suria

Kisah Gua Hira dan wahyu pertama, "Bacalah..."

Pengunjung bergilir-gilir meninjau Gua Hira yang menjadi lokasi bersejarah di mana Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertamanya.

PENDAKIAN di malam hari yang menginsafkan. Sebaik kaki mengatur langkah menaiki tangga batu ke puncak Jabal Nur, kotak fikiran mula membayangkan bagaimana suatu ketika dahulu Nabi Muhammad SAW mendaki bukit setinggi lebih 600 meter ini bersendirian.

Malahan, baginda memutuskan untuk bermunajat di Gua Hira yang terletak di kawasan agak tersembunyi di puncak bukit berkenaan.

Baginda ke situ bagi menghindari masyarakat Arab Jahiliyah yang ketika itu masih belum beriman kepada Allah SWT dan sering melakukan maksiat serta dosa-dosa besar.

Menjejaki kira-kira 1,200 anak tangga hingga ke puncak, sememangnya tidak menyangka akan ada gua di situ.

Sebaik tiba di puncak Jabal Nur, pengunjung perlu menuruni curam sebelum tiba ke gua yang agak tersembunyi kedudukannya.

Mana tidaknya, sebaik tiba di puncak, perlu menapak menuruni laluan curam kira-kira 50 meter sebelum melalui ruangan sempit antara batu besar dan barulah jelas kelihatan gua bersejarah itu di sebelah kiri.

Di tepi gua berkenaan tertulis dengan cat merah perkataan ‘Ghor Khira’ yang bermaksud Gua Hira. Di atas tulisan itu juga dicatat dua ayat awal surah al- Alaq dengan cat hijau, malahan surah sama turut tertulis di atas salah satu laluan ke Gua Hira.

Mengamati sekitar gua itu, hanya dua orang selesa memasukinya. Ketika tiba selepas hampir sejam pendakian ada pengunjung yang mengambil peluang menunaikan solat sunat, sama ada di bahagian dalam di mana Rasullulah SAW solat, atau di muka gua yang berukuran 3.7 meter (m) panjang dan 1.6 m lebar itu.

Demikianlah kebesaran Allah SWT, menempatkan Gua Hira di lokasi yang begitu terasing khusus buat insan terpilih, junjungan besar Nabi Muhammada SAW.

Dalam surah Saba’ ayat 28 Allah SWT berfirman: Tiadalah Kami utus engkau (Muhammad) melainkan untuk seluruh umat manusia, membawa khabar gembira dan memberi peringatan, namun kebanyakan manusia tidak mengerti.”

Malahan, di Gua Hira jugalah menjadi  lokasi di mana Rasulullah SAW menerima wahyu pertama apabila didatangi malaikat Jibril a.s. yang mengajar baginda membaca lima ayat pertama dalam surah al-Alaq yang bermaksud seperti di bawah:

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui.”

Nabi Muhammad SAW yang ummi, tidak dapat membaca dan menulis, dipaksa hingga tiga kali oleh Malaikat Jibril untuk membaca ayat tersebut. Hingga beliau berkata, “ma ana bi qariin” yang bermaksud "saya bukanlah seorang yang pandai membaca"

Menurut sebahagian ahli sejarah, peristiwa ini terjadi pada tanggal 17 Ramadhan 41 H ( 6 Ogos 610 H ), dengan perasaan takut dan gelisah setelah peristiwa itu, beliau lantas pulang ke rumah dan berkata kepada Khadijah. 

Dengan tekun Siti Khadijah mendengar berita agung dari suaminya dan sebaik selesai mendengar kata-kata Nabi SAW, Khadijah langsung mengimani kenabian beliau, diikuti oleh penghuni rumah ini.

Adapun orang luar rumah Khadijah yang pertama mengimani kenabian beliau adalah Abu Bakar Ash Siddiq.

Mengimbau pengalaman mendaki Jabal Nur, penulis bersama jemaah umrah Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd kira-kira 20 orang melalui pengalaman mendaki tanah tinggi yang turut dikenali sebagai Bukit Cahaya itu pada Disember 2018 sambil menikmati keindahan kota Makkah yang nampak bergemerlapan dari jauh.

