ALHAMDULILLAH kita telah melalui 22 hari berpuasa dan syukur kepada sesiapa yang telah menggandakan bacaan al-Quran, menggandakan sedekah, solat Tarawih dan sebagainya. Kita bakal melangkah ke malam-malam terakhir 10 Ramadan di mana Allah berjanji akan menyediakan bonus yang amat banyak lebih dari 1,000 bulan. Kalau kita bekerja dengan syarikat, mungkin kita pernah dengar majikan beri bonus sehingga 15 bulan tetapi apa yang Allah nak anugerahkan kepada kita sebanyak lebih 1,000 bulan. Kalau 15 bulan bonus pun berapa syarikat sahaja di Malaysia yang boleh beri bonus seperti itu sedangkan sekarang sudah berapa puluh ribu pekerja yang ditamatkan perkhidmatan tetapi Allah sangat sayangkan kita, Allah akan bagi bonus lebih dari 1,000 bulan. Namun bonus itu hanya boleh didapati pada 10 malam akhir Ramadan sahaja. Allahuakbar! Maka kejarlah bonus itu yang terbuka kepada sesiapa sahaja di muka bumi ini. Allah berfirman dalam surah al-Qadr: “Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang mulia.” Tahukah kamu apakah malam yang mulia itu? Malam yang mulia itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” Lailatul Qadar adalah malam terbaik melebihi 1,000 bulan. Kalau kita kira 1,000 bulan itu lebih kurang bersamaan 83 tahun 3 bulan tapi Allah cakap lebih dari seribu bulan maknanya Allah nak bagi lebih lagi tapi hanya Allah sahajalah yang tahu berapa bulan. Soalnya bagaimana kita nak dapat malam Lailatul Qadar itu? Beberapa petunjuk daripada amalan Nabi Muhammad SAW dan beberapa sahabat Nabi SAW. Nabi SAW apabila sampai ke 10 malam yang terakhir Ramadan Baginda akan beriktikaf di masjid dan Nabi akan mencari malam Lailatul Qadar pada hari-hari ganjil sepuluh terakhir Ramadan. Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan jatuhnya malam Lailatul Qadar. Ada yang berpendapat bahawa malam itu adalah malam ke 21, malam ke 23, malam ke 25, dan malam ke 29. Ada pula yang berpendapat bahawa malam itu akan berpindah-pindah dari satu malam ganjil yang ada pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan kepada malam ganjil lainnya. Akan tetapi, sebahagian besar mereka berpendapat bahawa malam itu ialah malam ke 27. Ubai bin Ka’ab berkata, “Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia! Malam Lailatul Qadar terdapat pada bulan Ramadan. Dan demi Allah! Aku telah mengetahui malam itu, iaitu suatu malam di mana kita diperintahkan oleh Rasulullah untuk menjalankan ibadah. Malam itu adalah malam ke 27. Adapun di antara tanda-tandanya ialah terbitnya matahari pada pagi hari dalam keadaan berwarna putih tanpa disertai sinarnya.” Imam al-Bukhari dan Muslim juga telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: “Orang yang beribadah pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” Secara mudahnya supaya kita tidak terlepas daripada malam Lailatul Qadar ini ialah dengan tidak meninggalkan dan berterusan beribadat pada malam-malam terakhir ini. Amalan dilakukan Nabi SAW pada 10 akhir Ramadan ialah beriktikaf di dalam masjid. Contohnya kalau setiap malam kita bersedekah. Contohnya RM5 setiap malam, maka bersamaan dengan 83 3 bulan lebih kita bersedeqah, kalau kita solat 11 rakaat atau baca al-Quran satu juzu’ maka lebih 83 tahun 3 bulan kita bersolat dan baca la-Quran. Apa yang kita nak doa pada malam Lailatul Qadar? Dalam satu hadis, Nabi SAW ditanya oleh Aisyah RA: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, jika saya mendapati malam Lailatul Qadar maka apa yang mesti saya ucapkan? Rasulullah SAW bersabda: “Katakanlah: Ya Allah, Engkau adalah Maha Pemaaf, maka berikanlah kemaafan kepadaku!” Lihatlah apa yang Nabi SAW suruh kita minta yang paling penting adalah kemafan dan keampunan daripada Allah. Kalau Allah maafkan kita maka bebaslah kita daripada dosa dan neraka dan insyaAllah kita akan ke syurga Allah. Apa lagi yang kita mahu dalam hidup ini selain keampunan, kemaafan dan pembebasan dari azab Allah samada di dunia, di alam kubur atau di akhirat yang kekal. Mohonlah ia bersungguh-sungguh. Marilah sama-sama kita mengejar malam Lailatul Qadar Kongsilah artikel ini sebanyak mungkin kalau jatuhnya pada malam Lailatul Qadar, maka setiap malam selama 83 tahun lebih kita menyebarkan dakwah Islam. Allahuakbar! Selamat beribadat. ***Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti