PELUANG menyaksikan dengan lebih dekat artifak milik Rasulullah SAW yang sedang dipamerkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika ini sukar diluahkan dengan kata-kata. Lebih 49 artifak milik baginda yang dipamerkan ditatap dengan rasa sayu namun penuh kesyukuran kerana menatap barangan peribadi milik Nabi Muhammad SAW ini seolah-olah membuatkan diri terasa lebih dekat dan rapat dengan baginda. ARTIKEL BERKAITAN: Nabi sudah lama pesan, 6 penyakit akan menimpa umat akhir zaman! Itulah antara kata yang boleh dizahirkan taktala melihat sendiri artifak milik baginda Rasulullah yang teramat mulia di mata semua umat Islam di seluruh dunia. Kesan tapak kaki baginda Nabi Muhammad SAW. Meskipun sudah wafat namun syiar Islam yang menjadi pegangan kita sehingga hari ini kekal utuh dan hanya peninggalan barangan itulah yang mampu membuatkan kita berasa dekat dengan baginda. Menerusi pameran itu juga, selain artifak milik junjungan besar Nabi Muhammad, turut dipamerkan adalah barangan milik para sahabat bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali dengan Rasulullah serta sahabat-sahabat yang sentiasa setia di sisinya. Antara artifak yang dipamerkan termasuklah rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zam zam milik Rasulullah serta pasir makam baginda serta kunci makam tersebut. Janggut milik Rasulullah turut dipamerkan. Tidak ketinggalan Pedang Muaz bin Jabal, Pedang Sultan Al-Fatih, Kiswah Kaabah Merah, Kiswah Kaabah Hijau dan Kunci Makam Saiditina Fatimah. Turut dipamerkan senjata dan kelengkapan perang peninggalan Kerajaan Uthmaniah seperti kunci, baju perang, tandu, al-Quran Emas kiswah Kaabah, Kiswah Pintu Taubat di mana semua artifak ini merupakan koleksi dari Tanah Arabah seperti Makkah dan Madinah serta negara Yaman dan Turki. Menariknya setiap artifak itu disertakan dengan maklumat berkaitan antaranya sirah Rasulullah, peristiwa peperangan dalam sejarah Islam, gerakan penyebaran Islam serta maklumat tentang sahabat baginda. Pameran dirasmikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Pameran itu dilancarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan ia akan berlangsung sehingga 4 Ogos ini. Dianggarkan seramai 150,000 pengunjung akan hadir menyaksikan Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Sahabat RA itu. Tiket masuk dijual pada harga RM20 untuk dewasa, RM10 (mahasiswa) dan RM5 (kanak-kanak) dan pameran dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam.