suria

Hati-hati… Aktiviti ‘tikam’ duit raya boleh jatuh haram

Kata Da'i Wan Dazrin, aktiviti tikam duit raya hanya akan menjadi haram sekiranya ia melibatkan elemen pertaruhan wang seperti berjudi. FOTO: Facebook.

SETIAP kali tibanya Syawal, amalan pemberian duit raya bagaikan sudah menjadi tradisi dalam dalam kalangan masyarakat kita terutamanya untuk kanak-kanak.

Tradisi itu bukan sekadar memeriahkan sambutan Aidilfitri, malah ia juga merupakan salah satu bentuk sedekah atau hadiah yang digalakkan dalam Islam.

Pada kebiasaannya, kita akan bersalaman sebelum menyerahkan duit raya kepada penerima.

Namun, wujud pula individu-individu terlebih kreatif menukar amalan pemberian yang biasa dilakukan kepada aktiviti tikam duit raya.

Mengulas isu itu, mStar mendapatkan pandangan pendakwah, Da'i Wan bagi memperhalusi hukum pemberian duit raya menerusi kaedah berkenaan.

Da'i Wan Dazrin.

Menurut pemilik nama Wan Dazrin Wan Din itu, aktiviti tikam duit raya hanya akan menjadi haram sekiranya ia melibatkan elemen pertaruhan wang seperti berjudi.

Jika tiada unsur judi, hukumnya pula adalah mustahab (harus).

Malah, jika para penerima hanya perlu mencabut undi untuk menentukan nasib terhadap jumlah wang dalam sampul raya yang bakal diterima tanpa sebarang bayaran, ia tidak dikira sebagai judi.

"Ia bukanlah tikam duit raya, ia sebuah cabutah bertuah untuk meraikan anak-anak. Diberikan hadiah dengan rela tanpa melibatkan sebarang pertaruhan wang pun padanya.

"Tiada dalil syara’ yang menganjur, tiada dalil Qat’ie yang mengharamkan. Perbuatan tersebut tidak mempunya pahala dan dosa dari sudut pandang syara’.

"Sekali sahaja kalau ia melibatkan wang pertaruhan, dan ganjarannya adalah tidak tentu, bergantung pada nasib, maka ia diistilahkan judi. Itu sahaja kuncinya," ujar Da' Wan.

Kanak-kanak antara yang paling gembira setiap kali menerima duit raya.

Jelasnya lagi, jika ia tidak melibatkan pertaruhan harta benda, ia tidak diklasifikasikan sebagai judi.

Namun, ia sekadar hibah (hadiah) yang mahu diberikan oleh seseorang individu kepada penerimanya sahaja.

"Ia akan jadi judi kalau kena keluarkan duit dahulu. Kita bayar RM1 contohnya, tapi pulangan tak tentu. Tiba-tiba boleh dapat RM50, dapat 50 sen sahaja atau tak dapat langsung, inilah yang dinamakan sebagai judi," kata Da'i Wan lagi.

Yang paling penting kata Da'i Wan, wang pertaruhan menjadi kunci yang akan menjadikannya sebagai judi.

"Kita pertaruhkan wang kita terhadap aktiviti yang tidak tahu keuntungan pembeliannya, pulangan balik adalah bergantung pada nasib," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pendakwah, Pencetus Ummah (PU) Amin turut dihubungi bagi mengulas isu sama.

Ujar PU Amin, dalam zaman serba moden ini, kaedah pemberian duit raya juga turut berubah.

Pemberian duit raya sudah sinonim dalam kalangan masyarakat kita.

Selain pemberian secara biasa, ada juga yang mengirimkan duit raya menerusi transaksi perbankan dalam talian dan sebagainya.

Mengulas isu tikam duit raya, PU Amin berpendapat jika ia melibatkan kaedah judi, maka hukumnya akan menjadi haram.

Malah, perolehan wang yang pada mulanya dari sumber halal juga akan bertukar status menjadi haram sekiranya diberi dalam kaedah tikam persis aktiviti judi sebenar.

Jika ada yang menggunakan alasan aktviti tikam duit raya sebagai aktiviti suka-suka untuk memeriahkan sambutan raya, PU Amin memberi cadangan agar ia diubah kepada cara yang lebih kreatif dan bermanfaat.

"Boleh sahaja buat permainan. Contohnya, minta baca surah atau buat ucapan kepada ibu bapa ke untuk uji keberanian, siapa yang memang akan dapat ganjaran duit raya dahulu.

"Kena faham kaedah, konsep sedekah ini mudah sahaja. Judi ni pula ada unsur aniaya. Apabila duit raya diberi dengan kaedah yang menyerupai judi, maka akan hilanglah konsep sedekah itu kerana ia ada unsur zalim dan tidak adil," katanya.

Pencetus Ummah (PU) Amin.

Dalam pada itu, PU Amin turut menekankan keburukan judi dalam Islam.

Ia bersandarkan kepada ayat 91 dalam Surah Al-Maidah yang membawa maksud: "Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran arak dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu.

Secara ringkasnya, judi dari segi bahasa atau juga dikenali dalam bahasa Arab sebagai al-maisir/al-qimar bererti permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah.

Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu dan segala jenis pertaruhan.

Selain kanak-kanak, duit raya juga boleh diberi sebagai sedekah kepada ibu bapa, orang tua, golongan asnaf dan sebagainya.

Dari segi istilah, terdapat beberapa takrifan yang dikemukakan oleh para ulama.

Antaranya:

1. Ibn Hajar al-Makki berpendapat judi merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan.

2. Al-Mahalli mengatakan judi ialah sebuah bentuk pertaruhan yang diharamkan yang terdedah untuk menang atau kalah.

3. Al-Mawardi mengatakan judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan.

4. Ibn Qudamah pula mengatakan judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah.

5. Bagi Ibn Taimiyyah, judi merupakan pengambilan sebahagian daripada harta seseorang, kemudian dipertaruhkan sama ada seorang itu mendapat hasil atau tidak mendapat apa-apa.

6. Ibn Qayyim pula berpandangan judi adalah suatu situasi di mana salah seorang daripada keduanya untuk menang ataupun kalah.

Artikel Lain