suria

Ketahui 10 bandar tempoh berpuasa paling lama dan singkat di dunia

Tempoh berpuasa di seluruh dunia berbeza mengikut kedudukan garisan lintang dan bujur sesebuah negara.

DIAM tak diam, sudah 10 hari umat Islam di seluruh dunia menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Perbezaan garisan lintang dan bujur bagi setiap negara menyebabkan sesebuah negara itu mengalami tempoh berpuasa yang berlainan antara satu sama lain.

Dalam erti kata lain, umat Islam menetap di hemisfera utara akan berpuasa lebih lama berbanding mereka yang tinggal di negara yang hampir dengan garisan Kutub Selatan.

Jom kita ketahui 10 bandar di mana penduduknya perlu menjalani ibadah puasa terpanjang dan paling pendek di dunia.

Kenali 5 bandar tempoh berpuasa paling panjang

Murmansk terletak di barat laut Rusia.- Gambar hiasan/56th Parallel

1. Murmansk, Rusia (21 jam 41 minit)

Murmansk merupakan bandar yang terletak di barat laut Rusia dan merupakan ibu negeri di wilayah Murmansk.

Berdasarkan kajian demografi yang dijalankan pada 2012, umat Islam merupakan golongan minoriti di Murmansk dengan bilangan penduduk satu peratus daripada 795,409.

Ini bermaksud, jumlah umat Islam di bandar tersebut dianggarkan hanya sekitar 8,000 orang.

Waktu bersahur bagi umat Islam di Murmansk adalah sekitar pukul 1.22 pagi dan mereka berbuka puasa pada pukul 11.13 malam.

Lulea merupakan bandar yang tidak pernah gelap pada musim panas. - Gambar hiasan/Joana Kruse

2. Lulea, Sweden (20 jam 20 minit)

Lulea adalah bandar terbesar dan terletak di utara Sweden serta sangat hampir dengan Garisan Artik.

Jika anda berkunjung ke Lulea pada musim panas, bandar itu tidak pernah gelap dan berpeluang melihat sendiri fenomena suria tengah malam (midnight sun).

Waktu bersahur bagi umat Islam di Lulea adalah selewat-lewatnya pukul 1.31 pagi dan berbuka pada pukul 9.51 malam.

Reyjavik memiliki kira-kira 1,000 penduduk Islam. - Gambar hiasan/The Independent

3. Reykjavik, Iceland (19 jam 57 minit)

Reykjavik adalah ibu negara Iceland dan merupakan bandar paling utara di dunia dengan memiliki populasi sekitar 123,000 penduduk.

Pusat Kajian Pew dari Amerika Syarikat (AS) menganggarkan penduduk Islam di bandar tersebut hanyalah kira-kira 1,000 orang.

Waktu bersahur bagi umat Islam di Reykjavik adalah sekitar pukul 2.33 pagi dan mereka berbuka pada pukul 10.34 malam.

Komuniti Islam di Fairbanks dinasihatkan mengikuti waktu buka puasa Mekah. - Gambar hiasan/Ottsworld

4. Fairbanks, Alaska (19 jam 47 minit)

Fairbanks adalah bandar terbesar dalam wilayah Alaska, AS dengan populasi penduduk bandar hanya sekitar 32,751 orang.

Umat Islam di Fairbanks bersahur pada pukul 3.10 pagi dan berbuka pada pukul 11.03 malam.

Namun, Pusat Komuniti Islam Anchorage di Alaska, menasihatkan umat Islam untuk mengikuti waktu berbuka puasa Makka selepas berunding dengan ulama.

Agama Islam di Oslo merupakan agama kedua terbesar di Norway. - Gambar hiasan/The Independent

5. Oslo, Norway (19 jam 6 minit)

Oslo merupakan ibu negeri dan kota terbesar di Norway, dan bandar ketiga terbesar di negara-negara Skandinavia.

Islam di Norway adalah agama minoriti dan agama kedua terbesar di Norway selepas Kristian.

Sementara itu, umat Islam di Oslo bersahur pada pukul 2.37 pagi dan berbuka pada pukul 9.46 malam.

Ketahui 5 bandar dengan tempoh berpuasa terpendek


Dar es Salaam merupakan bandar ekonomi Tanzania. - Gambar hiasan/And Beyond

1. Dar es Salaam, Tanzania (13 jam 4 minit)

Dar es Salaam adalah bandaraya terbesar dan bandar ekonomi Tanzania yang terletak di teluk yang tenang di pantai Lautan Hindi.

Tempoh berpuasa umat Islam di Dar es Salaam hampir sama umat Islam di Malaysia iaitu sekitar 13 jam.

Masyarakat Muslim di Dar es Salaam bersahur sekitar pukul 5.11 pagi dan berbuka puasa pada pukul 6.15 petang.

Rio de Janeiro berpuasa selama lebih 12 jam.- Gambar hiasan/The Times

2. Rio de Janeiro, Brazil (12 jam 23 minit)

Rio de Janeiro terkenal dengan landskap yang menakjubkan, kebudayaan pantai yang santai dan karnival tahunannya.

Selain itu, kemahiran bola sepak pemain dari Rio de Janeiro juga sangat terkenal seperti Ronaldo, Carlos Alberto Torres dan Jairzinho.

Penduduk beragama Islam di bandar tersebut bersahur pada pukul 4.59 pagi dan berbuka puasa pada pukul 5.21 petang.

Komuniti Muslim di Santiago mengadaptasi budaya dan menukar nama mereka kepada nama Arab. - Gambar hiasan/Destinations Magazine

3. Santiago, Chile (11 jam 54 minit)

Santiago de Chile atau lebih dikenali sebagai Santiago adalah ibu negeri dan pusat ekonomi negara tersebut.

Terdapat lebih 3,000 umat Islam di Chile pada 2010 dan kebanyakan penduduk asal negara itu mengadaptasi budaya, semangat Islam dan menukar nama mereka kepada nama orang Arab.

Muslim di Santiago makan sahur sekitar pukul 5.59 pagi dan berbuka puasa pada pukul 5.53 petang.

Cape Town adalah bandar tertua di Afrika Selatan. - Gambar hiasan/And Beyond

4. Cape Town, Afrika Selatan (11 jam 53 minit)

Cape Town merupakan bandar tertua di Afrika Selatan dan terkenal dengan pelabuhannya dan suasana semulajadi di Wilayah Cape Floristic serta mercu tanda seperti Table Mountain dan Cape Point.

Majoriti penduduk di Cape Town menganut agama Kristian dan dianggarkan umat Islam hanya seramai 1.9 peratus daripada 56 juta populasi penduduk di seluruh Afrika Selatan.

Umat Islam di bandar tersebut bersahur pada pukul 6.03 pagi dan berbuka puasa pada pukul 5.55 petang.

Ushuaia adalah sebuah bandar paling selatan di dunia. - Gambar hiasan/Getty Images

5. Ushuaia, Argentina (10 jam 37 minit)

Ushuaia dikenali sebagai bandar paling selatan di dunia dan merupakan ibu kota wilayah Tierra del Fuego yang merangkumi pulau-pulau Arktik Argentina dan Islas Malvinas.

Islam di Argentina merupakan salah satu komuniti minoriti Muslim terbesar. Walaupun statistik yang tepat tidak diperolehi, jumlah sebenar komuniti Muslim di Argentina dianggarkan sekitar satu peratus daripada 500,000 penduduk, menurut Laporan Kebebasan Keagamaan Antarabangsa 2010.

Waktu bersahur bagi umat Islam di bandar tersebut adalah sekitar pukul 7.08 pagi dan waktu berbuka pula pada pukul 5.43 petang.

tempoh berpuasa, Ramadan

Artikel Lain