suria

Diuji bau hanyir ikan ketika buat haji, 7 lokasi pilihan untuk jemaah ubah selera

Jemaah disajikan dengan pelbagai jenis hidangan sepanjang tempoh mengerjakan haji mahupun umrah. Gambar Hiasan.

ADA orang tak makan ayam. Ada pula tak suka ikan. Ada juga yang tak makan daging. Setiap orang tentu ada ragam tersendiri dan cerewet dalam bab-bab memilih makanan.

Saya juga begitu. Saya cerewet jika melihat ikan antara hidangan disediakan di meja bufet.

Bukan tak makan ikan tapi jika bau ikan yang kurang enak menusuk ke hidung saya, terbantutlah selera.

Jika ada ayam atau ikan di meja hidangan, saya pilih ayam. Tapi bayangkanlah jika tiada pilihan kerana makanan siap dipek di dalam bekas aluminium.

Perkara ini berlaku pada saya ketika mengerjakan haji pada 2000. Saya mengikut haji muasasah dan hidangan harian sama ada tengah hari atau malam, semuanya disediakan di dalam bekas aluminium.

Setiap kali membuka penutup bekas itu, hati saya gembira jika mendapati nasi, sayur dan ayam atau daging.

Namun, pernah beberapa kali saya tidak lalu makan kerana mendapati masakan ikan disediakan. Apa reaksi saya? 

Lumrahnya, jika hendak ke Makkah, ramai yang menasihatkan agar kita makan saja apa yang ada dan kena ingat, keluarkan perkataan yang baik saja walaupun tidak sedap atau tidak menepati selera.

Saya tidak kata makanan itu sedap dan terus makan tapi saya hanya diam jika tidak memenuhi selera saya.

Buat apa hendak bohong jika makanan itu tidak sedap atau tidak mengikut selera kita?

Masih saya ingat pertanyaan seorang makcik melihat saya menutup kembali bekas makanan yang dihidangkan untuk makan tengah hari.

“Kenapa Ana tak makan?” tanya makcik dari Klang.

“Ana tak berapa lapar. Tadi Ana makan lewat masa sarapan…” ujar saya.

Makcik itu tersenyum dan bertanya lagi.

“Makanlah. Selalu ayam dan daging saja, tak lalu dah. Hari ini ikan. Sedap…” ujarnya lagi.

“Makcik nak ke ikan Ana ni?” tanya saya pula.

“Betul ke Ana tak nak?” tanya dia mohon kepastian.

“Ye. Tak nak. Ambillah nasi dan ikan ni,” balas saya sambil menghulurkan makanan saya.

Sekeluarga yang menunaikan ibadat haji atau umrah bersama-sama menikmati makanan di dalam bilik penginapan.

Kami makan beramai-ramai di dalam bilik yang memuatkan tujuh jemaah haji. Saya paling muda dan jemaah paling berusia ketika itu berumur awal 90-an berasal dari Negeri Sembilan.

Saya memerhati mereka makan. Sungguh berselera semuanya. Namun, saya tidak berselera setelah membuka penutup bekas makanan kerana bau ikan terasa kurang enak.

Setelah mereka selesai makan, saya turun dari bangunan penginapan dan membeli kebab untuk mengalas perut. Bimbang juga jika perut masuk angin kerana tidak makan tengah hari.

Selera saya sekali lagi terbantut ketika di dalam khemah di Mina kerana ikan menjadi hidangan tengah hari semua jemaah pada masa itu.

Sejurus membuka penutup makanan, saya terasa mual kerana bau ikan agak hanyir.

Ujian untuk saya. Saya lihat jemaah lain semua gembira tetapi tidak saya. Sekali lagi saya menolak makanan kepada jemaah lain dan mengeluarkan Maggi cup yang disedekahkan kepada jemaah.

Orang lain berselera menikmati makanan manakala saya pula berjalan menuju ke bahagian dapur di penghujung khemah untuk mengambil air panas untuk diisi ke dalam mi segera.

Sekembali ke khemah, saya mengeluarkan serunding yang dibekalkan oleh ibu bapa saya dan mencampurkannya ke dalam mi segera.

Sedap kerana perut sudah lapar walaupun saya bukan penggemar mi segera.

Justeru, kepada jemaah khususnya yang mengerjakan ibadat haji menerusi muasasah, bawalah bekalan makanan kering seperti serunding daging atau ayam, sambal bilis, sambal paru kering atau sambal ubi kentang kering.

Makanan kering ini juga penting ketika duduk di dalam khemah di Arafah dan Mina. Bukan tiada makanan, tetapi ia dapat membangkitkan selera dan terasa seronok jika berkongsi makanan dengan rakan jemaah lain.

Tempoh masa yang panjang menunaikan ibadat haji, contohnya sehingga melebihi satu bulan kadangkala menyebabkan jemaah terasa jemu untuk makan hidangan disediakan di hotel dan penginapan.

Jemaah boleh bertukar selera di beberapa food court seperti ketika mengerjakan haji seperti:-

1. Menara Abraj al-Bait (menara jam) di paras tiga yang menghimpunkan pelbagai jenis masakan, termasuk dari Indonesia.

2. Menara Abraj al-Bait di paras empat yang menyediakan pelbagai tarikan makanan segera.

3. Millenium Hotel (dulu Hilton) di paras dua.

4. Millenium Hotel paras bawah (ada beberapa rangkaian makanan segera)

5. Safwa Royale Orchid di paras dua, yang turut menempatkan restoran D’Saji.

6. Hilton Suite di paras empat yang ada menyediakan makanan segera Al-Baik.

7. Jika berada di Madinah, ia lebih mudah kerana di bawah hotel ada kiosk dan restoran yang menjual pelbagai jenis masakan.

***Raihanah Abdullah ialah mutawif dan pembimbing jemaah haji wanita.

Haji, selera makan, Makkah, jemaah haji

Artikel Lain