat mengenal al-Quran.

Dia amat bersyukur kerana hajat untuk mendidik umat Islam dengan cara mengajar al-Quran dimakbulkan Allah selepas dia sendiri melalui pengalaman tidak pandai mengaji.

Individu yang berminat mengikuti kelas al-Quran anjuran Ustaz Syed Walid boleh menghadirinya secara mingguan iaitu selama 10 minggu dengan bayaran RM70 bagi setiap sesi.

Sementara untuk bengkel dua hari pula mereka dikenakan yuran keseluruhan RM350.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi talian 013-3453560.

Ustaz Kotak, Syed Walid

Artikel Lain