suria

Berdamailah sempena Aidilfitri… 4 balasan Allah beri jika putuskan silaturahim

Amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak juga antara faktor boleh mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga.

ALHAMDULILLAH! Syukur kita kepada Allah kerana dapat melangkah sehingga ke akhir Ramadan yang cuma tinggal lebih kurang empat hari saja lagi.

InsyaAllah semoga kita dapat melaksanakannya sehingga akhir Ramadhan dengan cemerlang dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran, melakukan solat-solat sunat, bersedekah dan sebagainya.

Itulah salah satu kemenangan kepada kita.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati-hati… Aktiviti ‘tikam’ duit raya boleh jatuh haram

Antara amalan lain  Baginda Nabi Muhammad SAW apabila berada dalam bulan Ramadan Baginda mempereratkan hubungan silaturahim dengan sanak saudara, rakan taulan dan jiran-jiran.

Sabda Baginda dalam satu hadis diriwayatkan oleh Imam Ahamd dari Abu Darda’: ”Tidakkah kamu suka, aku beritahu kamu tentang sesuatu amalan yang lebih afdal dari puasa, bersolat dan bersedekah?

Para sahabat berkata: “Tentu ya Rasulullah.” Baginda bersabda: “iaitu memperbaiki keretakan dalam hubungan keluarga kerana keretakan hubungan keluarga ialah pencukur (nikmat).”

Haram hukumnya bagi seseorang Islam yang bersengketa dengan saudaranya lebih daripada tiga hari. Gambar hiasan.

Kita dalam kalangan adik-beradik selalunya ada yang jenis kepala angin atau kepala batu sikit.

Contohnya kalau nak menyambut hari raya, ada juga adik-beradik yang kecil hati hanya nak berebut tempat tidur.

Mungkin ada dalam keluarga, abang sulung selalu dapat tidur di dalam bilik tetap ada adik-beradik lain tidur di ruang tamu atau celah dapur.

Hal begini pun boleh menyebabkan sambutan Syawal menjadi hambar.

Tapi sebagai abang sulung, boleh bertolak ansur dengan mengalah sebagai usaha menyambut seruan Nabi SAW untuk mempereratkan keretakan dalam hubungan keluarga.

Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya malaikat tidak akan turun kepada kaum yang di dalamnya ada orang yang memutuskan silaturahim.

“Tak apalah bilik tu raya ni adik punya. Abang tidur  kat tangga je! Adik nak makan apa, nak belanja apa, semua abang tanggung…!” Allahukabar, sejuk hati kalau mendengar jawapan seperti itu.

Jadi bersempena dengan hari raya yang bakal kita sambut, berusahalah untuk eratkan hubungan silaturahim sesama keluarga.

Bukan sahaja dengan adik beradik, bahkan sesama sanak saudara yang lain juga perlu dilakukan.

Bagaimana cara mengeratkan silaturahim?

Mengeratkan silaturahim boleh dilakukan dengan pelbagai cara. 

Imam Nawawi rahimullah berkata bahawa silaturahim adalah; “Berbuat baik kepada kerabat sesuai dengan keadaan orang yang berbuat baik dan orang yang menerima perbuatan baik itu. Terkadang silaturahim itu dengan harta, jasa, mengunjungi, ucapan salam dan lainnya.”

Menerima kunjungan jiran atau teman bukan Islam di hari raya juga adalah amalan yang dituntut.

Jadi balik raya nanti sasarkan semaksimum mungkin dengan mengunjungi sanak-saudara.

Boleh juga dilakukan dengan memberi hadiah seperti tudung, kain pelikat, kopiah atau apa-apa barangan bersesuaian yang mampu dibeli.

Ini kerana menjadi sifat manusia, seseorang itu paling suka apabila menerima hadiah walaupun tak seberapa harganya.

Kunjungi juga sanak-saudara dekat atau jauh dengan pergi satu rombongan sebanyak dua, atau tiga buah buah kereta.

Tentunya meriah beraya macam tu dan seterusnya diikuti menziarahi jiran tetangga, kawan-kawan sekolah, kawan ayah dan emak serta selainnya.