Kota Makkah begitu indah dengan limpahan cahaya waktu malam dapat dilihat dari puncak Jabal Nur

Kami tiba kira-kira jam 9.30 malam di kaki bukit itu sebelum menaiki kereta sewa yang membawa kami secara berperingkat ke ketinggian di mana langkah pertama anak tangga itu dibina oleh puluhan 'sukarelawan' yang menunggu rezeki sepanjang perjalanan menuju puncak.

Perjalanan kira-kira 40 minit dilalui dengan penuh penghayatan, walaupun penat namun diteruskan demi menghayati jejak Rasulullah SAW dengan menunggang unta peliharaan baginda dengan laluan berbatu dan kering itu.

Begitu juga terlintas di benak fikiran bagaimana isteri baginda, Siti Khadijah menggagahkan dirinya setiap hari untuk menghantar makanan kepada Rasulullah SAW ketika baginda bersendirian di bukit yang terletak  3.2 kilometer dari Makkah itu.

Sepanjang tempoh bertahannuts yang bermakna menyendiri, menyepi ke suatu tempat yang sunyi untuk menjauhkan diri daripada dosa di gua berkenaan, baginda tinggal di sana selama satu bulan terutama di bulan Ramadan dan senario ini berlaku selama kira-kira tujuh tahun. 

Selain itu, Al-Ghazali, dalam karyanya Ihyâ’ ‘Ulûm Al-Dîn, dalam komentarnya tentang jalan yang ditempuh Rasulullah Saw. ketika bertahannuts di Gua Hira, menulis, “Manfaat pertama adalah pemusatan diri dalam beribadah, berpikir, mengakrabkan diri dalam munajat dengan Allah, dengan menghindari hubungan dengan sesama manusia, serta menyibukkan diri untuk menyingkapkan rahasia-rahasia Allah tentang persoalan dunia dan akhirat maupun kerajaan langit dan bumi. Inilah yang disebut kekosongan. 

Padahal, tiada kekosongan dalam bergaul serta mengisolasi diri. Mengisolasi diri jelas lebih baik. Malah, Rasulullah Saw., di permulaan kenabian beliau, hidup menyendiri di Gua Hira’ serta mengisolasi diri, sehingga cahaya kenabian dalam diri beliau menjadi kuat. Ketika itu para makhluk tidak kan kuasa menghalangi beliau dari Allah. Sebab, meski tubuh beliau beserta para makhluk, namun kalbu beliau senantiasa menghadap Allah.” 

Jika ditanya kenapa Gua Hira menjadi pilihan Rasulullah SAW untuk menyendiri, tidak di tempat lain?

Penjelasannya adalah kerana gua itu terletak di sebelah timur Masjidil Haram dan di puncak Jabal Nur. Ia dilihat sebagai lokasi ideal di Makkah bagi Rasulullah SAW untuk bertahannuts. 

Suasana yang tenang, jauh dari keriuhan Kota Makkah ketika itu dengan jumlah warganya sekitar 5,000 orang, pandangan yang terbuka ke tempat-tempat di bawahnya, terutama pandangan ke arah Masjid Al-Haram, dan pandangan ke padang pasir luas dan langit nan seakan tanpa batas, dapat dibayangkan dapat memberikan kesempatan bagi beliau untuk “beribadah, berpikir, mengakrabkan diri dalam munajat dengan Allah, dengan menghindari hubungan dengan sesama manusia, serta menyibukkan diri untuk menyingkapkan rahasia-rahasia Allah tentang persoalan dunia dan akhirat maupun kerajaan langit dan bumi” seperti dikemukakan Al-Ghazali. 

Kini Gua Hira terus dikunjungi namun bagi sebahagian besar pengunjung ia bukan semata-mata mahu melawat tetapi bermuhasabah untuk memikirkan betapa hebatnya Allah mencipta gua tersebut bagi melahirkan seorang pembawa kebenaran iaitu Rasulullah SAW.

Sesungguhnya lokasi bersejarah ini wajar dikunjungi bagi mereka yang mampu dan sihat, sempena Nuzul Quran di bulan mulia ini, di mana turunnya wahyu pertama di muka bumi ini maka marilah kita sama-sama berselawat ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Moga memperoleh syafaat baginda di padang mashyar nanti, InsyaAllah.




Gua Hira, wahyu, Jibrail, Muhammad

Artikel Lain