suria

Ramai teruja, kongsi secara terbuka 'benda haram tapi teringin nak buat'... ini jawab ustaz!

Umat Islam ditegah daripada melakukan maksiat. - Gambar hiasan/Moh Habib Asyhad

KEMUNCULAN media sosial seperti Twitter bukan sahaja membuka ruang untuk berbalas pandangan dengan kenalan di alam maya, malahan menjadi medan untuk mengajukan soalan secara terbuka.

Memandangkan tiada sempadan dalam penggunaan media sosial selagi tidak melanggar peraturan yang ditetapkan, masyarakat semakin berani bersuara sehingga menyentuh perkara yang bertentangan dengan agama dan moral.

Seorang pelayar Twitter pada Isnin bertanya secara rawak kepada pengguna lain tentang tiga perkara haram yang teringin dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup beratur panjang demi 'bubble tea' viral, tapi keliru status halalnya... Ini jawab Jakim!

Soalan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial dan menjadi tular sehingga meraih lebih 3,400 tanda suka.

Terdapat netizen yang meluahkan hasrat ingin melakukan maksiat, mengeluarkan kata-kata kesat, mencuri dan paling mengejutkan sehingga sanggup membunuh ketika memberikan reaksi masing-masing.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, Islam melarang umatnya berbangga-bangga dalam melakukan dosa sehingga hilang rasa malu di depan manusia dan Allah SWT.

"Daripada sudut akidah, kalau niatnya untuk berbangga-bangga dengan dosa, maka dia menjadi orang fasik... orang yang suka melakukan maksiat.

"Tapi, jika dia sekadar menyatakan hasrat dan tidak benar-benar melakukannya, selagi mana dia tak buat maka tidak jadi dosa lagi," katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau menerangkan jika posting tersebut dilihat daripada sudut positif, ia boleh menjadi topik kajian untuk mencari kelompongan dalam usaha menyampaikan dakwah.

Kata Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia  dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu, soalan tersebut membuka mata untuk mengetahui apakah yang diingini oleh masyarakat sebenarnya.

"Jadi, kita nampak kelompongan dalam cara kita menyampaikan dan resapan Islam itu dalam diri mereka.

"Kita boleh cari punca masalah yang menyebabkan mereka berfikir sampai ke tahap itu," ujarnya.

Contohnya ada yang jawab mengadakan seks bebas, jadi ia akan bagi idea kepada mereka untuk menganjurkan parti tersebut dan menjemput orang Islam turut serta.

NUR MOHAMMAD HADI

Jelas pendakwah bebas itu, soalan seumpama itu sebenarnya lebih banyak mendatangkan kesan negatif berbanding positif.

Menurut Nur Mohammad Hadi, tindakan tersebut membuka peluang kepada musuh Islam untuk menyusun strategi serangan dalam pelbagai sudut.

"Contohnya ada yang jawab melakukan seks bebas, jadi ia akan bagi idea kepada mereka untuk menganjurkan parti tersebut dan menjemput orang Islam turut serta.

"Soalan tersebut akan menyebabkan orang yang memang nak menjahanamkan Islam senang dapat idea daripada jawapan-jawapan yang diberikan," jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh membuka aib sendiri atau menceritakan kepada orang lain secara terbuka kerana ia telah menghindarkan perasaan malu.

Nur Mohammad Hadi menasihatkan agar umat Islam di negara ini untuk tidak mengikut budaya bukan Islam atau Barat kerana dikhuatiri kembali mengulangi perbuatan orang di zaman jahiliah.

haram, dosa, akidah

Artikel Lain