ISLAM menggalakkan umatnya agar berkasih sayang dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Maka, antara cara untuk merapatkan lagi kasih sayang sempena Syawal ini adalah dengan ziarah menziarahi. Ini berdasarkan daripada hadis bahawa sabda Baginda Rasulullah yang bermaksud: “Orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seperti satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut sakit.” [Muslim:4685]. ARTIKEL BERKAITAN: Berdamailah sempena Aidilfitri… 4 balasan Allah beri jika putuskan silaturahim Berkesempatan dengan hari raya, maka sudah menjadi budaya orang Malaysia untuk ziarah menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan juga ada yang melakukan rumah terbuka tanpa mengira bangsa dan agama. Janganlah berkunjung terlalu lama sehingga menyulitkan tuan rumah. - Gambar hiasan Ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni. Dalam kita sibuk menziarahi, Islam menerapkan beberapa adab yang perlu dipatuhi supaya kunjungan tersebut mendapat pahala dan tidak menjadi dosa. Sebelum berziarah ke rumah sanak saudara mahupun jiran tetangga, ketahui 10 adab yang perlu anda patuhi. 1. Ikhlaskan diri kerana Allah Ini berdasarkan hadis baginda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan ini bermula dengan niat dan bagi setiap orang dengan apa yang diniatkannya”. [Bukhori: 1] Maka dengan niat kerana Allah di dalam ziarah hubungan yang renggang akan pulih, kasih sayang yang pudar akan kembali bersinar dan sifat yang buruk akan bertukar menjadi baik. Ini kerana dengan keikhlasan diri maka bersama kehadiran kita itu akan menjemput rahmat Allah. 2. Meminta izin untuk hadir dan memberikan salam sebelum masuk ke rumah Sebelum kunjungan dibuat, Islam meminta kita supaya meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah. Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. FIRMAN ALLAH Ini bagi mengelakkan kesulitan kepada tuan rumah untuk menyediakan sesuatu hidangan dan supaya tidak membebankan mereka daripada sudut waktu yang mungkin sudah mempunyai perancangan tersendiri. Firman Allah di dalam Surah An-Nur ayat 58 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu). 3. Tidak menghendap atau mengintip Kita tidak dibenarkan untuk mengintip di jendela untuk memeriksa sama ada tuan rumah berada di dalam rumah atau tidak. Kita juga ditegah daripada mengintip keaiban tuan rumah dengan melihat kekurangan mereka. Firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: "Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang". 4. Tidak sibuk dengan barangan perhiasan rumah tuan rumah Jangan sibuk bertanya tentang perkakasan yang ada di dalam kediaman tuan rumah. - Gambar hiasan/ Foto Art Chen Kita tidak dibenarkan untuk memasuki urusan orang lain kecuali apabila diminta sendiri oleh mereka. Sudah menjadi penyakit bagi sesetengah orang untuk bertanya barangan yang terdapat di dalam rumah tuan rumah. Sabda Baginda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya di antara ciri kebaikan keislaman seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya”. (Tarmizi : 2240) 5. Menjaga mata Tidak melihat secara liar dengan mengintai dapur ataupun bilik tidur supaya tidak tersingkap aurat tuan rumah yang berkemungkinan tidak sempurna. 6. Duduk hanya ditempat yang telah dikhaskan Duduk hanya apabila diizinkan dan duduk di tempat duduk yang dikhaskan kepada tetamu. Janganlah sesuka hati berpindah ke bahagian lain dengan sengaja sekiranya tidak diizinkan. 7. Menjaga anak yang dibawa Jika kita datang bersama dengan anak-anak kecil, pastikan mereka tidak mengotor atau memecahkan barangan tuan rumah. Berikan duit raya kepada anak-anak tuan rumah sebagai tanda penghargaan kerana melayani tetamu. - Gambar hiasan/Foto Chan Boon Khai Jika berlaku di hadapan mata kita, maka hendaklah kita menasihati anak kecil agar tidak berbuat demikian. Berpesan kepada anak-anak sebelum melangkah masuk ke kediaman tuan rumah adalah dianjurkan supaya mereka dapat menjaga kelakuan. 8. Membawa buah tangan Ini bukanlah satu kemestian tetapi atas tanda penghargaan, maka bolehlah membawa sedikit buah tangan ataupun memberi duit raya kepada kanak-kanak. 9. Tidak berlama-lamaan Kita mestilah mengetahui ziarah bermaksud sebentar sahaja dan bukanlah sehingga menyulitkan tuan rumah untuk menyediakan makan pagi, tengah hari, petang dan malam untuk kita. 10. Mengucapkan syukur dan terima kasih Ucaplah terima kasih dengan senyuman yang manis kepada tuan rumah yang sanggup menerima kita sebagai tetamu. Sabda baginda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak dianggap bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur kepada manusia” - [Abu Daud:4177] Semoga raya tahun ini lebih bermakna apabila kita dapat saling berkunjung dan maaf-memaafkan sesama umat Islam. ***Dr. Nur Mohammad Hadi merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)