Nabi SAW dalam satu hadis yang lain diriwayatkan oleh al-Bazzar dari Anas RA bahawa, Rasulullah SAW bersabda kepada Abi Ayyub: “Tidakkah engkau suka aku tunjukkan satu usaha perdagangan (yang menguntungkan)?

“Tentu ya Rasulullah” jawab Abu Ayyub.

Sabda Nabi SAW ialah berusaha memperbaiki hubungan retak di antara sesama manusia dan mendekatkan mereka jika berjauhan di antara satu dengan yang lain.

Larangan putus silaturahim

Bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Tidak halal bagi seorang Islam menyisihkan saudaranya lebih dari tiga hari, jika kedua-duanya bertemu, maka yang seorang berpaling ke sana dan yang seorang lagi berpaling ke sini. Tetapi yang paling baik di antara yang kedua itu ialah siapa yang memulai mengucapkan salam kepada lawannya.” - [HR. Muttafaqun Alaih].

Berkumpul sesama keluarga boleh mengeratkan hubungan dan menjernihkan kekeruhan jika ia berlaku.

Memutuskan silaturahim hukumnya haram dan dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat daripada Allah SWT, sebagaimana firmanNya: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan-jika kamu dapat memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.” [Muhammad: 22-23]

Empat kesan akibat memutuskan silaturahim

1. Pencukur rezeki

Rezeki kita yang ada akan berkurangan, perniagaan akan menjunam, syarikat terpaksa ditutup.

Mungkin ada juga yang bertambah maju dalam perniagaan tapi tiada keberkatannya kerana berkemungkinan apabila banyak rezeki, kita semakin jauh daripada Allah, rumah tangga tak bahagia, anak isteri semakin jauh daripada Allah dan sebagainya.

Allah berfirman dalam surah al-Anfal:1:  “Maka bertakwalah kepada Allah dan perbaiki hubungan sesama mu.”

Ayat ini seakan-akan ingin berbicara bahawa tak ada ertinya takwa tanpa mempedulikan kepada keadaan persekitaran terutama dalam usaha mendamaikan saudara yang berselisih.

2. Amalan solatnya tidak berpahala

Maksudnya solatnya sah tapi tidak ada pahala. Sabda Rasulullah SAW: “Terdapat 5 (lima) jenis orang yang solatnya tidak berpahala, iaitu: Isteri yang dimurkai suami kerana menjengkelkannya, budak yang melarikan diri, orang yang mendendami saudaranya melebihi 3 hari, peminum arak dan imam solat yang tidak disenangi makmumnya.”

3. Rumahnya tidak dimasuki malaikat rahmat

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya malaikat tidak akan turun kepada kaum yang di dalamnya ada orang yang memutuskan silaturahim.”

4. Diharamkan masuk syurga

Sabda Rasulullah SAW:  “Terdapat tiga orang yang tidak akan masuk syurga, iaitu: Orang yang suka minum arak, orang yang memutuskan silaturahim dan orang yang membenarkan perbuatan sihir.”

Kanak-kanak insan yang paling seronok meraikan hari raya.

“Dari Abdullah bin Abi Aufa r.a, beliau berkata, suatu petang di hari Arafah, pada waktu kami duduk mengelilingi Rasulullah SAW, tiba-tiba Baginda bersabda; “Jika di majlis ini ada orang yang memutuskan silaturahim, silakan berdiri, jangan duduk bersama kami.”

Maka bersempena hari raya Aidilfitri ini, marilah sama-sama kita eratkan hubungan silaturahim yang telah retak sekian lama.

Mungkin ada dalam kalangan sanak saudara yang sudah lama tak bertegur sapa, maafkanlah mereka dan bina hubungan persaudaraan yang baharu.

Dalam hendak menentukan kepada siapa kita perlu bersedekah pun Allah dan Nabi SAW menyarankan kita mendahului kaum kerabat terlebih dahulu.

Allah berikan dua jenis pahala iaitu pahala sedekah dan pahala mengeratkan hubungan silaturahim.

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. 

Kongsikan seberapa banyak artikel ini semoga menjadi sebahagian amal jariah kita insyaAllah.

***Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti

Silaturahim, Syawal, Hari Raya, Aidilfitri

Artikel Lain