suria

Suami isteri kuat nafsu harus hati-hati mahu bercumbu di bulan Ramadan

Bermesra-mesraan tidak dimakruhkan jika pasangan mampu mengawal nafsu tetapi perbuatan itu seharusnya ditinggalkan. - Gambar hiasan.

BERPUASA di bulan Ramadan bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi juga mengelak daripada melakukan sebarang perkara yang membatalkannya.

Ia seperti bersetubuh, muntah dengan sengaja dan memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui ruang terbuka, bermula dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari.

Bagi pasangan suami isteri, sudah tentu terdapat batas-batas yang perlu diikuti agar ibadah puasa terpelihara.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramadan bukan pesta makan tapi didik kawal nafsu, insafi diri hayati nikmat puasa - Pensyarah Kanan Usim

Bagaimanapun, adakah pasangan suami isteri dibenarkan bercumbuan dan bermesraan semasa berpuasa walaupun mereka tidak melakukan hubungan kelamin?

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah Undang-Undang dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan menjelaskan, mazhab Imam Syafie menyatakan perbuatan tersebut adalah makruh bagi sesiapa yang nafsu syahwatnya kuat (mudah terangsang).

Manakala tidak dimakruhkan jika individu tersebut mampu mengawal nafsu dan perbuatan itu seharusnya ditinggalkan.


Makruh bagi pasangan suami isteri  untuk bercumbuan dan bermesraan semasa berpuasa. - Gambar hiasan/Muslim Couple

"Sekiranya seseorang yang kuat nafsunya mencium (bercumbu) dan tidak keluar air mani, maka puasanya tidak batal.

"Menurut pendapat mazhab Imam Syafie, sekiranya seseorang itu bermesra-mesraan dengan isterinya pada bahagian selain faraj lalu terkeluar air maninya atau bercumbuan dan keluar air mani maka puasanya terbatal," katanya kepada mStar.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar Ibn al-Khattab:

Maksudnya: Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah mencium dalam keadaan aku berpuasa. Maka Rasulullah S.A.W menjawab: Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa?

Ketika mengulas hadis ini, Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Baginda S.A.W mengumpamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur. Dan telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur lalu air sampai ke dalam rongganya maka itu membatalkan puasa. Sekiranya air tidak sampai maka ia tidak membatalkan. Begitu jugalah dengan mencium.

Sesiapa yang bersetubuh pada siang hari pada bulan Ramadan, maka kesan dari perbuatan tersebut ialah:

Menurut pendapat mazhab Imam Syafie, sekiranya seseorang itu bermesra-mesraan dengan isterinya pada bahagian selain faraj lalu terkeluar air maninya atau bercumbuan dan keluar air mani maka puasanya terbatal.

DR NUR MOHAMAD HADI

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah Undang-Undang, Usim

Pertama: Puasanya batal dan wajib qada (ganti) ke atas keduanya.

Ini kerana perbuatan bersetubuh dengan isteri di siang hari bulan Ramadan termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Ia berdasarkan sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Dan berpuasalah pada hari yang lain menggantikan hari tersebut."

Kedua: Sesiapa yang bersama dengan isterinya di siang hari bulan Ramadan, maka dia dikenakan kafarah seperti berikut secara tertib (mengikut urutan):

- Membebaskan seorang hamba

- Berpuasa dua bulan berturut-turut

- Memberi makan kepada 60 orang miskin

Ini adalah berdasarkan kisah seorang arab badwi yang datang menemui Rasulullah S.A.W sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Abu Hurairah yang bermaksud: "Seorang lelaki telah datang kepada Nabi S.A.W lalu dia mengatakan: “Aku telah binasa”. Lalu Rasulullah berkata: “Apa yang menyebabkan kamu binasa?”

Maka lelaki itu menjawab: “Aku telah bersama dengan isteriku pada bulan Ramadan.” Maka, Nabi S.A.W bersabda: “Bebaskanlah seorang hamba”.

Salah satu cara membayar kaffarah adalah dengan memberi makan kepada 60 orang miskin. - Gambar hiasan/The Take Out

Lelaki itu menjawab: “Aku tidak memilikinya.” Baginda bersabda lagi: “Puasalah selama dua bulan berturut-turut”.

Lalu lelaki itu mengatakan: “Aku tidak mampu.” Kata Baginda lagi: “Berilah makan kepada 60 orang miskin”.

Maka jawab lelaki itu: “Aku tidak memiliki sesuatu untuk diberi makan.”

Semoga dengan penjelasan ini dapat membantu kita menjalankan ibadah puasa selari seperti dituntut oleh agama.

Bagaimanapun tidak menjadi kesalahan jika suam isteri itu ingin bersama atau melakukan persetubuhan selepas waktu berbuka.

Sila kongsikan semoga menjadi sebahagian amal jariah kita.

puasa, hukum bercumbu, bersetubuh

Artikel Lain