LEBIH sedekad restoran Cina Muslim terkenal iaitu Restoran Mohd Chan beroperasi yang asalnya ialah sebuah kedai kecil di Bukit Beruntung, Selangor. Kini dengan 18 cawangan di Lembah Klang, perniagaan restoran halal yang diasaskan oleh Datuk Mohd Chan Abdullah menarik kunjungan ramai pelanggan termasuk bukan Muslim. Begitulah kejayaan hasil titik peluh Mohd Chan, 65, selepas memeluk Islam. Restorannya bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian masakan Cina, bahkan mengubah persepsi pelanggan beragama Islam mengenai segelintir masakan kaum itu yang lazimnya menggunakan bahan dan ramuan tidak halal. Setakat ini, sebanyak 18 cawangan restoran Cina Muslim, Mohd Chan di Lembah Klang. Berkongsi pengalamannya bergelar mualaf, usahawan berasal dari Gombak, Selangor ini menjelaskan beliau tidak pernah memaksa ahli keluarganya yang lain untuk memeluk Islam. Namun apa yang lebih mencabar bagi Mohd Chan adalah meyakinkan masyarakat sekeliling bahawa agama Islam yang dianuti beliau bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah. "Sudah 11 tahun saya masuk Islam, saya pakai kopiah ke mana saja saya pergi dan tidak pernah menanggalkannya. Mengapa? Sebab dulu pada mulanya ramai yang tidak percaya saya sudah memeluk Islam, lebih-lebih lagi bila mahu mengusahakan restoran Cina Muslim. "Macam mana nak beritahu saya seorang Muslim, soal saya dalam hati. Letak satu kopiah, itu yang mereka boleh lihat secara luaran. Tapi bagi diri saya, dalaman saya adalah amalan dan ajaran Islam yang saya ikuti, terutama solat lima waktu sehari," katanya kepada mStar Online di restorannya di Sunway Geo Avenue, Bandar Sunway, baru-baru ini. Antara hidangan di restorannya yang terkenal ialah dim sum. Mohd Chan begitu sinonim dengan gayanya berkopiah. Bapa tiga anak ini berkata dia tertarik dengan Islam kerana disiplin dalam ajarannya, seperti kewajipan menunaikan solat. Dia juga menyifatkan gayanya berkopiah tidak pernah silap, malah sedikit-sebanyak memberi pengaruh kepada keluarganya mengenai keistimewaan agama Islam. "Mereka tidak tertanya-tanya atau berasa hairan kenapa saya memakai kopiah, mungkin mereka sudah boleh meneka mengapa saya sering bergaya sedemikian. "Saya fikir ia adalah cara untuk mempengaruhi mereka. Setiap hari pakai kopiah ke mana-mana, bila-bila masa kecuali apabila mahu mandi, jadi sudah terbiasa dengan keadaan ini sehingga sekarang. "Selepas saya bergelar mualaf, isteri memeluk Islam tiga bulan kemudian. Anak-anak saya pula mengikut jejak langkah saya dengan pilihan mereka sendiri secara berperingkat. Malah, dua menantu juga membuat keputusan yang sama. Syukur Alhamdulillah," katanya. Mohd Chan bersama salah seorang anaknya, Nik Chan. Anak lelaki Mohd Chan iaitu Datuk Nik Chan turut mengakui bapanya bukan sahaja idola untuk menjadi seorang ahli perniagaan berjaya, bahkan mempengaruhinya mencintai Islam. Selepas saya bergelar mualaf, isteri memeluk Islam tiga bulan kemudian. Anak-anak pula mengikut jejak langkah saya secara berperingkat. Malah, dua menantu juga membuat keputusan yang sama Datuk Mohd Chan Abdullah Pengasas Restoran Mohd Chan Walaupun satu keputusan yang amat besar, tetapi Nik Chan yakin pilihannya memeluk Islam pada 2009, ketika itu berusia 25 tahun dan masih bujang. "Dulu, kami tinggal serumah jadi apa yang dilakukan ayah sentiasa diperhatikan kami sekeluarga. Saya tertanya-tanya kenapa ayah sering pergi solat, apa yang dia buat. "Kemudian saya mendapati agama ini berdisiplin sehingga membuatkan saya minat tentang Islam. Semuanya berlaku secara spontan dan saya hanya berjumpa ayah dan beritahu 'saya nak masuk Islam macam mana, nak pergi mana?' Ayah pun tak bertanya mengenai keputusan saya. Syukur, ayah membantu walaupun dia juga baru memeluk Islam ketika itu," katanya yang merupakan pengarah Mohd Chan Food Sdn Bhd. Nik Chan memeluk Islam ketika usianya 25 tahun dan masih bujang. Nik Chan yang kini berusia 34 tahun memberitahu, beliau tidak pernah bertanyakan sebab bapanya berkopiah bukan kerana bimbang dimarahi tetapi cuba untuk memahaminya. Bagi anak bongsu ini, bapanya masih menjalankan tanggungjawab kepada keluarga dan kepastiannya mengenai agama baharu bapanya apabila rumah dan restoran mereka sering didatangi guru agama. "Ustaz selalu datang ke rumah atau restoran untuk mengajar ayah terutama mengaji al-Quran. Sebenarnya sebelum saya masuk Islam, saya sudah tahu baca al-Fatihah sebab bila ustaz ajar ayah, saya ada di sebelah dan dengar dia belajar membaca dan mengaji. "Saya tak menghafalnya, tapi bila hampir setiap hari dengar, saya sudah boleh ingat meskipun tidak tahu maksudnya atau adakah betul sebutan itu," ujarnya yang tidak menyangka dapat membaca al-Fatihah sedikit demi sedikit meskipun tidak lancar. Selain menunaikan tanggungjawab sebagai bapa, Mohd Chan juga mempengaruhi keluarganya mengenai keindahan Islam. Selepas memeluk Islam, Nik Chan berkata, beliau kemudian mendalami bacaan al-Fatihah bersama surah-surah yang lain dengan mengikuti kursus dan kelas agama. "Bila saya sudah masuk Islam, saya hanya mengikut ajaran yang ditetapkan dalam Islam. Pemikiran adalah penting, jangan berfikir secara negatif. "Seperti yang ayah beritahu kami sekeluarga bahawa Islam itu indah. Kita tidak perlu mengubah diri kita hanya kerana bertukar agama tetapi ajaran Islam itu yang harus dipatuhi sampai bila-bila," katanya.